Friday, August 28, 2009

Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar.

Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.

Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.

Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.

Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.

Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.

Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.

Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.


RUJUKAN: BLOG CIKGU AZMAN
Jelaskan peranan ibu bapa dalam membentuk masyarakat penyayang.

Pada alaf baru ini, ibu bapa memberi peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan isu ini. Dalam kalangan ibu bapa dalam masyarakat ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan. Menurut Perdana Menteri Malaysia ke-5 Dato Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Batawi memberitahu bahawa membentuk masyarakat penyayang amat penting sekali. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah-langkah yang boleh diambil untuk membentuk masyarakat penyayang.

Sehubungan dengan hal itu, ibu bapa seharusnya memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Namun begitu, terdapat kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal ini kerana, ibu bapa tersebut lebih mementingkan kemewahan hidaup dan kekayaan. Oleh itu, ibu bapa seharusnya meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak mereka pada alaf globalisasi ini. Di sini saya memberi contoh ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka semasa cuti sekolah untuk meneratkan hubungan dan mengurangan tekanan anak-anak dalam aspek pembelajaran serta ibu bapa. Jadi, impian ibu bapa atau negara untuk membentuk masyarakat penyayang akan tercapai jua.

Sejajar dengan itu, ibu bapa sewajarnya memberi didikan agama kepada anak-anak semenjak kecil lagi. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sebaliknya, ibu bapa mengagung-agungkan kemodenan sehingga mengabaikan anak-anak dalam didikan agama. Hal ini kerana, mereka beranggapan didikan agama tidak penting dalam arus kemajuan teknologi satelit masa kini. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan agama kepada anak-anak mereka. Misalnya, menggalakkan anak-anak mengikut kelas kifayah supaya anak-anak akan menjadi insan yang berakhlak mulai. Di samping itu, mereka seharusnya memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak mereka ketika anak-anak itu masih dalam buaian lagi. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam melahirkan generasi yang berguna akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti.

Malahan, ibubapa haruslah menyediakan semua keperluan atau kemudahan kepada anak mereka. Penyediaan tempat belajar yang sesuai amat penting. Begitu juga dengan hubungan ayah dan ibu yang mesra tanpa sebarang masalah sudah pasti akan memberi keselesaan kepada anak untuk menjadi manusia yang penyayang. Ringkasnya, sikap ibubapa yang sebegini mampu melahirkan satu generasi muda yang penyayang di negara ini.

Seiring dengan itu, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai buruk. Contohnya, menjadi penangih dadah, pencuri, penjengah, perogol dan sebagainya. Hal ini jelas, mereka akan mengalami kesempatan wang dan tekanan emosi. Bak kata pepatah “ bagai acuan begitulah kuihnya”. Hal ini demikian, ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang baik kepada anak-anak sejak kecil lagi. Umpamanya, mengamalkan tabiat rajin membaca buku di hadapan anak-anak. Lama-kelamaan tabiat ini dalam kalangan generasi muda akan mengikut tabiat yang positif ini. Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan masyarakat yang berguna pada alaf globalisasi ini.

Tuntasnya, semua pihak sewajarnya memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan dan pihak swasta. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang terpenting untuk memupuk masyarakat penyayang. Justeru, peribahasa “bagai aur dengan tebing” hendaklah diamalkan oleh semua warganegara Malaysia terutamanya generasi muda sejak belakangan ini.

RUJUKAN: BLOG CIKGU AZMAN

Sunday, August 23, 2009

BERPPUASA TERAPI JIWA SEBENARNYA

Puasa merupakan ubat bagi penyakit mental dan spritual, dapat menstabilkan pemikiran dan perasaan. Malah dapat mencapai ketenangan rohani sehingga pelbagai kaedah dilakukan oleh pelbagai agama untuk berpuasa dengan cara tersendiri.Namun, Islam satu-satu agama yang benar, lurus lagi diredai ALLAH swt menetapkan bahawa PUASA MENJAUHKAN DIRI DARIPADA API NERAKA.Sebagaimana nabi Muhammad saw ada berpesan bahawa, tiada seorang pun tahu di manakah dia akan ditempatkan di akhirat nanti. Tetapi bagi yang berpuasa dijanjikan ALLAH SWT untuk diri mereka terhindar daripada bahang kepanasan api neraka.

"Tidaklah seseorang mengerjakan puasa kerana ALLAH swt, melainkan ALLAH swt menjauhkan dirinya daripada neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun kerana puasanya yang sehari itu." (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Friday, August 21, 2009

RAMALAN SPM 2009: PROSA KLASIK SABOR

Soalan 2(c) - Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.



Setelah beberapa hari ia duduk di rumah Jibor, maka Siti Saidah pun terlalu sangat berahinya akan Sabor dengan seribu daya menahan berahinya, tiada juga bertahan, makin bernyala-nyala. Maka apabila malam, Siti Saidah pun menyuruh orang menghiasai tempat Sabor tidur di atas geta gading bertatahkan ratna mutu manikam itu. Maka sabor pun naik tidur di atas geta gading juga dan Jibor pun tidurlah dengan isterinya.
Pada malah itu Siti Saidah pun sangat keluh kesah, tiadalah boleh tidur daripada sangat berahinya akan Sibor, tiadalah cintanya yang lain melainkan Sabor juga siang malam. Maka Siti Saidah itu ada bermukah dengan jauhari, siang dan malam tiada berkeputusan perbuatannya itu . akan Jibor itu pun sekali-kali tiada ia tahu akan perbuatan isterinya itu dengan jauharinya itu.
Setelah ia melihat rupa paras Sabor, akan jauhari pun ia lupalah, melainkan Saborlah pula dikasihi sayangnya yang tersurat di dalam mata hatinya. Setelah datanglah kepada dua puluh hari Sabor duduk di rumah Jibor saudaranya itu, maka Siti Saidah pun bertambah-tambah berahinya seperti majnun lakunya, telah tiada tertahan hatinya.

(dipetik daripada Prosa Klasik “Sabor” dalam antologi Kerusi, DBP)



(i) Terangkan maksud semakin bernyala-nyala seperti yang digunakan dalam
petikan di atas. [ 2 markah]
(ii) Apakah tabiat buruk Siti Saidah dan mengapakah Siti Saidah bersifat sedemikian?
[ 3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya tabiat buruk wanita seperti Siti Saidah
itu dapat dibanteras? [ 3 markah]



Soalan 2(d) – Sajak

Di Ruang Gemanya


Telah kurangkumkan rebah setiaku
Pada setiap pilu dan rindu
Melayang dan mengembang
Ke hayat gemilang.
Sejak itu
Tidak kukesal lagi
Goda dan duga
Di gerimis senja.

Telah kupahatkan lelah umurku
Pada setiap kerikil dan debu
Dating dan menghilang
Ke hujung kenang.
Sesudah itu
Tidak kukenal lagi
Hampa dan derita
Di guruh pagi.

Gerimis senja guruh pagi
Adalah titipan maya
Bakal kukongsikan hati
Mengukir tadbir di ruang gemanya.

DHARMAWIJAYA
Antologi Kerusi, DBP

(i) Nyatakan keazaman penyajak kepada negara. [ 3 markah ]
(ii) Pada pandangan anda, apakah akibatnya jika rakyat tidak setia kepada negara? [ 3 markah ]
(iii) Bincangkan penggunaan gaya bahasa sajak ini. [ 3 markah ]

Posted by NORAZA AZIZ at 7:23 PM
1 comments: Lynn said...
1. Keazaman penyajak kepada negara ialah beliau mengharapkan negara akan terus makmur selepas terlepas daripada cengkaman penjajah.

2. Pada pandangan saya, akibatnya jika rakyat tidak setia kepada negara ialah negara akan menjadi huru-hara dan menyebabkan negara dijajah oleh kuasa luar. Akibatnya juga ialah pelabur asing akan kehilangan kepercayaan terhadap negara itu. Selain itu, ekonomi negara akan terjejas.

3. Penggunaan gaya bahasa sajak tersebut ialah pengulangan kata pada awal baris. Contohnya ialah baris pertama bagi rangkap satu dan dua. Inversi juga digunakan dalam sajak ini. Misalnya ialah “tidak kukesal lagi”. Selain itu, gaya bahasa yang digunaka ialah perlambangan seperti “gerimis senja guruh pagi”.

cikgu, bolehkah tolong lynn semak jawapan dan berikan contoh jawapannya? Terima kasih cikgu.

August 15, 2009 1:46 AM
RAMADHAN DATANG LAGI...SEMUGA KITA DAPAT MENINGKATKAN IMAN SEMPENA BULAN YANG MULIA INI. BUAT SEMUA ANAK DIDIK KESAYANGANKU..REBUTLAH PELUANG BULAN YANG BERKAT DAN KAYA DENGAN RAHMAT INI UNTUK MENJADI YANG TERBAIK ANTARA YANG BAIK-BAIK. SELAMAT BERPUASA..

TIGA PERTANYAAN DENGAN TIGA JAWABAN

Ada seorang pemuda yang lama sekolah di luar negeri, kembali ke tanah air. Sesampainya di rumah ia meminta kepada orang tuanya untuk mencari seorang guru agama, kiyai atau siapa saja yang bisa menjawab 3 pertanyaannya. Akhirnya orang tua pemuda itu mendapatkan orang tersebut, seorang kiyai.

Pemuda : Anda, siapa dan apakah bisa menjawab pertanyaan-pertanyaan saya?
Kiyai : Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan menjawab pertanyaan anda.
Pemuda : Anda yakin? Sedangkan Profesor dan ramai orang yang pintar tidak mampu menjawab pertanyaan saya.
Kiyai : Saya akan mencuba sejauh kemampuan saya.
Pemuda : Saya ada 3 pertanyaan:


1.Kalau memang Tuhan itu ada,tunjukan wujud Tuhan kepada saya

2.Apakah yang dinamakan takdir ?

3.Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukan ke neraka yang dibuat dari api? Tentu tidak menyakitkan buat syaitan. Sebab mereka memiliki unsur yang sama. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?

Tiba-tiba kyai tersebut menampar pipi pemuda tadi dengan keras.

Pemuda : (sambil menahan sakit) Kenapa anda marah kepada saya?

Kiyai : Saya tidak marah...Tamparan itu adalah jawaban saya atas 3 pertanyaan yang anda ajukan kepada saya.
Pemuda : Saya sungguh-sungguh tidak mengerti.

Kiyai : Bagaimana rasanya tamparan saya?

Pemuda : Tentu saja saya merasakan sakit.

Kiyai : Jadi anda percaya bahawa sakit itu ada?

Pemuda : Ya!

Kiyai : Tunjukkan kepada saya wujud sakit itu!

Pemuda : Saya tidak bisa.

Kiyai : Itulah jawaban pertanyaan pertama...kita semua berasa kewujudan Tuhan tanpa mampu melihat wujudnya.

Kiyai : Apakah tadi malam anda bermimpi akan ditampar oleh saya?

Pemuda : Tidak.

Kiyai : Apakah pernah terfikir oleh anda akan menerima tamparan dari saya hari ini?
Pemuda : Tidak

Kiyai : Itulah yang dinamakan takdir.

Kiyai : Terbuat dari apa tangan yang saya gunakan untuk menampar anda?
Pemuda : Kulit

Kiyai : Terbuat dari apa pipi anda?

Pemuda : Kulit.

Kiyai : Bagaimana rasanya tamparan saya?

Pemuda : Sakit

Kiyai : Walaupun syaitan dijadikan dari api dan neraka juga terbuat dari api, jika Tuhan menghendaki maka neraka akan menjadi tempat yang menyakitkan untuk syaitan.


RENUNGKANLAH.........
AMATILAH PEMIKIRANMU KERANA PEMIKIRANMU AKAN MEWUJUDKAN PERKATAANMU,
AMATILAH PERCAKAPANMU KERANA PERCAKAPANMU AKAN MEWUJUDKAN PERBUATANMU,
AMATILAH PERBUATANMU KERANA PERBUATANMU AKAN MEWUJUDKAN AMALANMU,
AMATILAH AMALANMU KERANA AMALANMU AKAN MEWUJUDKAN TABIATMU,
AMATILAH TABIATMU KERANA TABIATMU AKAN MEWUJUDKAN NASIBMU.

Thursday, August 20, 2009

Huraikan teknik plot yang digunakan dalam salah satu novel yang telah anda pelajari.


Jawaban:

Teknik plot penting untuk menyampaikan cerita di samping menarik minat pembaca. Antara teknik plot yang digunakan olch Abdullah Hussain dalam noveInya, Konserto Terakhir termasuklah teknik dialog. Sebagai contohnya, diwujudkannya dialog antara Hilmi dengan Hayati dan dialog antara Hilmi dengan Encik Bakar.

Teknik pemerian pula digunakan oleh beliau untuk menceritakan sesuatu peristiwa secara langsung. Sebagai contohnya, pengarang menceritakan hal tentang Hayati yang belajar bermain piano dengan gurunya.

Teknik monolog dalaman juga digunakan untuk menceritakan emosi seseorang watak. Sebagai contohnya, dialog dalam diri Azizah tentang layanan mesra yang diberikannya kepada Hilmi.

Teknik imbas kembali digunakan untuk menceritakan peristiwa yang lalu. Sebagai contohnya, peristiwa Hayati pulang ke rumah dan Hilmi telah tiada disampaikan oleh pengarang dengan menggunakan teknik tersebut.

Teknik suspens terdapat juga dalam novel ini. Sebagai contohnya, pembaca tertanya-tanya tentang hal yang akan berlaku kepada Hilmi yang terlantar di hospital.

Kemunculan Hayati secara mengejut dari London pada malam Pertunjukan Orkes Perdana menunjukkan bahawa Abdullah Hussain telah menggunakan teknik kejutan dalam ceritanya.


RUJUKAN: BLOG AGY

Wednesday, August 19, 2009

TEKA-TEKI

Penat kerja kan? Kita jawab teka-teki dulu ya. Release tension you…

Teka-teki: Hitam dan berpeluh.. HA.. Ape2??
Jawapan: semut hitam tengah berjogging.. huhuhu

Teka-teki: Ape benda bila masuk segitiga bila kuar bergulung-gulung?
Jawapan: Seluar dalam ler.. haha…

Teka-teki: Antara kapal terbang dengan kuih lepat liat, mana satu yang paling tinggi?
Jawapan: Kuih lepat liat la… sebab kapal terbang sampai langit je, tapi kuih lepat sampai lelangit!

Teka-teki: Banyak2 kotak, kotak apa yang takleh angkat?
Jawapan: Kotak penalti lah.. wawawa!

Teka-teki: Kenapa Penggali Kubur Gali Kubur Tak Pakai Selipar???
Teka.. teka.. kalo terer!
Jawapan: Selipar mana boleh buat gali tanah, guna cangkul lar… hue hue hue

Teka-teki: 3 kepala, 6 mata, 8 kaki. Apakah bendanya tu?
Jawapan: Koboi naik kuda bawak ayam.

Teka-teki: Masa dia hidup kita menyanyi, masa dia mati kita tepuk tangan.
Jawapan: lilin masa sambut ‘EPI BESDAY’

Teka-teki: Scorpion kaler apa?
Jawapan: Kala jengking lah.. senang pun takleh nak jawab!

Teka-teki: Dalam banyak2 kera, kera ape yang pandai menaip???
Jawapan: Kerani

Teka-teki: Ada sorang imam, tengah semahyang pastu ada sekor anjing lalu kat depan dia. Pastu dia jilat kaki dia, BATAL TAK AIR SEMAYANG IMAM TU???
Jawapan: Mana batal sebab anjing tu jilat kaki dia sendiri!

Teka-teki: 4 orang awek cun berpayung dengan satu payung tapi nape tak basah langsung??
Jawapan: Sebab tak hujan… aduhai! Dahlah malaslah nak tanya lagi… soalan bebudak pun takleh nak jawab!!

Hampeh.

Kategori: Tenang Minda
RUJUKAN: APEK
PAKSA DIRI
DAN JANGAN MANJAKAN DIRI
JIKA INGIN BERJAYA

Tuesday, August 18, 2009

PETUA MENGELAKKAN DARIPADA SELESEMA BABI

Sahabat baik saya sejak sekolah dahulu telah bersusah payah menyampaikan petua untuk menjauhkan diri daripada dihinggapi Selsema Babi (Swine Flu):

1. Sedut bau minyak cengkih (Lavanga oil)--2 titik minyak atas sapu tangan dan hidu-hidu selalu.

2. Kunyah sekurang-kurangnya satu bunga cengkih sehari

3. Makan sedikit bawang putih mentah, bawang dan juga halia.

4. Minum susu panas bercampur 2 gm kunyit.

5. Makan banyak buah-buahan mengandungi vitamin C ( limau, beri, jambu etc).


Maklumat daripada Times of India . Agaknya itulah sebabnya India belum begitu teruk kena Selsema Babi.

Berdoalah juga minta Tuhan pelihara keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan masyarakat Islam kita yang tak makan babi dan tak ternak babi agar terselamat. Masjid-masjid dekat kediaman kami sudah beberapa kali selepas solat Jumaat mengadakan solat hajat mohon perlindungan Allah.

Berikhtiar, berdoa dan bertawakallah dengan keinsafan terhadap Yang Maha Penyayang.

RUJUKAN: BLOG BAHAZAIN/Diposting oleh bahazain di 22:24

Friday, August 14, 2009

PELANCARAN BULAN PATRIOTIK PERINGKAT SMKHK

Tahniah cikgu ucapkan kepada para pelajar yang hadir ke sekolah pada hari ini. tetapi kepada pelajar kesayangan cikgu terutama tingkatan 5 dan tingkatan 3 yang menguzurkan diri kerana ada kelas tuisyen, belajar sendiri di rumah atau atas sebab yang munasabah kerana akan menduduki Peperiksaan Percubaan PMR dan SPM pada hari Isnin nanti..cikgu amat memahami situasi anda. Manfaaatkanlah masa hujung minggu ini sebaik-baiknya untuk mengulangkaji pelajaran. Ingatlah subjek Bahasa Melayu merupakan nyawa anda. Jadi, belajar,belajar dan terus belajar. Semoga berjaya dengan cemerlang.

Thursday, August 13, 2009

Pemanasan global jejas kesihatan.



Aktiviti pemanasan global meningkatkan suhu bumi hingga boleh menjejaskan kesihatan manusia. Menurut kajian yang dilakukakn oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO), perubahan iklim yang telah terjadi sejak tahun 1970-an telah menyebabkan 150 ribu kematian setahun akibat peningkatan kejadian penyakit.



Jangkitan virus, bakteria dan kuman pembawa penyakit dikatakan akan semakin berleluasa. Jika dahulu, penyakit influenza hanya akan menyerang ketika di musim dingin (di negara empat musim) atau di musim hujan ( di Negara iklim tropika), tetapi kini sudah mula menyerang tidak mengira musim lagi.

Oleh itu, berwaspadalah dan pelihara kesihatan anda setiap waktu. Berhati-hati dengan penyakit-penyakit akibat bakteria dan kuman. Ikuti beberapa panduan di bawah:



Cirit birit.
Perubahan iklim yang berkaitan dengan pola hujan mempengaruhi penyebaran berbagai mikro organisma penyebar penyakit. Hujan mencemari air dengan cara memindahkan kotoran manusia dan haiwan ke air tanah. Antara organisma yang dikaitkan dengna penyakit cirit-birit adalah Kriptosporodium, Giardia dan E.Coli. Walaupun begitu, penularan penyakit ini bukan hanya disebabkan olah organisma-organisma yang disebutkan sahaja. Ia juga boleh berlaku akibat kontaminasi air dan sebagainya.



Demam Denggi Berdarah dan Malaria
Udara lembap dan hangat menjadi habitat yang paling digemari nyamuk, terutama nyamuk jenis Anopheles dan Aedes Aegypti. Nyamuk jenis ini merupakan penyebar parasit malaria dan virus denggi. Jika dulu nyamuk ini kerap muncul ketika transisi musim hujan dan kemarau, tetapi kini serangannya boleh dikatakan berlaku hamper di kesemua musim sepanjang tahun. Suhu lebih panas ternyata memendekkan kitaran hidup nyamuk-nyamuk ini sekaligus mengurangkan tempoh matang kuman yang terdapat di dalam badan nyamuk. Akibatnya, populasi nyamuk tersebut meningkat dan penularannya semakin cepat. Apa yang boleh lakukan untuk mencegah gigitan nyamuk:

· Tidur dalam kelambu

· Sapukan krim pencegah gigitan nyamuk.

· Sembur ruangan kediaman anda dengan semburan nyamuk satu jam sebelum masuk tidur.

Untuk membanteras sarang nyamuk:

· Bersihkan bekas-bekas yang memudahkan air bertakung

· Bersihkan semak belukar di sekitar rumah.

· Pelihara ikan untuk membunuh larva nyamuk.

· Taburkan ubat khas yang mampu membunuh larva nyamuk di dalam bekas seperti pasu bunga, kolam ikan, kolam air dan sebagainya.

· Pastikan tiada kain yang bergantungan di rumah.

Apa yang boleh anda lakukan:

Biasakan mencuci tangan dan kaki setiap kali anda pulang ke rumah. Ini kerana anda berkemungkinan terkena kotoran atau kuman sepanjang anda berada di luar rumah.
Tempatkan alas kaki di pintu depan atau bahagian dapur rumah bagi mencegah penyebaran kotoran atau parasit yang boleh masuk melalui kulit.
Elakkan tabiat membeli makanan di tempat yang kotor atau diketahui tahap kebersihan yang rendah.


Kanser kulit.
Gas rumah kaca yang terkumpul di atmosfera bumi menyumbangkan peningkatan pemanasan global dan seterusnya merosakkan lapisan ozon. Jika dalam keadaan normal, atmosfera bumi boleh menahan 95 peratus radiasi ultra lembayung matahari dan hanya lima peratus daripada sinaran tersebut yang masuk ke bumi, tetapi kini lapisan tersebut sudah tidak mampu untuk menahannya, terutama di sekitar kawasan kutub selatan.

Keadaan ini seterusnya menyebabkan penduduk di kawasan itu terdedah kepada penyakit kanser kulit. Walaupun begitu, ia tidak bermaksud bahawa kita di sini bebas untuk terdedah di bawah sinaran matahari tanpa sebarang pelindung. Yang boleh kita lakukan:Pastikan anda sapukan krim atau losyen pelindung matahari 20 minit sebelum anda keluar dari rumah. Sebaik-baiknya yang mempunyai SPF 15 atau lebih.Sebaik-baiknya, sapukan juga krim tersebut pada kedua telinga dan kaki anda. Jika anda rasakan anda akan berada di bawah sinaran matahari untuk tempoh waktu yang panjang, pilihlah losyen yang mempunyai SPF 30 atau lebih. Ia lebih berkesan menahan sinaran matahari yang berbahaya kepada kulit anda.



Penyakit Paru Obstruktif Kronik.
Rata-rata kenaikan suhu udara global ‘hanya’ 0.8o Celcius. Namun di beberapa tempat, suhu udara naik cukup tinggi, termasuklah suhu air laut hingga ada ketikanya membuatkan sesetengah tempat bertekanan rendah. Angin kencnag mudah terbentuk ketika ini. Tiupan angin kencang yang bercampur dengan udara kering boleh membentuk percikan api sehingga akhirnya mengakibatkan kebakaran hutan. Akibatnya, timbul asap tebal yang memenuhi ruangn udara. Debu halus dan pelbagai oksida karbon itu menyebabkan gangguan pernafasan seperti asma dan lebih teruk lagi boleh menyebabkan penyakit paru obstruktif kronik. Selain itu, asap tersebut juga membawa racun dioksin yang boleh menimbulkan kanser paru-paru dan gangguan kehamilan. Sebaliknya bahan kayu yang terbakar di hutan pula menghasilkan jutaan gas-gas rumah kaca yang akhirnya pemanasan global.



Apa yang boleh anda lakukan:

Jika sudah mengalami penyakit paru obstruktif kronik, elakkan daripada anda mengidap influenza atau pneumonia, yang boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan anda. Sebaiknya lakukan vaksinasi influenza setiap tahun dan vaksinasi pneumokokus setiap enam tahun atau lebih.



Info Sihat (Sumber Majalah Mingguan Wanita, 20 – 26 Julai 2008)Oleh : Khairun Nisa Ishak
PEMANASAN GLOBAL DAPAT DIATASI DENGAN ADANYA KERJASAMA DARIPADA SEMUA PIHAK DI PERINGKAT GLOBAL

PENDAHULUAN:

- Definisi pemanasan global
- Punca pemanasan global
- Persoalannya, apakah cara terbaik untuk mengatasinya?

ISI PENTING:


- Peranan kerajaan; kempen/ceramah/motivasi bagi memberi kesedaran kepada rakyat tentang impak pemanasan global kepada manusia
- menguatkuasakan undang-undang dengan mengenakan kompaun dan hukuman yang setimpal kepada pihak yang menyebabkan berlakunya pencemaran udara
- Menyekat penjualan bahan yang menggunakan kloroflorokarbon
- Memastikan rakyat menggunakan petrol tanpa plumbum bagi mengelakkan pencemaran udara
- Mengharamkan penggunaan racun serangga ;peranan petani mematuhi arahan kerajaan
- Menggunakan baja organik dalam pertanian dan tidak menggunakan baja kimia
- Memastikan hutan simpan tidak diabaikan
- Amalan kitar semula

PENUTUP

- Usaha menangani masalah pemanasan global merupakan tanggungjawab bersama yang melibatkan semua pihak
- Jangan bersikap seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing

Tuesday, August 11, 2009

Semangat kebangsaan dalam kalangan remaja semakin menipis. Keadaan ini sering dikaitkan dengan perubahan kehidupan masyarakat kita.

Nyatakan usaha-usaha untuk memupuk dan kepentingan memiliki semangat ini kepada remaja.
Semangat kebangsaan merujuk sikap cinta akan negara atau nasionalisme yang mendalam terhadap negara yang tercinta. Sememangnya semangat nasionalisme ini semakin berkurangan terutama dalam kalangan generasi muda kita lantaran corak kehidupan yang semakin berubah selari dengan perubahan zaman. Maka, banyak tindakan yang mampu dilaksanakan untuk memastikan sikap ini terus wujud kerana sikap ini memiliki kesan yang positif.

Tindakan yang pertama ialah subjek sejarah yang diajar di sekolah dilaksanakan secara meluas. Pelajaran sejarah penting ditekankan kerana subjek ini mampu memberi rasa cinta yang meluas dalam diri remaja. Pemahaman tentang sejarah ini menyedarkan remaja mengenai kepentingan memiliki sikap menyintai negara yang mendalam. Jadi, langkah menjadikan subjek sejarah ini mampu menyuntik sikap nasionalisme dalam diri masyarakat terutamanya remaja.

Selain itu, kerajaan boleh menonjolkan pejuang-pejuang negara yang sanggup berkorban demi kedaulatan negara ketika hari Kebangsaan. Penonjolan ini boleh dilakukan melalui penggunaan media massa dengan menyiarkan maklumat diri pejuang-pejuang tersebut beserta kepentingan tindakan mereka dalam menentukan hala tuju kemerdekaan negara pada masa lampau. Langkah ini mampu meningkatkan pemahaman remaja tentang sebab musabab yang membawa kepada pejuang negara itu melakukan sesuatu tindakan yang dipelajari dalam subjek sejarah. Ringkasnya, langkah mempamerkan informasi tentang pejuang-pejuang negara ini mampu meningkatkan semangat remaja untuk meniru semangat yang telah dipamerkan oleh pejuang-pejuang bangsa itu sebelum ini.

Malah, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan boleh menjalankan satu pertandingan yang melibatkan remaja seperti deklamasi sajak, menulis esei, dan pementasan drama yang bertemakan semangat kebangsaan. Aktiviti ini dapat memastikan remaja menyelami dan memahami peristiwa yang dialami oleh pejuang-pejuang negara secara lebih mendalam lagi. Pertandingan yang berunsur sastera ini dapat mendekatkan remaja dengan pejuang-pejuang negara yang sudah lama meninggalkan negara ini. Maka, aktiviti berunsur pertandingan sastera ini memberi satu dimensi baru kepada remaja untuk mencintai negara mereka.

Kerajaan boleh menonjolkan kejayaan negara dalam semua aspek kehidupan masyarakat. Kejayaan ini mungkin diperoleh melalui kejayaan melangsungkan kejohanan sukan, memenangi sesuatu anugerah, dan pencapaian luar biasa rakyat kita dalam sesuatu perkara. Kejayaan rakyat kita mendaki Gunung Everest dan penghasilan kereta nasional mampu meningkatkan sikap cinta akan negara ini selain kemampuan negara dalam menganjurkan Sukan Komanwel suatu masa dahulu. Perkara ini penting ditekankan supaya remaja mempunyai sesuatu perkara yang boleh mereka banggakan dan kaitkan dengan negara apabila berbicara tentang negara sendiri. Sesungguhnya, semua kejayaan negara memberikan satu motivasi yang tinggi kepada remaja untuk turut mencapai kejayaan yang serupa atau menghasilkan kejayaan yang lebih baik lagi.

Sebenarnya, kepentingan utama memiliki semangat cinta akan negara ialah rakyat di negara ini mampu mengukuhkan perpaduan antara mereka. Semua pihak menyedari bahawa perpaduanlah yang menjamin kejayaan mereka di Malaysia ini. Semua memahami bahawa sikap mementingkan negara menyelamatkan negara daripada kancah pergaduhan antara kaum. Jelaslah, semangat cinta akan negara membentuk masyarakat kita menghargai perpaduan dan berfikiran matang.

Kesimpulannya, pemupukan semangat kebangsaan memang menjadi perkara penting dalam pembangunan negara sejak dahulu. Pemupukan ini penting supaya remaja tidak lupa akan perjuangan yang sudah dilakukan oleh generasi terdahulu dan membiarkan pengorbanan mereka menjadi sia-sia belaka. Mungkin remaja sekarang harus merenung dan bertanya kepada diri sendiri, “apa yang mampu mereka sumbangkan kepada negara” dan bukannya “apa yang mampu diberikan oleh negara kepada mereka”.

RUJUKAN: BLOG CIKGU AZMAN
Posted by Noor Azman Mahat at 9:58 AM
Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk memajukan industri desa di negara ini.

Pda era pascaglobalisasi dan yang serba canggih ini, rakyat Malaysia terutamanya warga kota kian memandang enteng terhadap industri desa umpamanya perusahaan membuat tembikar,penenunan kain songket dan perusahaan membuat keropok. Sebagaisebuah negara yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi, Malaysia sewajarnya mengambil prakarsa yang pragmatik dan sistematik bagi memajukan industri globalisasi yang kian memuncak. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang boleh diimplementasikan untuk memartabatkan industri desa di nusa tercinta ini?


Antara usaha untuk memajukan industri desa ialah, pihak kerajaan harus beriltizam untuk mempromosikan hasil kraftangan dan kain batik ke seantero dunia. Hal ini demikian kerana pepatah Melayu ada berbunyi,'tak kenal maka tak cinta'. Sehubungan itu, para pelancong asing akan tertarik dengan keunikan kain batik. Natijahnya, industri pelancongan akan turut berkembang maju. Di samping itu, pihak kerajaan juga perlu memberikan subsidi kepada penduduk luar bandar yang hidup bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Misalnya kerajaan hendaklah menyediakan peralatan moden dan canggih seperti bot berteknologi canggih. Hal ini membolehkan para nelayan meningkatkan hasil tangkapan ikan dan seterusnya mempelbagaikan produk yang diperbuat daripada ikan,misalnya ikan kering dan keropok lekor.

Selain itu pihak kerajaan perlu menyarankan agar masyarakat membeli barang buatan desa melalui kempen yang dilaksanakan. Lebih-lebih lagi, pihak kerajaan tidak patut melepaskan batuk di tangga dalam usaha menjayakan kempen tersebut. Sebaliknya, pihak kerajaan perlu bersikap proaktif dengan mewajibkan kakitangan kerajaan agar memakai baju batik pada setiap hari Khamis. Ibu bapa juga memainkan peranan penting yang amat signifikan dalam usaha menggalakkan anak-anak mereka untuk menggunakan barangan buatan desa sejak kecil lagi. Hal ini selaras dengan maksud pepatah Melayu ,'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.

Tambahan pula, generasi pascamerdeka hari ini perlu mengikis pandangan negatif terhadap industri desa. Tanpa kita sedari, kebanyakan belia hari ini beranggapan bahawa industri desa hanya diceburi oleh masyarakat kampung. Mereka sayugianya menceburkan diri dalam perusahaan industri desa kerana tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu?

Sebagai intiha, semua pihak daripada segenap lapisan masyarakat perlulah bersinergi bagai aur dengan tebing dalam usaha memajukan industri desa agar Malaysia dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju di dunia. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Jelaslah bahawa industri desa banyak menyumbang kepada penjanaan sumber pendapatan negara kita.


OLEH: HO YONG WAI (5 SAINS 1/2009)
RAMALAN SPM 2009

Kepentingan Memulihara Bangunan Bersejarah


Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini lebih dikenali sebagai negara yang sedang membangun. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan rumah dibina yang menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan di kedai kopi sehingga sidang di Dewan Parlimen mutakhir ini ialah isu meruntuhkan bangunan bersejarah tetapi perbincangan itu telah membuat keputusan muktamad untuk tidak meruntuhkan bangunan tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga negara-negara yang telah merobohkan bangunan bersejarah seperti di Surabaya, Jakarta. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.



Satu daripada kepentingan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah atau monumen dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau lagenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.



Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka. Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.



Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan Menara Berkembar Petronas. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.



Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.



Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.

RUJUKAN:BLOG CIKGU TAN C L

FOKUS SOALAN SPM 2009

Fokus Soalan Tatabahasa SPM 2009

3(a) Membina ayat daripada frasa
3(b) Soalan tentang cakap ajuk/pindah/ ayat aktif/pasif/susunan ayat
3(c) Kesalahan Ejaan dan Imbuhan
3(d) Kesalahan Kata/istilah dan Kesalahan Tatabahasa
3(e) Mengemukakan peribahasa yang sama maksud

Fokus Karangan SPM 2009

Isu/tema


1. Pendidikan –Pendidikan maya/sepanjang hayat
2. Pengangkutan awam(buku teks T5: ms 48)
CONTOH SOALAN: Masyarakat hari ini digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam kerana banyak kelebihannya. Huraikan kelebihan-kelebihan pengangkutan awam kepada masyarakat di negara kita.
3. Pelaburan/Aktiviti menabung/Skim Cepat Kaya
4. Pelancongan
5. Memulihara bangunan bersejarah
6. Perpaduan Antara Kaum
7. Gejala Rasuah
8. Permainan Tradisional
9. Pemanasan Global
10. Barang Buatan Malaysia
11. Telefon Bimbit
12. Kafe Siber
13. Bahasa – Melayu/Inggeris/Asing
14. Gejala sosial
15. Krisis Ekonomi Dunia
16. Kenaikan harga minyak/barang
17. Amalan Membaca-kebaikan/punca/langkah
18. Pengalaman/program yang pernah disertai
19. Kemalangan Jalan Raya-punca/langkah
20. Kokurikulum-kebaikan/punca/langkah
21. Semangat patriotik
22. Bahan Sastera (KOMSAS)
23. Ulasan filem/novel/cerpen
24. Guru/ibu bapa - peranan

Fokus Soalan Pemahaman KOMSAS SPM 2009

Pemahaman Prosa Moden

Cerpen Tg. 4

1. Annyss Sophillea
2. Lambaian Malar Hijau

Cerpen Tg. 5

1. Virus Zel Untuk Abah

Drama Tg. 4

1. Serunai Malam

Pemahaman Prosa Tradisional:Tg. 4

1. Cerita Bayan
2. Sikap terburu-buru Membawa Padah

Tg. 5

1. Sabor
2. Kepahlawanan Tun Beraim Bapa

Ppemahaman Puisi
Tg. 4


1. Pantun Kiasan
2. Seloka Pak Kaduk

Tg. 5

1. Pantun 6 Kerat
2. Syair Kelebihan Ilmu

Sajak Tg. 4

1. Anak Laut
2. Derita Pertama
3. Jalan-jalan raya kotaku

Sajak Tg. 5

1. Duhai Pentafsir
2. Di Ruang Gemanya

RUJUKAN: BLOG AGY


Fokus Soalan Novel SPM 2009

1. Kritikan masyarakat
2. Perbandingan antara watak utama
3. Cabaran yang dihadapi oleh watak utama
4. Peranan watak
5. Binaan Plot-5P
6. Teknik Plot
7. Jenis watak
8. Keistimewaan watak
9. Unsur suspens
10. Cara pengarang menggambarkan watak
11. Cara pengarang menggarap nilai
12. Persoalan tentang kasih sayang dan tangungjawab yang terdapat dalam novel.
13. Faedah mempelajari novel

RUJUKAN : BLOG AGY
Perkara terbaik yang Anda patut lakukan di waktu pagi, adalah :

1. Bersyukur, bersyukur, bersyukur.
Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, nada masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.

2. Tekad Bermotivasi.



Pasang niat dalam hati bahawa anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.
Pada waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, semua itu menerbitkan energi negatif lalu menghalang Anda dari bermotivasi sepanjang hari.

3. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi.


Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni.
Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak dijaga anda mood mudah turun. Kesannya, Anda jadi tak bersemangat, lemah longlai dan lemas.

4. Dalam Apa-apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah.


Apabila anda mula "punch card" nak masuk kerja, baca Bismillah, moga anda dijauhkan daripada bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas beteri’ saja.
Andai kata anda seorang pelajar, mula nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan apab nak bila buka buku, mulakan semuanya dengan Bismillah. Moga apa-apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.

Masuk aje kelas, pasang niat bahawa anda mahu menuntut ilmu. Apabila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!

5. Set Target Kemajuan Diri Sendiri


Hal ini juga kurang dititikberatkan. Apabila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?
Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, lepas itu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.

Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.

Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target yang anda mahu capai, lagi bagus setkan setiap hari.

Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak tanya dengan lecturer atau guru anda nanti.

Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ini dalam bidang bisnes Anda.

Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.

6. Lihat Warna Cerah


Warna boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.
Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!

Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah.Hal ini mampu merubah mood Anda menjadi positif.

7. Penuhkan Hati Dengan Kemaafan


Lepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang pada waktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.
Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.

Andai emosi-emosi negatif ini bersarang di hati (walaupun sedikit) pasti akan menghalang motivasi. Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.

Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.

Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.

Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup!

RUJUKAN: BLOG KE ARAH JUTAWAN

Monday, August 10, 2009

Tatabahasa : Cakap Ajuk – Cakap Pindah

Panduan menukar cakap ajuk kepada cakap pindah.

1. Pelajar mesti mengenal pasti jenis petikan yang diberi.


2. Fahami kehendak dan arahan soalan.


3. Baca petikan yang diberi dengan teliti.


4. Pelajar tidak dibenarkan menambah atau meninggalkan isi serta mengubah maksud keseluruhan petikan.


5. Pengolahan isi mesti mengikut susunan teks asal.


6. Penggunaan kata singkatan mesti ditukarkan kepada perkataan yang lengkap seperti nak (hendak), mak (emak).


7. Kata ganti diri, tempat , masa, dan sebagainya mesti ditukar dengan tepat.


8. Struktur ayat perlu betul, pengolahan mesti baik dan lancar. Elakkan kesalahan tatabahasa, tanda baca, ejaan dan penggunaan kata.
Penulisan: Karangan Jenis Perbincangan

Punca-punca yang Menyebabkan Penyakit Berjangkit Berlaku

Kebanyakan rakyat Malaysia mengabaikan gizi pemakanan yang tidak seimbang. Hal ini menyebabkan daya tahan penyakit merosot. Rakyat Malaysia juga tidak menyediakan makanan sendiri kerana kesibukan bekerja. Mereka gemar makan di luar.

Gerai-gerai makanan mungkin kotor dan makanan yang dimakan juga tercemar. Makanan yang tercemar juga mendatangkan penyakit berjangkit seperti kolera.

Makanan laut juga mudah tercemar dan boleh menyebabkan jangkitan penyakit. Banyak kawasan sungai di Malaysia tercemar . Hal ini kerana sisa haiwan dan manusia dibuang di situ. Pembuangan najis menyebabkan bakteria E-coli membiak. Hidupan laut akan tercemar dengan bakteria berkenaan. Jika kita mengambil makanan yang tercemar kita akan mendapat penyakit hepatitis.

Pencemaran alam sekitar juga merupakan punca penyakit berjangkit. Alam sekitar yang kotor, longkang-longkang yang tersumbat menyebabkan air bertakung. Air bertakung merupakan tempat nyamuk aedes dan nyamuk tiruk membiak. Gigitan nyamuk-nyamuk ini boleh menyebabkan penyakit denggi dan malaria. Penyakit Japannese Encephalitis(JE) merebak di sekitar kandang khinzir yang kotor. Apabila najis khinzir tidak diurus dan dirawat dengan baik ini akan menyebabkan merebaknya virus nipah yang membiak melalui nyamuk culeks. (contoh Banyak penduduk Kampung Nipah, Port Dickson yang terbunuh kerana penyakit JE).

Masyarakat Malaysia juga membunyai tabiat pemakanan yang buruk. Sesetengah penyakit berpunca daripada tabiat suka berkongsi barang peribadi seperti tuala dan pinggan mangkuk. Penyakit kulit akan merebak apabila kita berkongsi tuala. Terdapat juga golongan yang mengamalkan hubungan seks rambang. Mereka ini akan dihinggapi penyakit kelamin. Yang lebih berbahaya ialah penyakit AIDS . AIDS juga boleh merebak hasil perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih dadah. Hal ini kerana jarum suntikan yang tercemar dengan virus HIV akan merebakkan penyakit itu kepada penagih dadah.

Langkah-langkah Mengatasi Penyakit Berjangkit
Kesihatan amat penting kepada sesorang. Setiap rakyat Malaysia dinasihati menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun. Dengan ini kita tahu tahap kesihatan kita sendiri. Rawatan awal mungkin dapat menyelamatkan nyawa. Kita juga memerlukan suntikan imunisasi seperti BCG dan Rubella.

Seseorang itu perlu menjaga kesihatan diri dan alam sekitar. Kita harus mengamalkan pembuangan sampah yang baik. Dengan ini, vektor-vektor penyakit berjangkit seperti lalat dan nyamuk tidak dapat membiak. Di samping itu kita juga harus menjauhkan diri daripada pergaulan bebas, tidak melibatkan diri dengan seks rambang dan jauhi dadah.

Pilihlah amalan pemakanan yang seimbang agar daya ketahanan penyakit akan meningkat. Maka tubuh badan kita tidak mudah diserang penyakit. Di samping itu, kita juga perlu menjaga kebersihan makanan. Elakkan membeli makanan di gerai-gerai yang kotor dan tercemar. Dengan ini masalah penyakit berjangkit dapat dielakkan.


RUJUKAN: PORTAL PENDIDIKAN
Penulisan : Karangan Jenis Pendapat/Perbincangan
Contoh Karangan

Kepentingan Sukan kepada Diri dan Negara

Seorang ayah yang prihatin akan mencari kawasan perumahan yang menyediakan padang permainan yang lengkap. Hal ini demikian kerana si ayah mahu anak-anaknya membesar dalam suasana yang sihat dan ceria. Proses awal ini berlanjutan apabila si anak masuk ke bangku sekolah. Si ayah akan berasa bangga jika anaknya berjaya dalam sukan ataupun permainan. Selagi si anak tidak mengabaikan pelajaran, si ayah akan memberi dorongan agar si anak berjaya dalam permainan yang digemari. Apabila si anak sudah meningkat remaja, pengharapan si ayah semakin besar. Kalau boleh si anak terpilih mewakili negara. Mengapakah keadaan ini boleh berlaku? Jawapannya mudah: Masyarakat sudah sedar akan kepentingan sukan kepada diri dan negara. Dalam konteks negara pula, kerajaan telah memperkenalkan Akta Sukan Negara untuk memastikan aktiviti sukan terancang dan berkembang dengan baik.

Apakah kepentingan sukan kepada seseorang? Sebenarnya sukan dapat melahirkan insan yang cergas dan cerdas. Aktiviti sukan melibatkan pergerakan anggota badan. Senaman mampu menguatkan sendi-sendi dan otot tubuh menyebabkan lemak yang termendap dalam badan dapat digunakan untuk menjana tenaga. Aktiviti sukan dapat membantu proses perpeluhan dan menghilangkan panas badan. Dengan ini, mereka yang aktif dalam sukan akan terhindar daripada pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung dan diabetes, seperti kata pepatah “otak yang cerdas terletak pada badan yang sihat”. Bagi seorang pelajar, badan yang sihat memungkinkan seseorang itu dapat memberikan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Bagi mereka yang bekerja pula, apabila badan sihat, hasil kerja lebih memuaskan, dan kesannya kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara dapat dicapai.

Sukan juga boleh mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan. Kemajuan dalam bidang sukan boleh meningkatkan permintaan terhadap alatan sukan. Oleh itu, mereka yang terlibat dalam bidang peralatan sukan seperti bola dan pakaian sukan meraih keuntungan yang berlipat ganda. Selain itu, usaha menyediakan pelbagai kemudahan prasarana sukan mendatangkan hasil yang lumayan.

Misalnya, untuk membina gelanggang permainan, staduim, dan kolam renang bertaraf antarabangsa, peluang perniagaan terbuka luas kepada kontraktor dan pembekal bahan binaa. Malah peluang-peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Apabila sesuatu kejohanan diadakan, mereka yang berdekatan dengan gelanggang permainan memperoleh pendapatan sampingan menerusi perniagaan yang dijalankan. Ini bermakna, sukan berjaya merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Ketika bersukan, kita akan melupakan warna kulit. Kita tidak peduli sama ada rakan sepermainan itu orang Melayu, Cina, ataupun India. Sebagai contoh, sebelum sesuatu pertandingan, kebiasaannya para atlet atau pemain akan berkumpul di kem latihan dalam tempoh tertentu, biasanya tidak kurang dari seminggu. Di situlah mereka tinggal, berlatih, makan dan berehat. Pergaulan dan interaksi sesama atlet dan pemain daripada pelbagai kaum mampu mewujudkan perpaduan. Ketika pertandingan dijalankan, mereka akan mempunyai satu misi untuk mengharumkan nama sekolah, negeri, ataupun negara.

Kejayaan tidak akan tercapai jika tiada persefahaman yang erat, saling membantu, dan bertolak ansur. Rakyat jelata, sebaai penyokong pasukan negara juga menunjukkan semangat kebangsaan yang tinggi dengan menyokong pemain negara. Bukti seramai 15 ribu orang daripada pelbagai kaum mendaftarkan diri sebagai sukarelawan di Sukan Komanwel (SUKOM) 1998 merupakan rekod pencetus perpaduan yang tidak mungkin dilupakan.

Sukan mampu mengangkat martabat negara ke mercu yang lebih tinggi. Pencapaian dalam bidang sukan menyebabkan nama Malaysia terukir di pentas antarabangsa. Dengan mengambil contoh kejayaan Malaysia merampas Piala Thomas pada tahun 1992 setelah 25 tahun kehilangannya dan kejayaan Malaysia memenangi pingat gangsa dalam acara badminton di Sukan Olimpik, menyebabkan nama negara disebut-sebut. Sebelum ini tidak ramai masyarakat dunia yang mengenali Malaysia. Walaupun pelbagai promosi telah dan terus dibuat, tetapi kesannya belum begitu ketara. Tetapi dengan sukan, mata masyarakat dunia seakan-akan mula terbuka. Dalam jangka panjang, keyakinan mereka bukan sahaja kepada sukan, tetapi dalam bidang-bidang lain seperti pelancongan dan perindustrian. Barangan keuaran malaysia mula mendapat perhatian. Apabila martabat negara semakin tinggi, hasil keluaran Malaysia mula mendapat tempat di pasaran antarabangsa.

Dalam waktu yang sama, sukan mempunyai potensi besar untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. Apabila negara kita menjadi tuan rumah dalam sesuatu temasya sukan antarabangsa, keuntungan besar boleh diperoleh menerusi pelancongan, perhotelan, dan pengangkutan. Ketika SUKOM dulu, seramai 6, 000 orang peserta dan pegawai dari 60 buah negara telah datang ke negara kita. Ramai lagi pemerhati dan penyokong yang telah datang. Selain untuk menyaksikan temasya, mereka mengambil kesempatan untuk mengunjungi tempat-tempat yang menarik. Kedatangan mereka tidak dengan tangan kosong; sudah tentu membawa sejumlah wang besar. Wang tersebut akan dibelanjakan untuk membeli-belah, membayar sewa tempat tinggal, dan kenderaan. Negara akan memperoleh pandangan melalui pertukaran wang asing. Justeru, sukan mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sukan boleh mengatasi pelbagai masalah sosial. Sejak akhir-akhir ini, masyarakat didedahkan dengan masalah remaja yang suka melepak, bohsia, penyalahgunaan dadah, dan vandalisme. Memang banyak faktor yang memungkinkan masalah ini berlaku. Tetapi yang paling jelas, masalah ini berpunca daripada remaja yang tidak tahu memanfaatkan masa yang terluang. Jika mereka meminati sukan, masa yang terluang selepas habis sekolah atau bekerja, mereka akan ke gelanggang permainan. Selepas selesai mengikuti sesi permainan, badan sudah letih dan malam pun telah tiba. Jadi, tiada ruang untuk bertemu rakan-rakan yang suka melepak. Malah, mereka yang meminati aktiviti bersukan mempunyai disiplin yang kuat. Golongan ini sedar akan peranan mereka sebagai remaja dan rakyat Malaysia dan tidak sesekali teringat untuk melakukan kegiatan yang tidak sihat. Ini membuktikan, sukan mampu membentuk masyarakat yang menghargai masa, diri dan negara.

Memandangkan betapa pentingnya sukan kepada pembangunan negara, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan telah menyusun pelbagai program untuk memastikan sukan menjadi satu aktiviti, yang bukan sahaja menyihatkan badan, malah mampu mengharumkan negara.

Sesungguhnya masa itu emas. Golongan remaja perlu memanfaatkan masa yang terluang. Ada masa untuk berhibur, belajar, bersukan, dan membaca buku. Tetapi tiada masa untuk melepak, bercampur gaul dengan budak-budak nakal, ataupun merosakkan harta benda awam.

Jangan dilurut padi muda,
Kalau dilurut luka tangan;
Jangan diturut hati muda,
Kalau turut susah berpanjangan.

Sesungguhnya diri sendirilah yang bakal mencorakkan masa depan. Jangan sesekali mengikutkan hati muda. Daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah, lebih baik memanfaatkan masa depan bersukan.
Golongan orang kurang upaya(OKU) merupakan golongan yang tidak bernasib baik dalam masyarakat dan sering merasakan bahawa diri mereka terabai. Namun, sebenarnya mereka juga sebahagian daripada anggota masyarakat. Huraikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang boleh dilakukan dalam usaha membantu golongan OKU ini. Panjang karangan anda hendaklah melebihi 350 patah perkataan.


Pendahuluan:

- Definisi konsep OKU
- Laporan media massa; golongan OKU merupakan aset bernilai kepada negara
- Jangan amalkan sikap seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing dan sanggup membiarkan OKU yang kudung kedua-dua kaki tangan meminta sedekah di tepi jalan
- Oleh itu, perlu ada usaha untuk membantu modal insan yang juga penting dalam pembangunan negara.


Isi penting:


Peranan pihak kerajaan dan swasta-

1. menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai dengan kecacatan OKU spt orang yang cacat penglihatan, orang yang kudung tangan serta kaki(operator telefon di pejabat atau kilang), orang buta bermain muzik
2. menyediakan prasarana(infrastruktur) yang sesuai dan baik di tempat-tempat awam (tandas, pusat belli-belah, perhentian bas, perhentian teksi, lapangan terbang, stesen kereta api, di dalam bas, tren dsb) bagi memudahkan OKU bergerak dan menjalankan urusan seharian
3. menyediakan peruntukan (dana)untuk menjaga kebajikan OKU di negara ini – peruntukan dimasukkan dalam Bajet Negara pada setiap tahun agar apa-apa program berkaitan OKU dapat dijalankan.
4. memberi bantuan peralatan kepada OKU (untuk bergerak; kerusi roda, motosikal orang cacat, peralatan mudah untuk OKU berniaga dll)
5. mewujudkan institusi untuk melatih OKU dalam bidang kemahiran yang bersesuaian dan memberikan biasiswa kepada pelajar OKU untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi


Penutup

semua pihak perlu berganding bahu seperti aur dengan tebing untuk membantu OKU menjadi sebahagian daripada modal insan kelas pertama di negara ini

noraza79.blogspot.com
Bahagian A(Masa yang dicadangkan: 45 minit)
[30 markah]

Huraikan pendapat anda tentang pencemaran bahasa Melayu. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Pendahuluan:

Pencemaran bahasa Melayu semakin ketara – scenario pencemaran bahasa Melayu melalui penggunaan ‘bahasa rojak’ dan ‘lagu rojak’

Isi-isi penting:
1. Punca pencemaran bahasa Melayu – tiada kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam diri masyarakat tentang kepentingan memartabatkan bahasa kebangsaan
2. Kesan gejala ‘bahasa rojak’ dan ‘lagu rojak’ kepada penggunaan bahasa kebangsaan – bahasa Melayu akan dipandang rendah oleh bangsa lain.
3. Usaha mengatasi pencemaran bahasa Melayu perlu diberikan perhatian oleh pihak berwajib – agar pencemaran bahasa yang berlaku dapat dikawal.

Penutup:
Langkah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dipandang serius – “Bahasa Jiwa Bangsa” perlu dihayati oleh rakyat Malaysia.
Jika anak itu hidup dalam KRITIKAN

Ia belajar untuk MENCELA

Jika anak itu hidup dengan KEKASARAN

Ia belajar untuk MENENTANG

Jika anak itu hidup dengan BELAIAN KASIH

Ia belajar untuk RESAN DIRI

Jika anak itu hidup dalam suasana yang IRI HATI

Ia belajar untuk merasa BERSALAH

Jika anak itu hidup dengan TOLERANSI

Ia belajar untuk BERSABAR

Jika anak itu hidup dalam GALAKAN

Ia belajar untuk BERKEYAKINAN

Jika anak itu hidup dengan PUJIAN

Ia belajar untuk MENGHARGAI

Jika anak itu hidup dengan SAKSAMA

Ia belajar untuk berlaku ADIL

Jika anak itu hidup dengan KERELAAN

Ia belajar MENYAYANGI

Jika anak itu hidup dalam RESTU

Ia belajar MENYUKAI DIRINYA

Jika anak itu hidup dengan PENGHARGAAN

Ia belajar MEMPUNYAI MATLAMAT

Jika anak itu hidup dengan KEJUJURAN

Ia belajar apa itu KEJAYAAN

Jika anak itu hidup dalam KESELAMATAN

Ia belajar Meyakin Diri dan orang di sekelilingnya

Jika anak itu hidup dalam KERAMAH-TAMAHAN

Ia belajar bahawa dunia ialah Tempat Yang Baik untuk hidup



RUJUKAN: JUTAWAN SEGERA

Friday, August 7, 2009

AKU TIDAK MEMILIH UNTUK MENJADI SEORANG INSAN BIASA"

Aku tidak memilih untuk menjadi seorang insan biasa


Memang hak ku untuk memilih menjadi luar biasa


Kini aku mencari-cari peluang bukan perlindungan


Aku tidak rela menjadi warga yang terkongkong, rendah diri dan dipelihara oleh keadaan


Aku hendak mengambil risiko yang terkira, untuk berimpian dan membina, untuk gagal dan berjaya


Aku enggan menukar perangsangan untuk sebarang sumbangan


Aku menyahut cabaran hidup daripada kewujudan yang terjamin


Kenikmatan untuk mencapai sesuatu, bukan utopia yang basi


Aku tidak akan menjualkan kebebasan untuk menerima kebajikan


Tidak juga maruah ku hanya untuk hidup menerima


Aku tidak akan tunduk kepada sebarang ‘Tuan’ dan ancaman


Adalah menjadi warisan ku untuk berdiri teguh, bangga dan tidak kenal erti takut


Untuk berfikir dan bertindak untuk diri sendiri


Untuk menggunakan hasil-hasil usaha yang telah ku jayakan


Menghadapi dunia ini dengan megah


Lalu berkata “Inilah yang telah ku lakukan!”


Segalanya ini adalah erti seorang insan

-Ciptaan: Dean Alfange-

Monday, August 3, 2009

MASALAH SISTEM PENGANGKUTAN AWAM DI NEGARA KITA DAN CARA MENGATASINYA

Rangkaian pengangkutan awam di negara kita meliputi pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.

Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.

Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.

Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan. Contohnya, antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.

Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.

Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak tetapi rumit untuk diselesaikan. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, pihak kerajaan harus membuat tindakan drastik menangani isu ini. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas bagi mengatasi kemelut ini.

Contoh Karangan Pelajar : Kewajaran Larangan Penggunaan Telefon Bimbit di Sekolah

Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan pelbagai urusan dan menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya, peralatan teknologi yang canggih dapat membantu manusia membuat sesuatu kerja yang tidak termampu dilakukan oleh manusia. Sehubungan itu, pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit dan sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita.

Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon bimbitlah yang paling biasa digunakan. Dengan adanya telefon bimbit, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di mana-mana pun hatta berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon bimbit juga memperkenalkan perkhidmatan mesej pendek. Oleh itu, kita dapat menghantar berita dengan telefon bimbit, bukan lagi menggunakan perkhidmatan pos yang lambat dan berkos tinggi. Perkhidmatan ini lebih menjimatkan masa dan wang. Oleh itu, banyak orang menggunakan telefon untuk perkhidmatan ini. Selain itu, kamera serta pemain muzik juga telah dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga semakin canggih hingga boleh melayari laman web dan juga menggunakan perkhidmatan 3G.

Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka kerana mudah dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang mempunyai telefon bimbit termasuklah murid-murid sekolah rendah. Setelah mempunyai telefon bimbit, mereka dapat membuat apa-apa sahaja serta dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan kemudahan telefon bimbit, mudah sahaja hendak menghubungi mereka. Sebagai akibatnya, banyak murid akan membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak dibenarkan.

Langkah kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah memang tepat. Apabila pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka akan mengakibatkan banyak masalah disiplin. Mereka akan menunjuk-nunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka, sikap materialistik wujud dalam diri pelajar yang masih berusia muda itu. Pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit juga akan berasa tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain yang mempunyai telefon bimbit. Mereka berasa rendah diri dan tidak puas hati dan akhirnya mereka mungkin mencuri telefon bimbit orang lain. Kesannya, pihak sekolah pula terpaksa menguruskan kes kecurian sehingga menyebabkan proses pembelajaran terganggu. Soalnya, adakah patut kita membebankan guru dengan beban baharu, iaitu menjadi pegawai penyiasat kecurian telefon bimbit?

Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar kerana mereka akan bermain dengan telefon bimbit. Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon bimbit, proses pembelajaran dan pengajaran akan mengalami gangguan. Semasa ujian, pelajar juga boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej berbentuk jawapan kepada rakan yang lain. Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan tidak adil terhadap pelajar lain. Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka dapat mengambil gambar serta mendengar lagu kegemaran mereka. Gejala seperti ini tidak patut berlaku di sesebuah sekolah. Selain itu, dengan menggunakan telefon bimbit, pelajar-pelajar dapat memuat turun gambar-gambar atau klip-klip video yang tidak senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip video tersebut dengan rakan. Maka, pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak sihat.

Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan sejenis gelombang bunyi yang akan menjejaskan kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar masih dalam proses tumbesaran. Telefon bimbit tidak sesuai digunakan oleh murid-murid yang berusia muda kerana akan menjejaskan kesihatan mereka. Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak. Mencegah itu lebih daripada merawat. Janganlah apabila kesihatan sudah terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah diingatkan berkali-kali tentang kesan gelombang telefon itu.

Tuntasnya, langkah kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah sememangnya merupakan langkah yang bijak. Melalui perbincangan saya di atas, kita dapat mengetahui impak penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar. Bagi mengelakkan perkara-perkara tersebut berlaku, adalah lebih baik para pelajar menggunakan telefon bimbit apabila dewasa nanti kerana telefon bimbit memerlukan kos penggunaan yang tinggi.

Isi Penting Esei Pelancongan

Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar dalam bentuk tukaran asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Angka tersebut melebihi jangkaan 6.4 juta pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia. Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur – selepas China dan Hong Kong.

* Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika indah yang sangat berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan.

· Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.

· Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong, semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang melawat Malaysia.

· Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit) di dalam dan luar negara. Kejayaan ini juga sedikit sebanyak bergantung kepada `cerita-cerita’ (pengalaman-pengalaman) para pelancong yang sudah melawat Malaysia. Pelancong-pelancong yang mempunyai pengalaman yang baik melancong di Malaysia, tentunya akan datang semula dan juga akan memberitahu rakan-rakan mereka. Inilah kempen dan promosi galakan yang terbaik.

· Jika diperhalus, banyak yang perlu dibaiki dan dibetulkan. Insiden-insiden pelancong ditipu oleh pemandu teksi, kekotoran pusat-pusat makanan, kelemahan sistem pengangkutan awam, pencemaran sungai dan kawasan rekreasi, harga tidak berpatutan dan seumpamanya tidak menyumbang kepada pengalaman yang baik kepada para pelancong.

· Aduan-aduan daripada para pelancong mesti dilihat sebagai cara terbaik untuk memajukan industri pelancongan kita lagi. Satu anjakan sikap perlu berlaku dalam memberi layanan terbaik kepada pelancong.

· Siri-siri dialog dan pertemuan lebih kerap perlu diadakan dengan semua kementerian, jabatan, agensi dan sektor swasta bagi merangka perancangan dan program bersepadu bagi memajukan industri pelancongan tempatan. Usaha-usaha menggalakkan pelancongan tidak akan membuahkan hasil jika setiap pihak di dalam industri berkenaan tidak menjalankan peranan mereka dengan sebaik-baiknya.

· Pelbagai kegiatan dalam usaha mencari jalan memajukan industri pelancongan di negara ini dijalankan. Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang mempunyai pengaruh besar dalam industri pelancongan di rantau ini telah mengadakan persidangan tahunannya di sini. Forum Pelancongan Majlis Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Kedua turut diadakan. Begitu juga dengan Pesta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Antarabangsa Malaysia (MATTA) 2001 telah dianjurkan di sini.

· Atas kesedaran ini juga, kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk memajukan industri pelancongan. Kejayaan industri ini bergantung kepada usaha pacuan sektor swasta dengan sokongan sektor awam. Usaha sektor awam atau kerajaan ini tidak akan berjaya tanpa digerakkan dan didorong oleh sektor swasta. Sektor swastalah yang menggerakkan perniagaan pelancongan sama ada daripada kalangan ejen pelancongan, pengangkutan, perhotelan, rekreasi, penyusun acara, ataupun pusat-pusat membeli-belah.

· Pihak kerajaan boleh menggalakkan perniagaan industri-industri ini seperti mengadakan pelbagai kempen serta menyediakan dan mencekapkan infrastruktur.

· Namun begitu, pada keseluruhannya, kita percaya bahawa kejayaan sebenar industri pelancongan memerlukan kesedaran dan kerjasama rakyat Malaysia sendiri. Selain pihak kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk memajukan pelancongan, rakyat juga harus bersedia untuk memiliki sikap menyumbang kepada industri ini.

· Contohnya, bermula daripada kesedaran memelihara kebersihan di tempat-tempat awam hinggalah kepada mengambil kira soal pelancongan negara dalam membuat sebarang keputusan semasa menjalankan kerja-kerja seharian.Untuk lebih memahami keperluan pelancong, rakyat negara ini juga harus sendiri menjadi pelancong dalam negeri.

· Dengan menjadi pelancong dalam negeri, bukan saja boleh meningkatkan kualiti hidup diri sendiri dan keluarga melalui rekreasi pelancongan, tetapi juga dapat mengukuhkan kekuatan ekonomi industri itu.

· Apabila tempat-tempat pelancongan di dalam negeri menjadi lebih kukuh, maka ini dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya yang akan memudahkannya menerima pelancong luar negara. Selain itu, dengan sering kali melakukan perjalanan, seseorang itu akan memperoleh idea-idea baru bagaimana hendak meningkatkan industri pelancongan di negara ini.

· Selain dari sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya akan memasyhurkan kemakmuran Malaysia di mata dunia.Pelancongan berasaskan pertanian untuk memberi pengalaman kepada pengguna merasai hidup kampung dan merasai nikmat alam semula jadi melawat ladang buah-buahan, ladang sayur-sayuran, ternakan ikan dan sebagainya.

SUMBER RUJUKAN: MINDA BAHASA

*ramalan SPM 2009: Pengangkutan alaf ini (buku teks ms 48)
contoh soalan : Masyarakat hari ini digalakkan menggunakan pengangkutan awam kerana banyak kelebihannya. Huraikan kelebihan-kelebihan pengangkutan awam kepada masyarakat di negara kita.
SETIAP PERJALANAN BERIBU-RIBU BATU, SEMUANYA BERMULA DARIPADA LANGKAH PERTAMA.BEGITU JUGA DENGAN KEINGINAN MENJADI INSAN CEMERLANG TURUT MEMERLUKAN LANGKAH PERTAMA. TIDAK ADA INSAN DI DUNIA INI YANG TIBA-TIBA CEMERLANG. KESEMUANYA TURUT BERMULA DARIPADA KOSONG. JADI, UNTUK MENJADI INSAN CEMERLANG..JANGANLAH TAKUT MEMULAKAN LANGKAH PERTAMA.