Thursday, December 31, 2009

Minda: Memperkasa azam tahun baru

MEMPERKASA cita-cita dan memperbaharui azam biasanya dilakukan pada setiap kali tahun baru. Dalam usaha memperkasa cita-cita, semangat dan keazaman terus dipertingkatkan demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Setiap cita-cita yang ingin dicapai sudah tentu mempunyai halangan dan cabaran. Bagi seseorang yang bersifat dinamik dan kreatif, halangan dan cabaran itu adalah alat pendorong untuk mencapai kemajuan, bukan sebagai alasan untuk tidak berusaha.

Banyak bukti kejayaan bermula daripada usaha yang bersungguh-sungguh walau dalam apa bidang sekalipun.

Secara jelas, cita-cita memerlukan perjuangan. Perjuangan pula memerlukan pengorbanan dan pengorbanan memerlukan keteguhan hati. Dalam usaha memperkasa cita-cita setiap pelajar atau remaja mestilah membulatkan tekad dengan hanya satu cita-cita yang unggul supaya dapat dilaksanakan dengan tujuan menepati sasaran.

Semua perbuatan ke arah memperkasa cita-cita mestilah bergantung pada niat. Oleh itu, niatkan perbuatan ke arah mencapai cita-cita murni demi kebaikan diri, orang lain dan masyarakat. Sesuatu niat yang baik sudah pasti akan direstui Tuhan untuk mencapainya.

Beberapa tokoh Barat seperti Mark Twain menjelaskan, peliharalah cita-citamu dengan baik kerana apabila cita-cita padam sama ertinya dengan mati.

Dante pula menyatakan hidup akan sunyi apabila manusia tidak mempunyai cita-cita, manakala Goethe menegaskan, wujudkan cita-citamu walaupun hanya dalam angan-angan, kerana begitu kuatnya angan-angan akan memaksa seseorang mencapai cita-cita.

Islam juga sangat menitikberatkan umatnya mempunyai cita-cita unggul demi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Hal ini pernah dijelaskan bijak pandai Muslim, iaitu bencana paling besar adalah putusnya cita-cita. Hidup tanpa cita-cita umpama rumah tidak berjendela menyebabkan penghuninya mati kelemasan.

Imam Abu Hanifah pernah menjelaskan, cita-cita perlu bagi manusia yang hidup. Manusia yang tidak bercita-cita bukanlah sebenarnya dia hidup, tetapi itu adalah kematian kerana manusia yang tidak mempunyai cita-cita sudah mati batinnya dan kematian batin adalah sama dengan hidup dalam kubur.

Justeru, manusia yang memiliki cita-cita tidak kenal istirahat. Dia akan sentiasa berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh untuk merealisasikan cita-cita.

Untuk mencapai cita-cita banyak kesusahan dan penderitaan mesti ditempuh. Ini dijelaskan Ibnu Khaldun yang menyatakan, menderita sebenarnya jauh lebih baik sekiranya bercita-cita kerana ada imbalannya daripada menderita berpanjangan tanpa cita-cita.

Oleh itu, cita-cita sebagai pelajar dan remaja adalah mengubah hati dan diri ke arah kebaikan adalah jalan terbaik menuju kemuliaan. Banyakkan ilmu dan amalan dalam hidup, mengelakkan diri daripada terjebak gejala sosial yang negatif dan merosakkan. Selain itu, memperkasa cita-cita mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan kehidupan.

Sebagai contoh, sahabat Rasulullah s.a.w mempunyai keazaman dan cita-cita sangat hebat. Abu Hurairah menghafal hampir seluruh hadis dan membahagi malamnya menjadi tiga iaitu untuk solat, untuk menghafal dan untuk tidur.

Ahmad ibn Hanbal harus berjalan tiga puluh ribu batu untuk mencari hadis. Dia menghafal satu juta hadis dan menulis empat puluh ribu hadis dalam kitab Musnadnya. Jabir ibn Abdullah pergi mencari satu hadis hingga ke Mesir selama satu bulan. Ibn Musayyab keluar tiga hari hanya untuk mencari jawapan suatu permasalahan.

Begitulah hebatnya orang yang berjaya melaksanakan cita-cita yang boleh diteladani pelajar dan remaja masa kini. Keadaan zaman dulu lebih sukar dan susah berbanding sekarang. Bagaimanapun, ujian kesusahan lebih memberi keazaman berbanding ujian kesenangan pada masa kini yang banyak melalaikan kehidupan.

Untuk mencapai kejayaan dalam cita-cita, pelajar dan remaja perlu menghadapi pelbagai cubaan dan ujian. Bagaimanapun, cubaan dan ujian akan dapat membentuk kedewasaan seseorang, mencabar minda, mencekalkan akal, memperbaiki akal budi, menguatkan semangat dalam menempuh liku-liku perjuangan hidup.

Bagi merealisasikan segala cita-cita, kuatkan azam dan iltizam, fokuskan perhatian pada satu perbuatan dan pekerjaan dengan tekun agar menjadi orang berjaya dalam kehidupan masa depan.

Ketelitian dalam melaksanakan sesuatu adalah jalan kejayaan. Ini disebabkan seseorang yang berjaya sangat teliti, rajin dan berterusan melakukan sesuatu.

Ibu bapa dan guru juga memainkan peranan sangat penting dalam membentuk dan memperkasa cita-cita anak dan pelajar ke arah kejayaan. Bimbingan, khidmat nasihat dan galakan dengan kata-kata semangat yang berterusan sangat berkesan bagi anak atau pelajar mencapai cita-cita.

Tanpa bimbingan dan nasihat dengan memberi semangat dan kekuatan, cita-cita hanya akan tinggal cita-cita. Perjuangan dalam kehidupan tidak akan membawa makna kepada seseorang. Kata-kata semangat akan menjadi sumber inspirasi dan bara semangat bagi menjana pemikiran ke arah kejayaan.

Pada alaf akan datang, cabaran dan dugaan untuk mencapai cita-cita lebih kuat. Ini disebabkan penduduk dunia semakin ramai, begitu juga penduduk di sesebuah negara sedangkan peluang semakin sedikit dan sukar dicapai. Segala-galanya memerlukan perjuangan dan pengorbanan berlipat ganda.

Dalam usaha memperkasa cita-cita, peribadi dan akhlak mulia mestilah diutamakan seperti amanah, ikhlas, tekun, berdisiplin, bersyukur, sabar dan adil dalam melaksanakan setiap pekerjaan. Ini akan membentuk keimanan utuh dan pelaksanaan amal ibadah berterusan.

Kejayaan sesuatu cita-cita banyak bergantung pada usaha dan semangat gigih.

Ketentuan Allah akan mengatasi segala-galanya, tetapi bagi setiap ahli masyarakat yang mempunyai cita-cita ingin maju dan berjaya dalam lapangan kehidupan, doa juga memainkan peranan agar dimakbulkan segala cita-cita yang baik.

Kesabaran dalam mencari keredaan Allah amat penting. Ketakwaan adalah kunci kebahagiaan dan puncak kepada segala cita-cita dalam kehidupan. Dalam memburu cita-cita, elakkan daripada terjebak dalam perkara yang boleh merosakkan iman dan mencemarkan hasrat murni cita-cita berkenaan.



rujukan: Harian Metro

Novel tingkatan 4 bagi tahun 2010

Tajuk novel: PAPA...(akhirnya kau tewas jua!)
Pengarang : Deana Yusof

Biodata Pengarang:

Nama sebenar Deana Yusof ialah Norhaiza binti Yusof yang dilahirkan pada 3 Mac 1957 di Kepong, Selangor. Beliau memperoleh pendidikan awal di Sekolah Menengah Kampung Baru, Kuala Lumpur.Seterusnya, melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA di Shah Alam, Selangor.
kini, Deana merupakan suri rumahtangga sepenuh masa dan menjadi penulis di Pekan Ilmu Publications. Beliau, berazam menulis sebuah novel setahun kerana lebih mementingkan kualiti karya daripada kuantiti.

SINOPSIS NOVEL PAPA

Cerita bermula pada suatu petang, ketika Intan Julia perasan akan kemesraan papa dengan mama.Mak cik Noraini, pembantu rumah mereka menyediakan minuman petang. Ju berasa kagum tetapi jengkel melihat kehangatan hubungan tersebut meskipun mereka sudah lama mendirikan rumahtangga.


Mak cik Noraini sering bercerita tentang sejarah percintaan mama dan papa Juliana. Perbualan mereka terputus tatkala papa memberitahu Juliana bahawa mamanya sedang mengandung anak yang kedua.Mendengar berita tersebut, membuatkan hati mak cik Noraini bimbang. Malah rakah-rakan Intan Marliana juba bimbang risiko yang bakal dihadapi oleh Intan Marliana memandangkan mama pernah mengalami komplikasi yang teruk tatkala melahirkan Juliana.Namun, kedegilan Intan Marliana untuk membuktikan kasihnya kepada papa, beliau bertekad untuk meneruskan kandungannya dan pasrah kepada Tuhan.Hal ini demikian kerana, papa memang sudah lama teringin menimang cahaya mata kedua.


Di dalam kereta, Cikgu Suzie mengingatkan Intan Marliana tentang risiko yang bakal dihadapi oleh sahabatnya itu. Namun Intan Marliana tetap dengan pendiriannya untuk terus mengandung dan melahirkan cahaya mata demi cintanya yang mendalam kepada Jefri. Julia yang mendengar perbualan tersebut perasan akan perubahan air muka mamanya. Hal ini menyebabkan Julia ingin tertanya-tanya dan mencari jawapan daripada mak cik Noraini. Makcik Noraini menceritakan sejarah kelahiran Julia yang tidak cukup bulan dan keadaan mamanya yang pengsan serta betapa susahnya untuk menjaga Ju.


Memandangkan Intan Marliana mengandungkan anak kembar, maka Jefri menyediakan dua buah katil buat bakal bayi mereka. Intan Marliana dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia tatkala saat melahirkan tiba.Doktor memaklumkan bahawa mama perlu menjalani pembedahan kerana komplikasi terhadap kandungannya itu.Akhirnya, bayi kembar lelaki yang melekat dari bahagian kepala hingga punggung dilahirkan melalui pembedahan. Namun, tidak panjang umurnya dan meninggal dunia. Manakala Intan Marliana pula koma akibat kehilangan banyak darah.Kembar tersebut dinamakan Ahmad dan Muhammad.

Kesedihan menyelubungi keluarga mereka lantaran anak yang dinanti-nantikan pergi menyahut seruan Ilahi. Jefri menggantikan tempat Intan Marliana menguruskan kehidupan dan tidak jemu-jemu menjaga dan mendoakan agar isterinya pulih seperti sediakala. Ketika di rumah, Ju menatap foto-foto lama milik mama dan papa sambil membayangkan kisah mereka semasa usia muda. Sepucuk surat yang pernah dikirimkan oleh papa kepada mama dibaca.Melalui surat itu, Ju mengetahui betapa tingginya kasih sayang papa terhadap mama.

Juliana pula kian dewasa dan rapat dengan Rasylan, rakan sekolahnya. Papa benar-benar menentang akan hubungan tersebut memandangkan Rasylan merupakan anak angkat yang status keturunannya serta asal-usulnya tidak diketahui.Ju dan Rasylan memperoleh keputusan cemerlan dalam SPM dan berjaya melanjutkan pelajaran di Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa(UIA).Dalam masa yang sama, papa mula rapat dengan pelajar beliau yang bernama Aishah. Aishah, sentiasa mengambil berat dan memberi perhatian kepada papa menyebabkan hubungan mereka menjadi rapat. malah ,Ju telah beberapa kali terserempak mereka berbual-bual di kedai makanan segera.

Hakikatnya, papa mula tertarik kepada Aishah dan ingin memperisterikannya. Hasrat hatinya disuarakan kepada mak cik Noraini. Perbualan tersebut telah didengari oleh Ju dan bermula konflik antara mereka kerana Ju berasa kurang senang dengan hasrat papa yang ingin berkahwin lagi. kata-kata Ju menimbulkan kemarahan papa. Ju juga telah ditampar oleh papa. Akhirnya konflik tersebut dapat dileraikan apabila papa berbincang dari hati ke hati dengan Ju.Ju bersetuju kerana kasihan melihat papa yang kesunyian sepanjang mama koma.


Aishah pandai mengambil hati Ju dan sering bertanya khabar dan mengajak bermain tenis.Malah Aisyah membawa Ju pulang ke rumahnya dan ketika itu barulah Ju tahu bahawa Aisyah anak orang berada.Jefri pula tidak jemu-jemu "berbual-bual" dengan isterinya tentang masa depan anak mereka.

Papa selamat diijabkabulkan dan Ju pula akhirnya berjaya menamatkan kursus di UIA.

Intan Marliana telah bertahun-tahun koma akhirnya telah membuka mata di biliknya. Ju terkejut dan berasa amat gembira. Papa hanya tersenyum tenang menghadapi situasi tersebut. Namun keadaan bertukar sepi apabila Aishah masuk ke bilik itu sambil memegang bahu papa. Situasi tersebut menyebabkan papa serba salah lalu menceritakan keadaan yang sebenar. Mama kelihatan marah mendengar berita tersebut dan mendengus dengan kuat sambil melepaskan genggaman tangan papa. Akhirnya mama meninggal dunia selepas lebih tiga tahun koma.


TEMA NOVEL PAPA:

Novel karya Deana Yusof ini bertemakan kasih sayang.Buktinya mama sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk mengandung kali kedua sebagai tanda kasih sayang yang mendalam terhadap papa yang inginkan anak meskipun tahu risiko yang bakal dihadapi sekiranya mama meneruskan kandungannya itu. Papa juga membuktikan kasih sayang yang mendalam terhadap mama dengan cara menjaganya, berbual-bual dengan mama sepanjang masa mama koma dengan harapan mama akan pulih seperti dahulu.Malah, Intan Julia turut membuktikan kasih sayangnya dengan mengizinkan papa mengahwini Aishah meskipun pada peringkat awalnya dia menentang hasrat papa.

PERSOALAN NOVEL PAPA:

1. Pengorbanan suami dan isteri demi kebahagian pasangan masing-masing buktinya Intan maliana sanggup mengandung kali kedua demi memenuhi kehendak suaminya. Malah, Jeffri pula berkorban dengan cara menjaga isterinya yang koma selama lebih tiga tahun

2. Kesetiaan seorang suami terhadap isterinya. Buktinya ,Jeffri setia menemani isterinya yang koma selepas kehilangan banyak darah semasa melahirkan kembar Ahmad dan Muhammad. Malah, Jeffri juga enggan berkahwin lain ketika didesak oleh Mak Cik Noraini sebagai bukti kesetiaannya itu.Namun, keputusan untuk berkahwin lain dibuat selepas bertahun-tahun hidup keseorangan.

3. Ketabahan menghadapi dugaan daripada Tuhan. Buktinya, Jeffri tabah menghadapi dugaan ketika isterinya koma dan berusaha untuk mengubatinya. Malah, dia juga tabah tatkala kedua-dua anak kembarnya turut meninggalkannya.

4. Keprihatinan terhadap masalah orang lain dapat dibuktikan melalui watak cikgu Suzie yang cuba menasihati Intar Marliana agar tidak terus mengandung kerana sedar akan risiko yang bakal dihadapi.

Watak dan perwatakan

watak utama dalam novel ini ialah Intan Juliana(Ju). pada permulaan cerita, beliau dgambarkan berusia 16 tahun dan pada peleraian cerita pula digambarkan berusia 19 tahun. Fizikalnya mempunyai ketinggian 160 cm dan merupakan anak sulung kepada Jeffri dan Intan Marliana.


Ju meneruskan pengajian di Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selepas mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Perwatakan dalaman Intan Juliana:
1. taat akan ibu bapa buktinya dia sentiasa berusaha menggembirakan hati ibu bapanya dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dalam pelajaran.

2. taat akan agama buktinya dia solat

3. penyayang buktinya dia menyayangi dan menjaga hubungan baik dengan makcik noraini yang merupakan pembantu rumah

4. berdikari buktinya dia tinggal di asrama semasa menuntut di UIA walaupun rumahnya berdekatan dengan tempat pengajiannya.

5. sensitif buktinya ketika dia mula-mula mendengar hasrat ayahnya ingin berkahwin lain, dia benar-benar terasa bahawa ayahnya sudah tidak sayang akan ibunya lagi. hal ini menyebabkan Ju menentang hasrat ayahnya itu.

Tuesday, December 29, 2009

siapakah yang peduli

siapakah peduli
pilu hatiku yg kian membeku
jasad dan nyawa merintih
rindu akan dirimu
meskipun cuba kuleraikan
namun tak upaya

siapakah yang peduli
sayu hatiku yang kian membelit rindu
pada satu jasad yg tiada lagi
meskipun dulu pernah mengisi kekosongan hatiku
berteman sejak kelahiranku hingga tiba saat ajalmu

siapakah yang peduli
hatiku dan hatimu
saling merindu..

(dedikasi buat bonda tercinta HAJAH ESHAH HJ. JAMIL)

Thursday, December 24, 2009

PMR: 28,188 pelajar peroleh semua A


PUTRAJAYA: Seramai 28,188 pelajar memperoleh semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun ini berbanding 26,378 pada tahun lalu.

Ketika mengumumkan analisis keputusan peperiksaan itu di sini hari ini, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini ialah 2.83 berbanding 2.78 tahun sebelumnya.

Beliau berkata, calon luar bandar yang mendapat semua A ialah 4,775 berbanding 4,345 pada 2008 manakala 87,936 pelajar melepasi tahap minimum (A,B,C,D) berbanding 88,565 tahun sebelumnya.



"Pelajar yang mendapat semua E pula adalah 123 orang daripada 159 pada tahun lalu," katanya.

Alimuddin berkata, prestasi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Punjabi menurun sedikit.

"Peratusan berbanding tahun lalu untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 peratus kepada 25.6 peratus tahun ini, BI pula menurun daripada 16.4 peratus kepada 16.1," katanya.

Terdapat peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam bilangan pelajar yang memperoleh A dalam mata pelajaran Matematik manakala bagi mata pelajaran Sains ia naik daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus.

Alimuddin berkata, untuk pelajar istimewa pula, daripada 134 yang mengambil peperiksaan itu tahun ini, tujuh orang mendapat semua A.

Pelajar istimewa, Siti Raihan Abdul Nasir dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad Kuala Nerang, Kedah, yang rabun, berjaya memperoleh 9A.

Dua lagi pelajar istimewa lain yang juga mengalami masalah rabun, Debbie Lim Huey Chin dari SMK Sultan Ismail dan Muhammad Azfar Firdaus Azlah dari SMK Dato Penggawa Barat di Johor Bahru, memperoleh 8A.

Sekolah harian terbaik termasuk SMK Jalan Empat Bandar Baru Bangi, Selangor, SMK Mak Lagam, Kemaman, Terengganu, SMK Sultan Badlishah, Kulim, dan SMK Sultanah Asmah, Alor Setar serta SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

Sekolah Berasrama Penuh terbaik pula ialah Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Tun Fatimah Johor Baharu, Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, serta SM Sains Tengku Abdullah, Raub.

SM Imtiaz, Besut, dan SM Imtiaz, Kuala Berang, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Agama Persekutuan Kajang serta SM Agama Persekutuan Labu, muncul sekolah menengah agama terbaik.

Di IPOH, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star) mencatatkan kelulusan tertinggi iaitu seramai 85 daripada 107 calon berjaya memperoleh 9A manakala satu-satunya sekolah harian yang mencatatkan kelulusan 100 peratus adalah SMK Taman Tasek Taiping.

Di KUALA LUMPUR, keputusan secara keseluruhannya meningkat daripada segi kuantiti dan kualiti.

Pengarah Pelajaran Kuala Lumpur Sulaiman Wak berkata daripada 21,921 calon yang menduduki peperiksaan itu, 15,533 atau 70.86 peratus telah mencapai keputusan A, B, C atau D iaitu lulus dalam semua mata pelajaran berbanding 14,986 atau 70.20 peratus tahun lalu.

"Dari segi kecemerlangan individu di peringkat negeri, seramai 1,939 atau 8.85 peratus calon telah mendapat gred A dalam semua mata pelajaran berbanding 1,789 atau 8.38 peratus pada tahun 2008, iaitu peningkatan sebanyak 0.47 peratus," katanya.

Di KOTA KINABALU, bilangan calon yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 734 orang berbanding 659 orang tahun lalu.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Dr Muhiddin Yusin, berkata 14 mata pelajaran yang ditawarkan kepada 38,741 calon di Sabah tahun ini menunjukkan peningkatan kelulusan memberangsangkan berbanding tahun lalu dengan kelulusan hampir 100 peratus.

"Turut mencatatkan kelulusan hampir 100 peratus ialah mata pelajaran Bahasa Kadazan yang pertama kali ditawarkan dalam peperiksaan berkenaan," katanya.

Di ALOR SETAR, seramai 1,736 orang daripada 35,155 orang calon mendapat semua A sama ada dalam tujuh, lapan atau sembilan mata pelajaran yang diduduki dengan peratusan sebanyak 4.94 peratus.

Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Shahidan Abd Rahman berkata pencapaian gred purata bagi tahun ini ialah 2.878 berbanding 2.926 tahun lepas iaitu meningkat sebanyak 0.048.

"Peratus penguasaan tahap minimum dalam semua mata pelajaran telah meningkat sebanyak 0.37 peratus tahun ini, iaitu 58.22 peratus berbanding 57.85 peratus tahun lalu," katanya.

Shahidan berkata, sebanyak 10 mata pelajaran dari 15 mata pelajaran yang ditawarkan telah meningkat peratusan pencapaian pada tahun ini iaitu Sejarah, Geografi, Bahasa Tamil, Bahasa Punjabi, Pendidikan Islam, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup Teknikal, Kemahiran Hidup (Ekonomi Rumah Tangga) dan Kemahiran Hidup Pertanian.

Di JOHOR BAHRU, keseluruhan 58,327 calon yang menduduki PMR 2009 mendapat pencapaian lebih baik berbanding calon tahun sebelumnya dengan 3,308 daripada mereka memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufa'at Tumin, berkata keputusan itu menyaksikan peningkatan 0.47 peratus berbanding 3,031 calon yang mendapat keputusan cemerlang itu tahun lalu. - Bernama

Tuesday, December 22, 2009

Syor anjak pembukaan sesi sekolah pertengahan JanuariKUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi akan mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran supaya menganjakkan permulaan sesi persekolahan tahunan ke pertengahan Januari berbanding awal bulan ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata cadangan itu bagi mengelakkan lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menghadapi tempoh senggang terlalu lama untuk memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini.

Katanya, ini berikutan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk merombak kalendar akademik IPT supaya seragam dengan sesi pengajian universiti pada peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kalendar akademik IPT di negara ini bermula antara akhir Jun dan awal Julai, manakala sesi pengajian universiti pada peringkat antarabangsa pula pada sekitar akhir Ogos.

"Sekiranya kalendar akademik IPT diubah kepada akhir Ogos tetapi permulaan sesi persekolahan kekal sama, ini menyebabkan lulusan SPM dan STPM terpaksa menunggu lebih lama untuk memasuki universiti.

"Dalam konteks ini, kementerian bimbang timbul isu negatif bahawa mereka menjadi tidak produktif atau terbabit dengan gejala seperti melepak atau merempit berikutan tempoh senggang yang terlalu panjang," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan kalendar akademik IPT di negara ini akan diubah supaya seragam dengan sesi pengajian universiti pada peringkat antarabangsa untuk menarik kemasukan lebih ramai penuntut asing dan memudahkan pelaksanaan program mobiliti pelajar serta tenaga pengajar.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dipetik sebagai berkata sebarang perubahan terhadap kalendar akademik IPT bakal diketahui pada mesyuarat terakhir dengan Kementerian Pelajaran yang dijadualkan berlangsung pada minggu depan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, ketika dihubungi pula berkata cadangan yang akan dibentangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada minggu depan akan dibincang dan dibawa dalam tiga peringkat mesyuarat Kementerian Pelajaran, iaitu mesyuarat pengurusan, mesyuarat profesional dan mesyuarat mengenai dasar pendidikan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Monday, December 21, 2009

Penanda aras guru
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


DALAM usaha meletak sistem pendidikan negara setara dengan piawaian global dan melahirkan modal insan berminda kelas pertama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM), baru-baru ini.


DALAM usaha meletak sistem pendidikan negara setara dengan piawaian global dan melahirkan modal insan berminda kelas pertama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM), baru-baru ini.

SGM meletakkan guru mesti memiliki tiga aspek amalan nilai, iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi.


Dengan adanya garis panduan itu, warga pendidik lebih fokus dari segi keupayaan dan keberkesanan SGM dapat diukur menerusi pencapaian pelajar dan prestasi sekolah.

Persoalannya, adakah sistem pendidikan negara ini tidak setara dengan piawaian global sehingga perlunya ada SGM?

Selain itu, adakah guru sedia ada tidak berkualiti sehingga mereka dimestikan memiliki tiga aspek dalam SGM?

Di tahap manakah kualiti guru kita dan jika benar mereka tidak mencapai standard ditetapkan, apakah langkah yang terbaik mengatasinya?

Apakah dokumen SGM ini boleh dicapai dan tidakkah ia membebankan guru atau mereka yang mahu menjadi pendidik?

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan, berkata untuk menjadikan sistem pendidikan negara setara dengan piawaian global, SGM amat diperlukan.

Beliau berkata, SGM ini mengingatkan guru akan tanggungjawab mereka sebagai pendidik dan tidak melakukan kerja sambil lewa.

"Tanpa SGM, kita takut, guru lupa tanggungjawab mereka dan melakukan tugas sambil lewa kerana tiada piawaian yang patut dipatuhi mereka.

"Jika guru pada zaman sebelum merdeka, mereka bukan saja berperanan mendidik anak bangsa, tetapi berjuang membangunkan rakyat.

"Tapi sekarang, kebanyakan guru lebih mementingkan gaji daripada tanggungjawab melahirkan anak bangsa yang cemerlang, justeru kita perlukan SGM," katanya.

Menyentuh tiga aspek dalam SGM, Mohd Ali berkata, perkara ini perlu kerana kita mahu kepastian setiap guru sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan mereka.

"Guru perlu meningkatkan kemahiran ilmu seperti teknologi maklumat (IT) supaya mereka tidak tertinggal dalam arus kemodenan," katanya.

Apabila mereka mempunyai tiga amalan dalam SGM itu, katanya, ia dapat mengelak daripada bersikap mementingkan gaji berbanding tanggungjawab.

"Sebagai pendidik, guru perlu ikhlas memberi didikan. Jangan pula baru setahun mengajar di luar bandar, sudah sibuk mahu pulang," katanya.

SGM ini dilancarkan bukan kerana guru kita tidak bermutu, tetapi membaiki dan meningkat taraf mereka ke fasa yang lebih tinggi.

"Melihat kepada kemahiran yang dimiliki anak kita sekarang, masih banyak yang mereka perlu pelajari dan ia menggambarkan kualiti guru.

"Kualiti guru di negara ini setanding dengan pendidik di negara maju.

"Namun, dalam usaha menjadi negara pendidik kelas pertama, banyak perlu dilakukan, bukan sekadar berpuas hati apa yang ada," katanya.

Ditanya perbandingan guru dahulu dan sekarang, katanya ketika zaman awal kemerdekaan, guru bukan saja berperanan sebagai pendidik dengan menyediakan kelas tuisyen percuma, tetapi pemimpin masyarakat selain memupuk perpaduan kaum.

"Kini, kelas tuisyen dikenakan bayaran yang mahal, inikan pula mahu menjadi pemimpin untuk masyarakat.

"Justeru, dengan adanya SGM, ia akan menjadi petanda aras kepada guru dan memastikan mereka menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang," katanya.

Pelaksanaan dokumen SGM ini tidak membebankan guru, tetapi melahirkan pendidik berkaliber dan berkualiti.

"Menerusi SGM, guru yang gagal menjiwai kerjaya perguruan dapat dilepaskan secara sukarela.

"SGM juga dapat menilai guru dari aspek kendiri yang akan menentukan seseorang itu guru yang ikhlas atau lebih kepada mendapat gaji bulanan semata-mata," katanya.

Beliau berharap SGM yang dilaksanakan ini dipertingkat dari semasa ke semasa bagi meningkatkan mutu bidang pendidikan.

"Jika ada guru gagal mematuhi SGM, tindakan sewajarnya patut dikenakan sebagai pengajaran kepada warga pendidik di negara ini," katanya.

Thursday, December 17, 2009

DOA AWAL DAN AKHIR TAHUN

Doa Awal Tahun & Doa Akhir Tahun


Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.


Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.




Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:
"Hampalah kami di sepanjang tahun ini".

Doa Akhir Tahun:


Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Saturday, December 12, 2009

Huraikan pendapat anda tentang gejala cetak rompaka yang semakin berleluasa pada masa kini di negara kita.

Pendahuluan:
definisi cetak rompak;meniru/mempalagiat/ kegiatan menyalin semula dan mengedar karya seperti lagu, filem, barang-barang seperti beg tangan, secara tidak sah dan melanggar Akta Hak Cipta 1987

isi-isi penting:
- kegiatan cetak rompak hanyalah merugikan pemilik hak cipta - mereka tidak membayar royalti atau ganjaran kepada pencipta atau pemilik hak cipta yang bertungkus lumus menghasilkan karya berkenaan.
- kerajaan akan kehilangan pendapatan negara yang bernilai berjuta-juta ringgit lantaran perompak hak cipta tidak membayar cukai kepada kerajaan.
- kesannya, industri filem, muzik, dll akan lumpuh kerana wang yang dikeluarkan untuk menghasilkan karya atau barangan berjenama tertentu tidak mendapat pulangan yang setimpal
- punca cetak rompak berleluasa ; sikap masayarakat yang memberi muka, seolah-olah menyokong kegiatan tersebut dengan cara membeli kerana harganya yang lebih murah serta mutunya pula tidak jauh berbeza dengan yang asli
- langakah mengatasi masih tidak mencapai sasaran kerana undang-undang serta akta yang sedia ada tidak menakutkan mereka yang menjalankan kegiatan cetak rompak - malah, mereka mampu melunaskan jumlah denda yang sedikit berbanding keuntungan berlipat kali ganda yang masuk poket mereka

penutup:
kegiatan cetak rompak merupakan satu jenayah yang mempu memberi implikasi buruk kepada perkembangan industri tertentu - malah pelabur akan menarik diri jika tidak mendapat pulangan yang diharapkan daripada pelaburan mereka - penguatkuasaan undang-undang dan penguatkuasa yang turun padang akan dapat menakutkan pihak yang gemar mencetak rompak

karangan peribahasa,"sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit"

pendahuluan:masyarakat Melayu banyak mewarisi peribahasa daripada generasi terdahulu dan masih diaplikasikan dalam kehidupan lataran masih relevan dengan situasi semasa. Antaranya ialah ,"sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit"

isi penting:- maksud peribahasa tersebut ialah sesuatu yang dilakukan secara kecil-kecilan, tetapi secara berterusan akan membuahkan kejayaan. Peribahasa yang hampir sama maknanya ialah "sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain"
- peribahasa ini jelas menekankan aspek nilai tekun dan kerajinan yang perlu diamalkan ketika melakukan sesuatu pekerjaan.
- peribahasa ini sangat penting kerana mengandungi nilai tekun serta rajin. Sekiranya dihayati dan diamalkan akan menjadikan kita orang yang produktif.
- peribahasa ini menyarankan agar kita mempunyai semangat yang cekal dan tidak mudah berputus asa ketika melakukan sesuatu pekerjaan.
- seseorang murid sewajarnya menjadikan peribahasa tersebut sebagai amalan dalam hidup; mengulang kaji pelajaran secara konsisten walaupun sedikit-sedikit. situasi ini lebih berkesan agar dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

penutup:
masyarakat sewajarnya mengkaji lebih banyak peribahasa yang dapat memberikan semangat untuk terus maju dalam kehidupan yang semakin moden ini.

Monday, December 7, 2009

BERDOALAH SAYANG...

Ya Allah jadikanlah Hati ini sentiasa merindui Mu,memanggil-manggil nama Mu,menyeru-nyeru akan keagungan Mu.
Ya Allah jadikanlah Fikiran ini sentiasa berfikir akan Kebesaran Mu,fikiran yg sentiasa menerima Ilmu-ilmu Mu.
Ya Allah jadikanlah Diri ini sentiasa ingin bersama Mu walau dalam suka dan duka.
Jadikanlah diri ini akan terasa kosong dan hambar bila tidak dapat bersama-sama Mu.

Hati ini,Fikiran ini,Diri ini perlukan Pimpinan Mu,Tunjuk ajar Mu.
Jangan biarkan aku lemah dan layu dengan setiap Hinaan dan setiap Kesakitan.
Hinaan dan kesakitan ini adalah dgn izin Mu,krana tanpa izin Mu,ianya tidak akan berlaku dan ini adalah tanda Kasih sayang Mu,tanda aku dipilih untuk di uji sejauh mana cinta kasih dan sayang ku pada Mu Ya Allah.

Aku sedar betapa Engkau merindui rintihan ku,
merindui titisan airmata ku yg jatuh mengalir
lambang hadiah dari insan yg redha dgn kasihsayang Mu,
redha dgn ujian-ujian dari Mu.

Redha dikala merasa kepayahan,
redha dgn kemiskinan,
redha dgn hinaan dan cacian.
Dgn segala keredhaan ini,
aku sedar terselit kenikmatan yg sukar digambarkan,
terselit ketenangan yg sukar dicari dimana-mana pun jua.

Kenikmatan dan Ketenangan yg ENGKAU limpahkan,
menjadikan rasa takut itu pergi,
menjadikan resah gelisah itu mati dlm Rahmat dan Hidayah Mu.

Aku sudah tidak gentar dgn hinaan dan cacian meskipun airmata ini akan tetap jatuh mengalir,
aku sudah tidak gerun dgn kepayahan,kemiskinan walau aku dicampak jauh disatu sudut tanpa ada sapa yg pedulikan aku.

Kerana airmata yg jatuh mengalir ini adalah hadiah redha buat Mu Ya Allah,
dan jauh disatu sudut tercampak keseorangan dan kesepian,
menjadikan aku lebih akrab dgn Mu Ya Allah,
kerana akrabnya aku dgn Mu,
kenikmatan,ketenangan,kekuatan,keupayaan,petunjuk dan hidayah,
tiada siapa yg berhak memberi,
hanya Engkau Ya Allah Yang Maha Agung dengan sifat-sifat Kemuliaan Mu...SUBHANALLAH.

Maka terimalah aku seada-adanya,
terimalah aku seburuk-buruknya,
terimalah aku sehina-hinanya,
terimalah aku selemah-lemahnya aku.
Kerana ENGKAU Yg Maha Mengasihani...
Tidak pernak Engkau halangi aku
untuk sentiasa bersama-sama Mu...

Terima kasih Ya Allah...Terima kasih
Dari insan yang Daif lagi Naif ini...

Nukilan ku buat Mu Ya Allah...
dan buat Teman-temanku semua...

RUJUKAN: AZLIN


About | Help | Terms | Privacy Policy | Safety Tips | Report Abuse | Adverti

Saturday, December 5, 2009

RAJA BERSIONG

TABIAT buruk dan kekejaman Raja Bersiong bermula selepas memakan sayur bayam bercampur darah manusia, milik tukang masak istana yang tidak sengaja terhiris jarinya ketika sedang memasak. Apabila makanan itu dihidangkan dan disantap Raja Bersiong, berasa kelainan ketara.

Hal ini diajukan kepada tukang masak dengan bertanya resipi yang digunakan dan terpaksa tukang masak itu menceritakan hal sebenar yang berlaku. Sejak itulah baginda mengarahkan masakannya dicampur dengan darah manusia.

Pengawal istana diarah membunuh musuh baginda dipenjara dan dipancung untuk diambil darahnya. Apabila semua tawanan sudah habis, kanak-kanak pula menjadi mangsa. Rakyat ketakutan dan selepas sekian lama, mula timbul api pemberontakan menentang kezaliman raja.

Raja Bersiong yang semakin ghairah dengan darah mengalami masalah sakit gigi yang disebabkan siung mula timbul di mulutnya. Ketika ini pula gerakan memberontak bermula dan menyerang istana menyebabkan raja melarikan diri.

Ada yang mengatakan pemberontakan itu diketuai seorang menteri dan ada pula mendakwa ia dipimpin raja negeri Kampar yang berjiran dengannya.

Ketika dalam perjalanan di hutan, giginya semakin sakit dan selepas berhempas pulas mencabut siung, akhir berjaya dan mencampakkan taringnya jauh ke hutan sebagai tanda marah, lalu dinamakan Baling. Ada yang mengatakan baginda melarikan diri bersama sekumpulan pengikut dan berkubu di Kota Air, Gubir.

Daripada peristiwa Raja Bersiong itu, timbullah nama tempat seperti Merbau Pulas, Kuala Pegang dan Kuala Ketil dan Kota Aur.

INFO: Nama Baling

Mengikut bahasa Siam, ia bermaksud kampung kera.


Ban bermaksud kampung dan Lin bermaksud kera.


Orang Siam dan Burma yang datang ke sini 200 tahun dulu tidak pernah melihat kera yang begitu banyak yang datang dari hutan Gunung Baling.

RUJUKAN: BERITA HARIAN

Friday, December 4, 2009

kehidupan ini begitu kompleks

Disember ini datang lagi dan saat inilah dapat aku sedikit ruang dan peluang untuk merehatkan minda setelah bertungkus lumus berjuang mendidik anak didikku yang pelbagai karektor untuk difahami dan dibimbing. Namun, ruang untuk merehatkan minda itu hanyalah satu impian yang fatamorgana lantaran kewajipan sebagai insan tidak pernah putus untuk terus menyumbangkan sesuatu kepada insan di sekeliling terutama ahli keluarga dan anak-anak didik yang kerap bertandang biarpun hanya di alam maya ini.

Cuti-cuti Malaysia mungkin indah untuk diungkapkan di bibir namun untuk merealisasikan impian tersebut pun teramat payah sekarang. Kekangan masa cemburu sungguh menghambat kehidupan yang sedia kususun atur sebaik-baiknya.Beginilah kehidupan yang begitu kompleks untuk menjadi sempurna pada mataku sendiri. Mungkin, aku tidak mampu menjadi yang terbaik di antara intan permata yang baik-baik. Namun, sumbangan aku yang tulus ikhlas ini merupakan yang terbaik mampu aku hulurkan bagi melahirkan modal insan kelas pertama. Nak menjadi SATU MALAYSIA pun bukanlah kata-kata manis di bibir. Semua itu memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit.

Benarlah kata orang, tiada jalan mudah untuk menggapai kejayaan dalam hidup ini. Mungkin impian untuk menggapai bintang di langit itu menjadi sebahagian daripada impian Mat Jenin moden. Namun, kalau hendak seribu daya. Segala-galanya berkemungkinan.Hajat untuk memuaskan hati semua orang di sekeliling pun bukanlah mudah , semudah menuturkan kata-kata oleh lidah yang tidak bertulang ini.Mungkin bagi kita sumbangan ikhlas ini dah terbaik di dunia..namun, cermin di sekeliling kita mungkin mengatakan sumbangan kita belum mencapai standard yang betul-betul gemilang. Jadi, muhasabah diri merupakan langkah terbaik untuk menjadikan kehidupan yang sememangnya kompleks ini dapat terus bertahan di landasan yang betul.