Saturday, June 7, 2014

Pesanan untuk diri sendiri kerana aku bukanlah yang terbaik.

Dalam hidup yang sementara ini, sebenarnya terlalu banyak peluang dan ruang untuk kita mencipta kejayaan daripada "zero" sehingga menjadi "hero". Namun, kesungguhan untuk menjadi yang terbaik semakin terhakis dalam jiwa anak muda hari ini.Mereka jarang-jarang ingin bergerak pantas sebagaimana pantasnya perubahan dunia.Segala-galanya ibarat paku dengan penukul. Guru sentiasa kena tasak jiwa mereka agar tidak terus alpa dan hanyut dalam dunia yang serba canggih ini. Kita dapat melihat kebanyakan anak muda hari ini lambat matang jiwa mereka, sentiasa bergantung kepada orang lain untuk bergerak, lambat bertatih dan hanya mengamalkan budaya hangat-hangat tahi ayam untuk menggapai impian cemerlang dalam pelajaran. Sebagai ibu bapa yang paling hampir dengan anak-anak, wajarlah menjadi role model atau qudwah hasanah kepada anak-anak yang merupakan tonggak negara pada masa hadapan. Janganlah kita seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan langkah kaki kita pincang dan gagal menjadi idola yang positif kepada mereka. Marilahlah kita berganjak paradigma, saling membahu dalam proses membina negara bangsa.Janganlah kita hanya menuding jari, saling menyalah sesama sendiri.Carilah titik persamaan agar kita berjaja melahirkan modal insan yang cemerlang serta mampu mentadbir negara dengan jaya.