Tuesday, March 31, 2009

Jenayah libatkan pelajar serius
KUALA LUMPUR 31 Mac – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini melahirkan kebimbangannya dengan trend penglibatan pelajar dalam kegiatan jenayah yang menunjukkan peningkatan sejak dua tahun lalu.
Beliau berkata, jenayah melibatkan golongan itu yang dianggap serius termasuklah kes bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan pecah rumah.
Katanya, ini dibuktikan apabila pada 2007, sebanyak 1,836 kes dilaporkan dengan melibatkan tangkapan seramai 3,383 pelajar.
Tambahnya, daripada jumlah itu, seramai 3,241 pelajar orang adalah mereka yang berusia 13 hingga 18 tahun.
“Bagi tahun lalu pula, angka itu terus menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 2,218 kes dengan melibatkan penahanan seramai 3,725 pelajar.
“Daripada jumlah itu seramai 3,629 pelajar adalah berusia 13 hingga 18 tahun,” katanya dalam perutusan sempena sambutan ulang tahun ke-39 pasukan Kor Kadet Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Perutusan Musa itu dibacakan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat.
Dalam majlis tersebut seramai 56 anggota Kor Kadet Polis menerima kenaikan pangkat iaitu sarjan dan sarjan mejar.
Beliau berkata, berdasarkan perangkaan tahun lalu, kes kecurian motosikal mencatatkan angka tertinggi dengan 159 kes, manakala kes rogol (6) dan bunuh dua kes.
Bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini saja katanya, satu kes bunuh membabitkan penahanan lapan suspek berusia 16 hingga 18 tahun dilaporkan.
Bagaimanapun beliau berkata, untuk tempoh terbaru itu tiada sebarang kes kecurian motosikal melibatkan pelajar diterima.
Jelas Musa, berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia baru-baru ini pula mendapati kira-kira 87 peratus mat rempit adalah remaja yang berusia 14 hingga 25 tahun.
“Kajian yang sama juga mendedahkan 48.1 peratus golongan itu terlibat dalam aktiviti berkenaan kerana bosan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang manakala 27.8 peratus adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya,” katanya.
Akronim dan Singkatan

oLEH MUHAMMED SALEHUDIN AMAN

Dalam hal akronim dan singkatan ini, terdapat kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa Melayu, termasuk pelajar-pelajar untuk membezakan konsep akronim dengan singkatan. Kedua-dua akronim dengan singkatan kata mempunyai fungsi dan cara pembentukannya yang tersendiri.
Akronim ialah bentuk kata tunggal yang terjadi atau terbentuk daripada huruf-huruf pertama atau suku kata, ataupun bahagian-bahagian daripada perkataan-perkataan lain. Gabungan huruf awal dan suku kata daripada satu rangkai kata ditulis serta dilafazkan sebagai satu kata yang wajar.
Dalam bahasa Melayu, akronim tergolong ke dalam kata tunggal walaupun terbentuk daripada percantuman bunyi-bunyi pertama dalam sejumlah perkataan atau percantuman bahagian-bahagian daripada beberapa patah perkataan. Hal ini menunjukkan cara pembentukan akronim tidaklah seperti pembentukan kata-kata tunggal yang lain.
Dalam bahasa Melayu, terdapat sekurang-kurangnya empat jenis akronim. Yang pertama ialah akronim yang terbentuk daripada cantuman huruf awal perkataan-perkataan. Misalnya, ABIM terbentuk daripada huruf awal Angkatan Belia Islam Malaysia, LUTH daripada huruf awal Lembaga Urusan Tabung Haji, MARDI (Malaysian Agricultural Research Development Institute), EON (Edaran Otomobil Malaysia), dan ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri). Kesemua akronim ini merupakan singkatan bagi nama khas beberapa pertubuhan atau organisasi.
Jenis yang kedua ialah akronim cantuman huruf dan suku kata perkataan yang berdasarkan rasa sedap sebutan. Contohnya: INTAN daripada Institut Tadbir Awam Negara, BERNAMA daripada Berita Nasional Malaysia, MARA (Majlis Amanah Rakyat), PROTON (Perusahaan Automobil Nasional) dan PERHILITAN (Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara).
Kata akronim jenis yang ketiga ialah kata yang dicipta berdasarkan cantuman suku kata awal perkataan. Misalnya. Cereka daripada cerita rekaan, cerpen daripada cerita pendek, cikgu (cik guru), tabika (taman bimbingan kanak-kanak), kugiran (kumpulan gitar rancak), PENA (Persatuan Penulis Nasional), PERNAS (Perbadanan Nasional), GAPENA (Gabungan Penulis Nasional), dan PULAPOL (Pusat Latihan Polis).
Jenis yang terakhir (yang keempat) ialah kata akronim yang terbentuk daripada percantuman bahagian awal perkataan dengan bahagian lain perkataan yang mengikutinya. Contohnya, angkubah daripada angka ubah, asbut daripada asap sabut, debunga (debu bunga), hakis (habis kikis), jaluran (jalan lurah), jenama (jenis nama), jentolak (jentera tolak), jurutera (juru jentera), kemas kini (ke masa kini), dan purata (pukul rata).
Harus diingat, kebanyakan akronim bahasa Melayu sudah menjadi istilah dalam bidang-bidang tertentu. Umpamanya, kata hakis menjadi istilah dalam bidang geografi, manakala kata angkubah menjadi istilah dalam bidang matematik.
Kekeliruan yang wujud tentang akronim dengan singkatan dalam kalangan komuniti bahasa Melayu ialah bahawa pengguna bahasa menganggap akronim dan singkatan itu sama, yakni bersinonim. Sebenarnya, akronim tidak bersinonim dengan singkatan kerana kedua-duanya mempunyai fungsi dan cara pembentukan yang tersendiri.
Ada beberapa unsur yang membezakan kedua-dua konsep ini. Pertama, akronim bertaraf kata tunggal kendatipun terbina daripada cantuman beberapa huruf, suku kata dan bahagian-bahagian kata lain, manakala singkatan tidak bertaraf kata.
Satu perkara lagi ialah akronim dapat dilafazkan sebagai satu kata, manakala singkatan tidak boleh dilafazkan sebagai satu kata, tetapi dilafazkan huruf demi huruf seperti / es pi em / bagi singkatan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), /pi bi bi/ bagi singkatan PBB (Pertubuhan Bangsa Bersatu). Lazimnya huruf-huruf dalam singkatan dipisahkan oleh tanda noktah, misalnya b.p. (bagi pihak), s.k. (salinan kepada), dan u.p. (untuk perhatian).
Demikian huraian ringkas tentang akronim dan singkatan bahasa Melayu. Kini, walaupun pembentukan kata akronim tidak digalakkan, namun kata tunggal ini sudah menjadi sebahagian daripada kosa kata bahasa Melayu dan sudah menjadi sebati dalam kalangan pengguna bahasa Melayu.
Bolehkah bagi dan untuk silih berganti?

Oleh Muhammed Salehudin Aman

Bentuk kata bagi dan untuk tergolong dalam jenis kata sendi nama bahasa Melayu. Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Kata ini dikatakan kata sendi kerana fungsinya sebagai sendi yang merangkaikan frasa nama dengan kata-kata atau frasa yang lain.

Antara contoh kata sendi nama, selain bagi dan untuk termasuklah bagai, dari, daripada, di, ke, hingga, laksana, sejak, tentang, umpama, dan lain-lain seumpamanya. Dalam beberapa banyak kata sendi yang tersenarai itu, kata sendi dari, di dan ke ialah kata sendi yang utama kerana paling banyak serta sangat biasa digunakan dalam pertuturan dan penulisan.
Setiap kata sendi mempunyai tugas atau fungsi tertentu yang berlainan. Penggunaannya dalam ayat ditentukan oleh peraturan-peraturan yang khusus. Tambahan lagi, antara kata sendi nama ini terdapat juga beberapa bentuk kata yang menganggotai golongan kata bahasa Melayu yang lain.
Misalnya, kata antara dapat berfungsi sebagai kata nama arah

(ayat: (1) Banglo mewahnya terletak di antara dangau dengan bendang padi).

Kata sampai berfungsi sebagai kata kerja

(ayat: (2) Kami sampai lewat sedikit.);

manakala kata sendi dalam dapat berfungsi sebagai kata nama arah dan kata adjektif

(ayat: (3) Semua pelajar baru masuk ke dalam dewan sekolah,

dan ayat (4) Sungai itu sangat dalam);

dan kata sendi akan boleh berfungsi sebagai kata bantu (ayat: (5) Keluarga malang itu akan berpindah ke desa).
Oleh itu, kita perlu berhati-hati menggunakan kata-kata tersebut menurut fungsinya.
Kedua-dua kata bagi dan untuk digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, dengan fungsi tertentu juga. Jika fungsinya menunjukkan kegunaan untuk sesuatu, maka kata sendi bagi dan untuk boleh saling bervariasi. Maksudnya, kedua-dua kata tersebut boleh bertukar ganti tanpa menjejaskan maksud ayat. Perhatikan contoh penggunaan kedua-dua perkataan yang berkenaan dalam ayat yang berikut ini:

6 (a) Bantuan makanan bagi mangsa banjir sedang diagih-agihkan.
(b) Bantuan makanan untuk mangsa banjir sedang diagih-agihkan.

7 (a) Balai raya ini bagi kegunaan penduduk kampung ini.
(b) Balai raya ini untuk kegunaan penduduk kampung.

Jika fungsinya menunjukkan maksud bahagian yang ditentukan atau bahagian yang diperuntukkan, maka bagi dan untuk tidak boleh bertukar ganti. Maksudnya, kata bagi tidak boleh bertukar ganti dengan untuk. Telitilah ayat-ayat yang berikut ini:

8 (a) Untuk siapakah cincin ini?
(b) *Bagi siapakah cincin ini?

9 (a) Cincin ini untukmu, sayang!
(b) *Cincin ini bagimu, sayang!

Jelaslah bahawa ayat-ayat 8 (b) dan 9 (b) tidak gramatis serta janggal benar bunyinya apabila dilafazkan. Kejanggalan ini menunjukkan betapa untuk maksud bahagian yang ditentukan atau untuk maksud diperuntukkan, kata sendi bagi dan untuk tidak boleh bertukar ganti

Begitulah huraian tentang kata sendi nama bagi dan untuk dalam bahasa Melayu.
Jelaslah juga bahawa kedua-dua kata ini hanya dapat bertukar ganti untuk maksud yang tertentu, tetapi untuk maksud yang lain pula, kedua-dua kata tersebut tidak boleh.
Cencawan, Cendawan, Cendekiawan

Oleh Muhammed Salehudin Aman

Tiga perkataan, iaitu cencawan, cendawan dan cendekiawan berakhirkan suku kata tertutup pola KVK (konsonan vokal konsonan). Kecuali kata cencawan dan cendawan, suku kata akhir “-wan” dalam kata cendekiawan (cendekia + wan) merupakan akhiran kata nama yang diambil daripada akhiran bahasa Sanskrit. Akhiran “-wan” daripada akhiran bahasa Sanskrit ini membawa maksud “pemilik sesuatu sifat, atau maksud kepunyaan”. Misalnya, kata “jelitawan” dan “ilmuwan” bermaksud pemilik jelita dan pemilik ilmu, yakni orang yang memiliki paras atau rupa yang jelita, dan orang yang berilmu (mempunyai ilmu).

Cendekiawan merupakan kata nama terbitan daripada kata dasar cendekia. Kata cendekia mendukung maksud cerdik, pandai dan berakal. Jikalau seseorang yang mempunyai kebolehan lekas mengerti (akan sesuatu) apabila diberitahukan sesuatu, maka orang itu dikatakan cendekia; malah jika seseorang itu cepat mengerti akan sesuatu situasi (masalah) dan pandai pula mencari jalan keluar, orang itu dinamakan cendekia juga.
Oleh itu, orang yang mempunyai segala sifat yang berkaitan dengan cendekia dikatakan cendekiawan. Khalayak memahami maksud cendekiawan ini sebagai orang terpelajar atau intelektual.
Jika pengertian kata kecendekiaan menunjukkan sifat yang berkaitan dengan cendekia (kecerdikan), kecendekiawanan pula bermaksud golongan terpelajar, yakni hal tentang keterampilan atau kecekatan mereka. Pengertian kedua-dua bentuk kata ini ditunjukkan dalam ayat contoh yang berikut:
1. Pelajar akan memperoleh pengalaman kecendekiaan melalui pendedahan tersebut.
2. Biografi tersebut memaparkan kecendekiawanan pemimpin yang mempunyai visi tentang negara ini.

Cendawan tidak asing kepada kita. Cendawan ialah sejenis kulat, atau jamur, atau disebut juga sebagai rabuk yang cepat berkembang biak dengan spora., Umumnya, jamur ini berbentuk payung atau cuping, dan ada pula yang berbatang. Sesetengah cendawan boleh dimakan, dan sesetengahnya pula beracun.
Cendawan ini banyak pula jenisnya, seperti cendawan batang, cendawan bulan (cendawan bola), cendawan merah, cendawan busut, cendawan racun, cendawan telinga atau disebut juga cendawan kuning.
Jika cencaluk (ejaannya bukan “cincaluk”) sejenis makanan dibuat daripada udang geragau yang diasinkan dalam air garam, dan diawetkan untuk beberapa lama, cencawan pula bukanlah nama sejenis makanan, atau sejenis alat yang digunakan ketika makan. Cencawan bukan alat seperti cawan, atau gelas, atau pinggan, atau sebagainya. Cencawan ialah sejenis tulang yang bentuknya melengkung seperti cawan, yang menutup sendi lutut. Dalam bahasa mudahnya, cencawan ialah tempurung lutut.
Dalam tubuh kita, ada nama tertentu bagi menamakan bahagian tubuh yang tertentu; antaranya termasuklah kata “pasu-pasu” yang bermaksud tulang pipi, dan kata lambung yang bermaksud perut dan sumsum (tulang hitam).
Kata klasik cendera sering disamaertikan dengan kata cedera. Kedua-dua kata ini bukan bersinonim kerana kedua-dua kata tersebut begitu jauh beza maknanya. Cendera bermaksud tidur nyenyak, nyedar atau jendera, manakala maksud kata cedera ialah luka. Oleh itu, cendera bukanlah variasi kata cedera yang mempunyai maksud yang sama. Kedua-duanya bukan seperti kata cencang dan cincang, yang kendatipun berbeza ejaannya tetapi mempunyai maksud yang sama, iaitu memotong sesuatu kecil-kecil.
Begitulah maksud kata cencawan, cendawan dan cendekiawan. Moga-moga huraian tentangnya ini akan dapat memperkaya kosa kata anda.

Monday, March 30, 2009

Panduan penting menduduki peperiksaan

Walaupun musim peperiksaan masih jauh tetapi persediaan awal amat penting untuk mengelakkan kegelisahan dan panik pada saat-saat akhir. Petua berikut mampu membantu anda mengurangkan tekanan pada hari peperiksaan.
Masuk tidur awal dan dapatkan tidur secukupnya. Hadir awal ke tempat peperiksaan. Hal ini penting untuk mewujudkan rasa tenang, aman dan selesa. Jika terburu-buru mungkin mengganggu konsentrasi dan fokus anda.
Pastikan anda membawa alat tulis secukupnya. Jangan pinjam daripada rakan.
Sebelum menjawab sebarang soalan, pastikan anda telah membaca dan memahami setiap arahan. Jangan buat sesuka hati kerana mungkin ada sesetengah soalan yang anda perlu pilih dan tidak perlu dijawab.
Amat penting untuk mendengar dan mematuhi arahan guru bertugas di tempat peperiksaan. Maklumat yang disampaikan selalunya untuk memudahkan calon menduduki peperiksaan.
Ketika menjawab soalan objektif, ramai murid akan mula rasa ragu-ragu apabila tiga jawapan berturutan terdiri daripada abjad yang sama – walaupun sememangnya itu jawapan yang sebenar. Perang psikologi ini selalunya menyebabkan murid atau calon mula menukar jawapan semata-mata pada tanggapan mereka mustahil pemeriksa sengaja memilih A, misalnya untuk soalan 1 hingga 10. Sebenarnya boleh dan kadang kala memang dibuat oleh Lembaga Peperiksaan sebagai ujian sebenar untuk mengurangkan kemungkinan calon memperoleh markah yang tinggi secara teka-meneka sahaja.
Dalam menjawab kertas pemahaman berpandukan karangan, menjawab berdasarkan perkataan atau frasa daripada teks tidak memadai kerana tujuannya untuk menguji kefahaman calon bukan mengenal pasti perkataan.
Manakala untuk kertas penulisan, cuba guna ayat yang pendek dan mudah difahami. Elakkan penggunaan perkataan seperti kata adjektif atau kata penghubung yang menyebabkan ayat menjadi terlalu panjang. Akibatnya pemeriksa akan hilang tumpuan dan sukar memahami cerita anda.
Pastikan ada ruang antara ayat di baris atas dan ayat di baris bawahnya. Hal ini bagi memudahkan pemeriksa menyemak karangan anda.
DAFTAR MASUK
Nama Pengguna :

Pentaksiran berasaskan sekolah diperluas

PERANAN sekolah untuk mentaksir murid dan pelajar mereka akan diperluaskan di bawah Transformasi Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan 2009.
Walau bagaimanapun, bagi memastikan kesahan, kebolehpercayaan dan keadilan dalam pentaksiran kendalian sekolah itu, proses bimbingan akan dilaksanakan pada peringkat tertentu oleh pihak Kementerian Pelajaran.
Kaedah pentaksiran berasaskan sekolah ini merupakan aktiviti yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa dan dilapor oleh guru di sekolah yang melibatkan murid, ibu bapa, dan organisasi luar.
Selain itu, guru tidak perlu mentaksir dengan mengadakan ujian formal kerana proses pendidikan yang sepadu tetap berlaku.
Semasa proses itu juga, guru dapat menerapkan nilai murni dan akhlak mulia.
Antara aktiviti atau instrumen pentaksiran berasaskan sekolah adalah seperti berikut:
1. Ujian bulanan
2. Peperiksaan pertengahan dan akhir tahun
3. Peperiksaan percubaan
4. Kuiz dalam kelas
5. Kerja rumah
6. Projek
7. Soal selidik
8. Amali
9. Pemerhatian, dan sebagainya.
Proses pengajaran, pembelajaran dan pentaksiran berlaku secara timbal balas dan sepadu. Sambil mengajar, guru membuat pentaksiran secara tidak formal kerana guru tahu menilai sama ada murid telah menguasai apa yang diajar atau belum.
Selain itu, berdasarkan pentaksiran, guru tahu sama ada murid perlu mengulang balik atau mengambil langkah untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang lebih tinggi.
Pentaksiran berasaskan sekolah juga menggalakkan hubungan dua hala melalui peluang yang diberi kepada murid atau pelajar untuk bertanya dan seterusnya mendapat bimbingan dan penjelasan lebih lanjut tentang presasti yag ditunjukkan dan bagaimaa meningkatkannya.
Hal ini kerana maklum balas daripada pentaksir dapat diberikan terus kepada murid dan dengan kadar yang segera.


Ayat Perintah

OLEH MUHAMMED SALEHUDIN AMAN

Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menyuruh atau memerintah seseorang supaya berbuat sesuatu, atau melakukan sesuatu. Dengan kata lain, ayat perintah ialah ayat yang diucapkan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan.
Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, ayat perintah dibahagikan kepada empat jenis. Pembahagian kepada empat jenis ini berdasarkan perkataan yang digunakan dalam ayat tersebut. Empat jenis ayat perintah tersebut ialah ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan dan ayat permintaan.
Ayat suruhan diucapkan dengan tujuan memberi perintah atau arahan. Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah atau tak usah. Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila, atau jemput; manakala ayat permintaan pula ayat yang menggunakan kata permintaan seperti minta dan tolong.
Dalam ayat perintah bahasa Melayu, predikat lebih dipentingkan daripada subjek; dan oleh itu, partikel -lah diletakkan di bahagian predikat. Tujuannya, tidak lain adalah untuk melembutkan suruhan di samping menegaskan predikat ayat berkenaan.
Oleh demikian, partikel -lah ialah partikel pementing predikat sebagaimana partikel -kah dalam ayat tanya. Itulah sebabnya apabila partikel
-lah diimbuhkan kepada unsur dalam predikat, maka predikat yang dipentingkan itu mesti dikedepankan sehingga terbentuklah ayat songsang.
Perhatikan perbezaan ayat penyata biasa dengan ayat songsang (ayat suruhan) yang berikut:
1. Anda pergi ke rumahnya.
2. Awak berdiri di situ.
3. Kamu tersenyum.
Anda, awak dan engkau ialah subjek ayat, manakala pergi, berdiri dan tersenyum predikat ayat. Ketiga-tiga ayat itu disongsangkan susunannya menjadi predikat/subjek dengan predikatnya (pergi, berdiri, tersenyum) diakhiri oleh partikel -lah seperti ayat (1a), (2a) dan (3a):
1a. Pergilah anda ke rumahnya.
2a. Berdirilah awak di situ.
3a. Tersenyumlah kamu.
Oleh sebab yang diperintah ialah orang yang kedua, maka kata ganti diri kedua anda, awak dan kamu sebagai subjek ayat (1), (2) dan (3) itu boleh dilenyapkan. Dengan hal yang demikian, terbentuklah ayat suruhan yang berikut:
1b. Pergilah ke rumahnya.
2b. Berdirilah di situ.
3b. Tersenyumlah.
Telah dinyatakan bahawa subjek dalam ayat perintah digugurkan atau dipenggalkan. Oleh itu, ayat-ayat suruhan (1b), (2b) dan (3b) disebut juga sebagai ayat penggalan. Ayat-ayat (1b) hingga (3b) ini terbit daripada ayat aktif (1) hingga (3) dengan kata kerja tak transitif (pergi, berdiri, tersenyum). Dengan demikian, ayat-ayat (1b) hingga (3b) itu dikenal juga sebagai ayat perintah aktif.
Harus diingat, jika kata kerja dalam ayat perintah pasif mestilah kata kerja pasif, yakni kata kerja yang tidak berawalan me-. Misalnya:
4. (Anda) Bacalah novel itu. bukan *(Anda) Membacalah novel ini.
5. (Engkau) Terimalah barang ini. bukan *(Engkau) Menerimalah barang ini.
Kata kerja berawalan ber- dan me- untuk ayat perintah aktif tidak boleh
ditiadakan awalannya seperti kata kerja untuk ayat perintah pasif kerana jika ditiadakan, akan terbentuk ayat suruhan yang tidak gramatis. Contohnya:
6. Berlarilah. bukan *Larilah.
7. Janganlah tersenyum. bukan *Janganlah senyum.
Akhir sekali, harus juga diingat bahawa tidak boleh dipecahkan frasa kerja terikat dalam ayat aktif dengan menyisipkan partikel -lah di antara kata kerja dengan pelengkap ayat. Contohnya:
8. Menjadi gurulah. bukan *Menjadilah guru.
9. Berjalan kakilah. bukan *Berjalanlah kaki.
Kata menjadi dan berjalan dalam ayat (8) dan (9) ialah kata kerja tak transitif dalam ragam ayat aktif manakala guru dan kaki merupakan pelengkap kepada kata kerja menjadi dan berjalan. Kedudukan -lah terletak di akhir kata pelengkap (guru dan kaki), bukan sebaliknya.
Demikian huraian tentang beberapa bentuk susunan ayat perintah bahasa Melayu. Dengan huraian yang ringkas ini, dapatlah kiranya para pelajar menjadikannya sebagai panduan untuk berbahasa.
Bolehkah Kata Kerja Tak Transitif Diikuti oleh Frasa Nama?

Oleh Muhammed Salehudin Aman

Bolehkah kata kerja tak transitif bahasa Melayu diikuti oleh frasa nama? Jawabnya, tidak boleh. Kata kerja tak transitif tidak boleh diikuti frasa nama yang seolah-olah frasa nama itu menjadi objek bagi kata kerja tak transitif tersebut.
Kata kerja tak transitif tidak memerlukan objek, kerana kata kerja yang memerlukan objek ialah kata kerja transitif. Telitilah ayat-ayat contoh yang berikut ini:

1. Saya mengenali adik bongsunya pada bulan lepas.
2. Kami sudah melupakan peristiwa ngeri itu.
Ayat 1 dan 2 ialah ayat aktif transitif. Kita mengatakan ayat aktif kerana ayat ini meletakkan pelaku (agen perbuatan) di hadapan ayat, yakni sebagai judul. Ayat yang menjudulkan pelaku sebagai subjek ialah ragam ayat aktif. Kedua-dua ayat tersebut mengandungi kata kerja transitif, iaitu mengenali (ayat 1), dan melupakan (ayat 2).

Kata kerja transitif mengenali diikuti oleh frasa nama adik bongsunya, dan kata kerja transitif melupakan pula diikuti oleh frasa nama peristiwa ngeri itu. Frasa nama adik bongsu terbina daripada kata nama adik sebagai inti, dan kata nama bongsu(nya) sebagai penerang, manakala frasa nama peristiwa ngeri terbentuk daripada binaan kata nama peristiwa sebagai inti dan kata adjektif ngeri sebagai penerang. Kedua-dua frasa nama ini bertindak sebagai objek kepada kata kerja transitif tersebut. Inilah buktinya bahawa kata kerja transitif dapat diikuti oleh frasa nama sebagai objek.
Sekarang, telitilah pula ayat contoh yang berikut ini:
3. *Saya kenal adik bongsunya.
4. *Datuk sudah lupa jalan ke rumahnya.
5. *Kami balik kampung.
6. *Kakak pulang sekolah.
Kenal (ayat 3), lupa (ayat 4), balik (ayat 5), dan pulang (ayat 6) ialah kata kerja tak transitif asal. Kata kerja tak transitif dalam bentuk asal ini merupakan kata kerja yang bebas dan tidak berimbuhan. Contoh kata kerja tak transitif seperti ini yang lain ialah ada, bangkit, carik, datang, faham, gugur, hamil, jatuh, lenyap, dan lain-lain.
Dalam ayat 3 – 6, kata kerja tak transitif diikuti oleh frasa nama, iaitu kenal diikuti oleh frasa nama adik bongsunya, lupa diikuti oleh frasa nama jalan ke rumahnya, balik diikuti frasa nama kampung, dan frasa nama sekolah mengikuti kata kerja transitif pulang.
Keempat-empat ayat tersebut tidak baku (diakritik * menunjukkan ayat tidak gramatis) kerana menyalahi peraturan atau rumus tatabahasa tentang frasa kata kerja tak transitif. Rumus kata kerja tak transitif menegaskan bahawa kata kerja tak transitif perlu diikuti oleh kata sendi nama dahulu, kemudian baharu diikuti pula oleh frasa nama (KKTT + KSN + FN) dalam konteks peluasan unsur ayat selepas kata kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif tidak boleh disambut terus oleh frasa nama.
Oleh itu, keempat-empat ayat tersebut menjadi betul apabila kata sendi nama hadir selepasnya lalu menjadi ayat yang gramatis, seperti yang berikut ini:
3. (a) Saya kenal akan adik bongsunya.
4. (a) Datuk sudah lupa akan jalan ke rumahnya.
5. (a) Kami balik ke kampung.
6. (a) Kakak pulang dari sekolah.
Selain itu, harus diingat bahawa kata kerja tak transitif yang berawalan “ber-”
atau “me-” atau “ter-” tidak boleh ditiadakan awalannya. Tanpa awalan pada kata kerja tak transitif itu menjadikan kata kerja tersebut salah, dan seterusnya akan menerbitkan bentuk ayat yang tidak baku sifatnya. Telitilah ayat-ayat contoh yang berikut ini:
7. *Jejaka itu senyum kepada kekasihnya.
8. *Cikgu Arifin tanya kepada ketua darjah.
9. *Dia bisik kepada saya.
10. *Dia jatuh ketika lompat pagar.
Ayat 7 – 10 menjadi betul jika kata kerja tak transitif senyum, tanya, bisik, jatuh
dan lompat diimbuhi dengan awalan:
senyum – tersenyum
tanya – bertanya
bisik – berbisik
jatuh – terjatuh
lompat – melompat
Ayat yang betul ialah
7. (a) Jejaka itu tersenyum kepada kekasihnya.
8. (a) Cikgu Arifin bertanya kepada ketua darjah.
9. (a) Dia berbisik kepada saya.
10. (a) Dia terjatuh ketika melompat pagar.
Begitulah huraian yang menjawab soalan yang menjadi tajuk ruangan ini kali ini.
Semoga huraian ini dapat melenyapkan kemusykilan, serta dapat menjadi panduan kepada para pelajar.






Awalan me-

Oleh Muhammed Salehudin Aman

Seorang pemimpin siasah kawasan menasihati anggota partinya dengan berkata, antara lain, “… Kita perlu mempastikan parti kita sentiasa kuat…” Isu yang hendak saya bicarakan kali ini ialah kata mempastikan. Kata terbitan mempastikan terbit daripada gabungan awalan me- dengan kata dasar pasti.
Awalan me- ialah awalan pembentuk kata kerja aktif, sama ada transitif atau tak transitif. Awalan me- sekeluarga dengan awalan-awalan mem-, men-, meng- dan menge-. Huruf pertama kata dasar akan menentukan adakah bentuk awalan me- tetap sebagai me- atau berubah menjadi varian mem-, men-, meng-, atau menge-.
Tulisan ini hanya menyentuh awalan me-. Varian mem-, men-, meng- dan menge- tidak akan dihuraikan.
Awalan me- ini tetap sebagai me- apabila bergabung dengan kata yang bermula dengan huruf-huruf l, m, n, ng, ny, r, w, dan y. Contohnya:
me + lamar = melamar
me + masak = memasak
me + nanti = menanti
me + nganga= menganga
me + nyala = menyala
me + rancang= merancang
me + wangi = mewangi
me + yakin + kan = meyakinkan
Jelaslah, anggapan sesetengah orang bahawa kata terbitan menganga, menyala, diawali awalan meng-, dan meny-, kerana jika dipecahkan kedua-dua kata terbitan itu kepada awalan, dan kata dasarnya, maka bentuk yang wujud ialah “meng + anga”, dan ”meny + ala”. Tidak ada kata bahasa Melayu anga dan ala, melainkan nganga dan nyala. Satu perkara lagi imbuhan meN- tidak mempunyai varian “meny-” melainkan “me-”. Huruf “ny” merupakan hasil luluhan huruf “s” sebagai huruf pertama pada kata dasar yang menerima awalan me- (me + suluh = menyuluh).
Awalan me- akan tetap sebagai me- juga apabila diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf k, s, p dan t. Dalam hal awalan me- yang bertemu dengan huruf-huruf k, s, p, dan t di awal kata dasar ini, huruf-huruf ini berubah menjadi bentuk yang sengau yang sama daerah artikulasi atau daerah sebutannya.
Huruf k sebagai huruf pertama kata dasar bertukar menjadi ng, huruf s bertukar menjadi ny, huruf p bertukar menjadi m, dan huruf t bertukar menjadi n. Contohnya:
me + karang= mengarang
me + salin = menyalin
me + pakai = memakai
me + tuduh + menuduh
Jadi, berdasarkan rumus morfofonem di atas, jelaslah bentuk kata mempastikan tidak betul. Bentuknya yang tepat ialah memastikan, kerana huruf p di awal kata dasar pasti akan luluh dan menjadi m, yakni huruf sengauan dua bibir.
Namun demikian, terdapat beberapa perkataan bahasa Melayu yang bermula dengan huruf k, p dan t ini terkecuali daripada peraturan di atas. Oleh sebab perkataan-perkataan demikian itu kecil bilangannya, maka bentuk demikian dianggap kecualian. Antara contohnya:
mengkaji
mempelopori
mempelawa
mempercayai
mempunyai
mempedulikan
menternak
mentertawakan
Kata mengkaji berbeza maknanya dengan kata mengaji. Mengkaji bermaksud menyelidiki, manakala mengaji bermakna membaca (al-Quran), atau belajar. Kata terbitan mengkaji terbentuk daripada gabungan awalan meng- dengan kata dasar kaji meng + kaji, bukan me + kaji. Jika daripada bentuk me + kaji, akan terbit kata mengaji; tetapi daripada pola meng+ kaji, terbit kata mengkaji.
Kata-kata mempelopori, mempelawa, mempercayai, mempunyai, mempedulikan, sebenarnya, terbit daripada proses pengimbuhan mem- dengan kata dasar pelopor(i), pelawa, percaya(i), punya(i), dan peduli(kan). Sebaliknya, jika semua kata yang tersebut itu mematuhi peraturan peluluhan k s p t bertemu dengan me- akan terbitlah bentuk-bentuk kata terbitan yang salah seperti *memelopori, *memelawa, *memercayai, *memunyai dan *memedulikan. Alangkah ganjilnya dan janggal bunyinya.
Tentang kata menternak dan mentertawakan, varian me- yang bergabung dengan kata dasar ternak dan tertawa ialah varian men-; dan sekiranya kata dasar ternak dan tertawa akur pada rumus morfofonem, maka wujudlah bentuk kata terbitan *menernak, dan *menertawakan yang sungguh ganjil dan janggal bunyinya.
Begitulah huraian tentang awalan me-, iaitu salah satu varian imbuhan meN-. Semoga penjelasan ini ada manfaatnya kepada kita.
DAFTAR MASUK
Nama Pengguna :

Kata Laluan :

> Daftar Keahlian
> Lupa Kata Laluan
> Soalan Lazim (FAQ) [ Hotline : 03 - 7955 5577 ]
IKLAN@TUTOR




USIK-USIK

CARIAN

Sunday, March 29, 2009

Refleksif, Benefaktif,Lokatif dan Kausatif
Muhammed Salehudin Aman
Dalam tatabahasa bahasa Melayu terdapat beberapa banyak istilah khusus yang dikaitkan dengan makna sesuatu kata terbitan. Istilah tersebut bertujuan bagi menggambarkan konsep atau makna yang terkandung dalam kata tersebut.
Kebanyakan istilah ini diserap daripada kata bahasa Inggeris yang dimelayukan ejaannya, yakni diubahsuaikan ejaannya secara minimum daripada ejaan bentuk asalnya. Antara istilah tersebut termasuklah istilah refleksif, benefaktif, lokatif, dan kausatif. Kesemua istilah yang tersebut itu berkait rapat dengan kata kerja, iaitu salah satu golongan kata utama bahasa Melayu.
Refleksif (reflexive) ialah makna tatabahasa yang dikaitkan dengan imbuhan dalam sebarang ayat bagi menandakan perbuatan yang melibatkan diri sendiri, ataupun perbuatan yang mengenai diri sendiri. Dengan bahasa yang mudah hasil kerja atau akibat kerja yang dilakukan oleh seseorang pembuat akan mengenai dirinya sendiri, tidak mengenai orang atau benda lain. Contohnya; bercukur, berhias, berjemur, berbedak, berdandan, bersandar, bersembunyi, dan lain-lain sebagainya.
Jika kita mengatakan “Abang sedang bercukur, dan kakak masih berhias”, maksudnya abang melakukan perbuatan bercukur; maka yang kena cukur ialah (misai) abang. Demikian pula kakak kena oleh perbuatan hias yang dilakukan olehnya sendiri. Kedua-dua kata kerja bercukur dan berhias ialah kata kerja tak transitif berawalan “ber-”, yang menunjukkan hasil perbuatan yang mengenai diri sendiri.
Kausatif mendukung maksud makna tatabahasa yang dikaitkan dengan imbuhan dalam ayat. Kaitan ini bagi tujuan menandakan perbuatan yang menyebabkan sesuatu keadaan atau kejadian yang berlaku. Imbuhan yang dimaksudkan ialah akhiran “-kan” dan “-i”, apitan “me-...-kan” dan “me-...-i”. Contohnya:
1. Raju menghadiahkan sehelai kain sari kepada Kamaladevi.
2. Raju menghadiahi Kamaladevi sehelai kain sari.
3. Akan saya baiki kerosakan ini.
4. Sambungkan tali ini.
Ayat 1 dan 2 ialah ayat penyata yang mengandungi kata kerja transitif menghadiahkan dan menghadiahi. Ayat 3 pula ialah ayat pasif pelaku pertama yang mengandungi kata kerja pasif berimbuhan akhiran “-i”, sementara ayat 4 merupakan ayat arahan yang mengandungi kata kerja transitif berakhiran “-kan”.
Kesemua ayat 1 – 4 tersebut mendukung makna kausatif, kerana wujudnya keadaan suatu pihak melakukan sesuatu perbuatan. Dalam ayat 1 dan 2, Raju melakukan perbuatan (menghadiahkan), dan wujud juga perbuatan penerimaan oleh Kamaladevi. Maksud yang dibawa keadaan ini ditandai oleh imbuhan “me-...-kan”, dan “me-...-i”.
Ayat 3 dan 4 mempunyai kata kerja kata baiki dan sambungkan. Akhiran “-i” dan “-kan” pada kata kerja transitif itu menunjukkan maksud kausatif. Maksud tersebut digambarkan oleh fungsi akhiran “-i” dan “kan-”.
Maksud benefaktif atau manfaat ditandai oleh imbuhan “-kan”, “me-...-kan” dan “me-...-i”. Pengertian manfaat merujuk sesuatu perbuatan yang dilaksanakan untuk faedah pihak lain, bukan pihak yang melakukan perbuatan itu. Contohnya:
5. Abang membelikan adik kasut roda.
6. Adik membacakan ayahnya surat.
7. Gorengkan ikan ini untuk suamimu.
Ayat 5 menyatakan bahawa abang melakukan perbuatan (membeli) untuk faedah adiknya. Adik, dalam ayat 6, melakukan perbuatan (membacakan) surat untuk faedah atau manfaat ayahnya. Dalam ayat perintah 7, seseorang melaksanakan perbuatan (menggoreng) untuk manfaat atau faedah suaminya. Begitu pula dengan maksud imbuhan dalam kata membacakan dan gorengkan.
Istilah lokatif bermaksud makna tatabahasa yang berkaitan dengan imbuhan dalam ayat yang menandakan tempat berlakunya sesuatu perbuatan. Imbuhan yang mendukung maksud ini ialah “meN- ...-i” atau akhiran “-...i”. Misalnya dalam ayat:
8. Kami menaiki bas setiap hari.
9. Ali menghampiri lembaga itu.
10. Hendaklah kami dampingi orang yang berilmu.
Secara perbandingan, apitan “me-...-kan” dan “me-...-i”, mempunyai persamaan dan perbezaan maksud. Yang ketara ialah kedua-duanya membentuk kata kerja transitif dengan maksud kausatif. Kelainannya pula bahawa “me-...-i” memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat; manakala akhiran “-kan” mengandungi unsur benefaktif.
Demikian maksud beberapa istilah yang dikaitkan fungsinya dengan kata kerja terbitan berimbuhan.
Isu bahasa berkocak semulaOleh Suliati Asri suliati@hmetro.com.my
MULANYA isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sudah senyap, tiba-tiba berkocak semula malah lebih panas berbanding sebelumnya.
MULANYA isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sudah senyap, tiba-tiba berkocak semula malah lebih panas berbanding sebelumnya.Setakat ini, Kementerian Pelajaran masih menangguhkan keputusan sama ada mengekal atau kembali mengguna bahasa Malaysia.
Pelbagai pro dan kontra diterima berhubung pelaksanaan PPSMI, ada yang mendakwa ia merosakkan bahasa Melayu manakala yang lain mahu ia dijadikan landasan untuk anak Melayu mahir bertutur bahasa Inggeris. Bagi pihak yang membantah, PPSMI dikatakan bertentangan dengan maksud dan semangat Perlembagaan selain mencabar Perkara 152, Perkara 159, Perkara 10(4), Akta Pelajaran 1996, akta Bahasa Kebangsaan dan lain-lain yang menjamin hak dan kedudukan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan, termasuk pendidikan.Bagi Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, beliau menganggap isu itu tidak perlu didebatkan.Beliau berkata, di peringkat dasar, PPSMI masih relevan tetapi kini dalam proses pengubahsuaian.Isu ini kian rumit dan membingungkan banyak pihak malah menjadi bahan kepada pemimpin politik untuk berkempen.Setiausaha Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) , Khairul Anwar Shazali, berkata pihaknya bersetuju PPSMI dimansuhkan kerana ia memberikan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.Beliau berkata, PPSMI membuatkan subjek Sains dan Matematik menjadi semakin sukar difahami pelajar."Dua subjek ini adalah mata pelajaran yang sukar bagi sesetengah pelajar di sekolah. Jadi dengan pembelajaran dalam bahasa Inggeris (BI), pelajar hilang tumpuan."Ibu bapa juga hilang minat menghantar anak ke sekolah berikutan keputusan pembelajaran anak-anak mereka merosot."Kajian mendapati, 85 peratus responden sukar untuk memahami Sains dan Matematik dalam BI," katanya.Khairul berkata, bagi mengelak generasi muda yang bijak pandai terkorban, PPSMI perlu dimansuhkan."Lebih baik kita mengorbankan enam generasi yang sudah mengikuti pembelajaran PPSMI ini daripada kita mengorbankan generasi yang akan datang," katanya.Bekas Pengerusi Dewan Bahasa da Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad, isu bahasa mempunyai maksud yang mendalam kerana ia membabitkan bahasa Melayu (BM) dan agama Islam."Bahasa ialah pemikiran. Kita menggunakan bahasa untuk berfikir dan mencipta sesuatu yang baru. Jadi, jika kita menggunakan bahasa ibunda, kita boleh berfikir dengan lebih mudah."Oleh itu, kita seharusnya perlu menguasai subjek ini dalam BM agar generasi muda boleh mencipta Sains dan Matematik dalam bahasa kita sendiri tanpa meniru," katanya.Menurutnya, sekolah sudah menggunakan Sains dan Matematik dalam BM sejak berpuluh tahun malah puluhan ribu pelajar kita menguasai subjek itu dalam BM."Kini, ada lebih 2,000 tesis dalam BM yang dihasilkan pelajar kita dan pastinya jumlah ini akan bertambah dari tahun ke tahun."Jadi, pelaksanaan PPSMI ini sudah tidak relevan hanya semata-mata bagi menguasai Sains dan Matematik," katanya.Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub, berkata BM boleh menjadi bahasa dunia serta bahasa ilmu dengan usaha semua pihak.Menurutnya, kita perlu bersatu dan berusaha menjadikan BM bahasa disegani, bukannya merosakkannya dengan PPSMI."Kita tidak akan ketinggalan hanya kerana menggunakan BM kerana negara maju seperti Korea dan Jepun mampu berjaya tanpa mengagungkan bahasa asing."Justeru, kerajaan perlu memikir semula pelaksanaan PPSMI kerana masyarakat menolak perkara ini."Saya tidak menafikan BI adalah bahasa ilmu dan sangat penting tetapi jangan lupa bahasa sendiri," katanyaKetua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata jika kerajaan mahu pelajar menguasai BI, sekolah perlu menambah subjek BI, bukan menggantikan dengan Sains dan Matematik dalam BI."Isu ini perlu diteliti semula dan mansuhkan sahaja agar ia tidak menghancurkan negara satu hari nanti."Kita perlu mengembalikan Sains dan Matematik dalam BM agar generasi kita lebih maju dan setanding negara luar," katanya.Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, berkata pelaksanaan PPSMI ini bukanlah bertujuan untuk mengkhianati bahasa.Beliau berkata, walaupun mempelajari dua subjek ini dalam bahasa asing, ia tidak bermaksud kita mengkhianati dan menjatuhkan BM."Sekarang ini, apa yang penting adalah ilmu kerana untuk memajukan negara, kita harus mempunyai generasi yang boleh menerajui kemajuan negara kita."Perlaksanaan PPSMI ini adalah kerana kita tidak mahu pelajar kita tercicir terutama dalam bidang sains dan perubatan kerana kebanyakan buku-buku dalam bidang ini diterbitkan dalam BI," katanya.Tajuddin berkata, tanpa menguasai Sains dan Matematik dalam BI, tidak ramai anak-anak kita yang akan menjadi pencipta berikutan mempunyai pengetahuan yang tidak mencukupi dalam bidang ini."Ilmu sains dan teknologi ini luas dan ia perlu diterokai. Namun, untuk menguasainya, kita perlu kuasai bahasa mereka dulu."Memang Jepun boleh maju walaupun masih menggunakan bahasa ibundanya namun, sebelum mengecapi kemajuan itu, mereka juga tetap menghantar bijak pandainya ke luar negara."Andai kita sudah menguasai teknologi dan ilmu dalam subjek ini, ia akan diterjemah kepada BM dan kita tetap menggunakan bahasa kita," katanya.INFO PPSMI
Mula dilaksanakan pada 2003 dengan perbelanjaan sebanyak RM46 juta bagi pembayaran imbuhan khas kepada guru mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang terbabit dalam program Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Selepas dua tahun pelaksanaannya, banyak pihak membantah sebarang cadangan menarik balik dasar itu berikutan tahap kefahaman murid sekolah rendah serta pelajar menengah terhadap PPSMI didapati meningkat.
Calon PMR 2005 adalah kumpulan pertama yang digalakkan menjawab kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris
Bagi memenuhi keperluan 2007 dalam sistem ini, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) melatih 1,564 Jurulatih Utama (JU) mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah dan menengah sebagai persediaan melatih guru kedua-dua subjek berkenaan.
Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2006, subjek ini stabil dan menampakkan pelajar makin selesa belajar kedua-dua subjek itu dalam Bahasa Inggeris.
Pelaksanaan PPSMI yang masuk tahun keempat mencacat keputusan memuaskan apabila murid tahun empat mengikuti ujian Sains mencatatkan kelulusan 61 peratus manakala bagi mata pelajaran Matematik, kelulusannya 59 peratus.
Pencapaian ini dianggap memuaskan berikutan murid tahun empat baru beralih dari tahap satu ke tahap dua yang lebih sukar.
Tahun keenam pelaksanaan PPSMI, ia menunjukkan prestasi membanggakan apabila hampir semua negeri menunjukkan prestasi membanggakan dengan mencatatkan peningkatan dari segi peratus calon yang memperoleh sijil penuh dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Calon SPM 2007 adalah kumpulan pertama pelajar yang mengikuti program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang bermula 2003.
Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran disaran mengkaji semula pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak lima tahun lalu kerana ia gagal meningkatkan pemahaman konsep, ilmu dan kemahiran kedua-dua subjek berkenaan.
Kemelut mengenai dasar PPSMI bermula apabila banyak pihak yang mula mempertikaikan kewajaran dasar ini. Walau bagaimanapun, kerajaan masih belum mengambil sebarang keputusan berkaitan dasar ini.
Gerakan Mansuhkan PPSMI menghantar memorandumnya kepada ahli parlimen dan akan mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Negara bagi membantah dasar ini.
Emel Artikel Cetak Artikel

Tuesday, March 24, 2009

“Create your future from your future, not your past.” ~Werner Erhard
“Cipta masa depan anda daripada masa depan, bukan daripada masa silam”.
Apa pendapat anda mengenai mutiara kata ini? Apabila anda mahu mencapai sesuatu dalam hidup anda, adakah anda membuatnya berdasarkan kejayaan dan kegagalan di masa lepas atau berdasarkan sesuatu yang anda ingin capai di masa hadapan?
Mesej utama mutiara kata ini ialah masa lepas anda bukanlah kayu pengukur tahap kejayaan yang bakal anda kecapi di suatu masa akan datang. Jika semua ahli keluarga anda tidak berpendidikan tinggi, ia tidak bermakna anda akan ikuti jejak langkah yang sama. Jika kebanyakan ahli keluarga anda dan saudara mara anda bersifat panas baran dan mudah hilang sabar, ia tidak bermakna anda juga begitu.
Masa lepas atau silam adalah sesuatu yang sudah berlalu. Jika anda mahu berjaya di masa akan datang, fikirkan dengan sejelas-jelasnya apa yang anda mahu capai itu dan mulakan cara hidup seolah-olah anda sudah mencapai apa yang anda idamkan itu tadi.
RUJUKAN: OSMAN AFFAN

Friday, March 13, 2009

Salah satu proses pembentukan kata dalam bahasa Melayu adalah melalui akronim. Akronim ialah singkatan dalam bahasa Melayu yang terbentuk dengan cara menggabungkan huruf atau suku kata untuk membentuk perkataan baharu. Lihat beberapa perkataan yang di bawah ini hasil daripada pembentukan kata melalui akronim:
1.berdikari – berdiri di atas kaki sendiri
2.pawagam – panggung wayang gambar
3.proton – Perushaan Otomobil negara
4.kugiran – kumpulan gitar rancak
5. Uniputra-Universiti Putra Malaysia.Perkara menarik yang hendak diperkatakan di sini ialah banyak pengguna bahasa Melayu yang tidak menyedari bahawa kata di bawah ini sebenarnya merupakan akronim.
6.Cikgu
7.Awas
8.Bah
Kata `cikgu’ dikatakan akronim kerana kata ini berasal daripada ungkapan `Encik guru?’ Hasil daripada gabungan suku kata cik+gu, maka terhasillah gelaran atau panggilan `cikgu’.
Selain itu, kata `awas’ yang bermaksud `berhati-hati’ juga merupakan akronim. Kata ini berasal daripada ungkapan `Anda Waspada Anda Selamat.
Kita juga pernah menggunakan perkataan `bah’ yang bermaksud `banjir’. Perkataan ini sebenarnya berasal daripada ungkapan `Bencana Air Hujan’.
Kita juga pernah mendengar perkataan `Tonto’ yang merujuk kepada sekumpulan gengster yang melindungi peniaga daripada tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa. Tonto merupakan gabungan beberapa huruf daripada ungkapan `Tolong Orang Nak Tipu Orang’.Demikianlah beberapa kata yang terdapat dalam bahasa Melayu yang terbentuk melalui akronim.

SUMBER RUJUKAN: Posted by agy7500 at 2:57 AM 0 comments
Isu bahasa berkocak semula
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


MULANYA isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sudah senyap, tiba-tiba berkocak semula malah lebih panas berbanding sebelumnya.


MULANYA isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sudah senyap, tiba-tiba berkocak semula malah lebih panas berbanding sebelumnya.

Setakat ini, Kementerian Pelajaran masih menangguhkan keputusan sama ada mengekal atau kembali mengguna bahasa Malaysia.


Pelbagai pro dan kontra diterima berhubung pelaksanaan PPSMI, ada yang mendakwa ia merosakkan bahasa Melayu manakala yang lain mahu ia dijadikan landasan untuk anak Melayu mahir bertutur bahasa Inggeris.

Bagi pihak yang membantah, PPSMI dikatakan bertentangan dengan maksud dan semangat Perlembagaan selain mencabar Perkara 152, Perkara 159, Perkara 10(4), Akta Pelajaran 1996, akta Bahasa Kebangsaan dan lain-lain yang menjamin hak dan kedudukan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan, termasuk pendidikan.

Bagi Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, beliau menganggap isu itu tidak perlu didebatkan.

Beliau berkata, di peringkat dasar, PPSMI masih relevan tetapi kini dalam proses pengubahsuaian.

Isu ini kian rumit dan membingungkan banyak pihak malah menjadi bahan kepada pemimpin politik untuk berkempen.

Setiausaha Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) , Khairul Anwar Shazali, berkata pihaknya bersetuju PPSMI dimansuhkan kerana ia memberikan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Beliau berkata, PPSMI membuatkan subjek Sains dan Matematik menjadi semakin sukar difahami pelajar.

"Dua subjek ini adalah mata pelajaran yang sukar bagi sesetengah pelajar di sekolah. Jadi dengan pembelajaran dalam bahasa Inggeris (BI), pelajar hilang tumpuan.

"Ibu bapa juga hilang minat menghantar anak ke sekolah berikutan keputusan pembelajaran anak-anak mereka merosot.

"Kajian mendapati, 85 peratus responden sukar untuk memahami Sains dan Matematik dalam BI," katanya.

Khairul berkata, bagi mengelak generasi muda yang bijak pandai terkorban, PPSMI perlu dimansuhkan.

"Lebih baik kita mengorbankan enam generasi yang sudah mengikuti pembelajaran PPSMI ini daripada kita mengorbankan generasi yang akan datang," katanya.

Bekas Pengerusi Dewan Bahasa da Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad, isu bahasa mempunyai maksud yang mendalam kerana ia membabitkan bahasa Melayu (BM) dan agama Islam.

"Bahasa ialah pemikiran. Kita menggunakan bahasa untuk berfikir dan mencipta sesuatu yang baru. Jadi, jika kita menggunakan bahasa ibunda, kita boleh berfikir dengan lebih mudah.

"Oleh itu, kita seharusnya perlu menguasai subjek ini dalam BM agar generasi muda boleh mencipta Sains dan Matematik dalam bahasa kita sendiri tanpa meniru," katanya.

Menurutnya, sekolah sudah menggunakan Sains dan Matematik dalam BM sejak berpuluh tahun malah puluhan ribu pelajar kita menguasai subjek itu dalam BM.

"Kini, ada lebih 2,000 tesis dalam BM yang dihasilkan pelajar kita dan pastinya jumlah ini akan bertambah dari tahun ke tahun.

"Jadi, pelaksanaan PPSMI ini sudah tidak relevan hanya semata-mata bagi menguasai Sains dan Matematik," katanya.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub, berkata BM boleh menjadi bahasa dunia serta bahasa ilmu dengan usaha semua pihak.

Menurutnya, kita perlu bersatu dan berusaha menjadikan BM bahasa disegani, bukannya merosakkannya dengan PPSMI.

"Kita tidak akan ketinggalan hanya kerana menggunakan BM kerana negara maju seperti Korea dan Jepun mampu berjaya tanpa mengagungkan bahasa asing.

"Justeru, kerajaan perlu memikir semula pelaksanaan PPSMI kerana masyarakat menolak perkara ini.

"Saya tidak menafikan BI adalah bahasa ilmu dan sangat penting tetapi jangan lupa bahasa sendiri," katanya

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata jika kerajaan mahu pelajar menguasai BI, sekolah perlu menambah subjek BI, bukan menggantikan dengan Sains dan Matematik dalam BI.

"Isu ini perlu diteliti semula dan mansuhkan sahaja agar ia tidak menghancurkan negara satu hari nanti.

"Kita perlu mengembalikan Sains dan Matematik dalam BM agar generasi kita lebih maju dan setanding negara luar," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, berkata pelaksanaan PPSMI ini bukanlah bertujuan untuk mengkhianati bahasa.

Beliau berkata, walaupun mempelajari dua subjek ini dalam bahasa asing, ia tidak bermaksud kita mengkhianati dan menjatuhkan BM.

"Sekarang ini, apa yang penting adalah ilmu kerana untuk memajukan negara, kita harus mempunyai generasi yang boleh menerajui kemajuan negara kita.

"Perlaksanaan PPSMI ini adalah kerana kita tidak mahu pelajar kita tercicir terutama dalam bidang sains dan perubatan kerana kebanyakan buku-buku dalam bidang ini diterbitkan dalam BI," katanya.

Tajuddin berkata, tanpa menguasai Sains dan Matematik dalam BI, tidak ramai anak-anak kita yang akan menjadi pencipta berikutan mempunyai pengetahuan yang tidak mencukupi dalam bidang ini.

"Ilmu sains dan teknologi ini luas dan ia perlu diterokai. Namun, untuk menguasainya, kita perlu kuasai bahasa mereka dulu.

"Memang Jepun boleh maju walaupun masih menggunakan bahasa ibundanya namun, sebelum mengecapi kemajuan itu, mereka juga tetap menghantar bijak pandainya ke luar negara.

"Andai kita sudah menguasai teknologi dan ilmu dalam subjek ini, ia akan diterjemah kepada BM dan kita tetap menggunakan bahasa kita," katanya.



INFO PPSMI



Mula dilaksanakan pada 2003 dengan perbelanjaan sebanyak RM46 juta bagi pembayaran imbuhan khas kepada guru mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang terbabit dalam program Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).


Selepas dua tahun pelaksanaannya, banyak pihak membantah sebarang cadangan menarik balik dasar itu berikutan tahap kefahaman murid sekolah rendah serta pelajar menengah terhadap PPSMI didapati meningkat.


Calon PMR 2005 adalah kumpulan pertama yang digalakkan menjawab kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris


Bagi memenuhi keperluan 2007 dalam sistem ini, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) melatih 1,564 Jurulatih Utama (JU) mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah dan menengah sebagai persediaan melatih guru kedua-dua subjek berkenaan.


Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2006, subjek ini stabil dan menampakkan pelajar makin selesa belajar kedua-dua subjek itu dalam Bahasa Inggeris.


Pelaksanaan PPSMI yang masuk tahun keempat mencacat keputusan memuaskan apabila murid tahun empat mengikuti ujian Sains mencatatkan kelulusan 61 peratus manakala bagi mata pelajaran Matematik, kelulusannya 59 peratus.


Pencapaian ini dianggap memuaskan berikutan murid tahun empat baru beralih dari tahap satu ke tahap dua yang lebih sukar.


Tahun keenam pelaksanaan PPSMI, ia menunjukkan prestasi membanggakan apabila hampir semua negeri menunjukkan prestasi membanggakan dengan mencatatkan peningkatan dari segi peratus calon yang memperoleh sijil penuh dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.


Calon SPM 2007 adalah kumpulan pertama pelajar yang mengikuti program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang bermula 2003.


Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran disaran mengkaji semula pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak lima tahun lalu kerana ia gagal meningkatkan pemahaman konsep, ilmu dan kemahiran kedua-dua subjek berkenaan.


Kemelut mengenai dasar PPSMI bermula apabila banyak pihak yang mula mempertikaikan kewajaran dasar ini. Walau bagaimanapun, kerajaan masih belum mengambil sebarang keputusan berkaitan dasar ini.


Gerakan Mansuhkan PPSMI menghantar memorandumnya kepada ahli parlimen dan akan mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Negara bagi membantah dasar ini.

Emel Artikel Cetak Artikel

Thursday, March 12, 2009

NOVEL: KONSERTO TERAKHIR


Definisi Tema
Tema ialah idea atau persoalan pokok yang merupakan gagasan pemikiran yang menjadi dasar kepada sesebuah karya sastera. Sesebuah karya biasanya mempunyai satu tema yang biasanya diungkap dalam satu perkataan sahaja.Tema yang dicipta untuk sesebuah novel mestilah berkaitan dengan keseluruhan novelnya. Semua aksi, cerita dan pengalaman dalam novel juga adalah sub kepada tema utama sesebuah novel. Sebenarnya, selepas membaca keseluruhan jalan cerita novel ini, pembaca yang kritis pasti boleh memberikan satu tema yang ringkas, padat dan kukuh berdasarkan novel yang telah dibaca.Ada juga tema yang dinyatakan secara terang-terang dalam novel. Hal ini akan lebih menyenangkan para pembaca mengetahuinya dengan lebih senang.
Pada pendapat saya, novel Konserto Terakhir mungkin adalah sebuah novel yang menyampaikan temanya secara terang-terang.Tema untuk novel Konserto Terakhir ialah perjuangan hidup seorang anak muda yang berasal dari kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang seniman besar negara.Berikut ialah bukti-bukti yang dapat dikaitkan dengan kewujudan tema novel Konserto Terakhir.
1. Melalui novel ini, pengarang mengetengahkan liku-liku yang dilalui oleh Hilmi yang sebelum ini tidak mengetahui langsung bahawa dia mempunyai bakat sebagai seorang pemuzik. Bakat itu lahir secara tidak sengaja apabila dia mendengar alunan muzik yang dimainkan oleh Hayati.
2. Hilmi telah bekerja sebagai tukang kebun di rumah bapa saudaranya, Datuk Johari. Setiap kali Hayati bermain piano, Hilmi sengaja mencari kerja yang dekat dengan suara alunan piano itu.
3. Minat Hilmi terhadap muzik semakin memuncak. Dia telah mengusik piano Hayati dan memainkan beberapa buah lagu seperti lagu “anak ikan”. Pengarang melukiskan bakat yang ada pada Hilmi itu yang membolehkan nalurinya menggerakkan jari-jarinya bermain piano walaupun sebelum ini dia tidak ada asas muzik dan tidak pernah mengenal piano. Peristiwa itu menyebabkan piano itu rosak dan Datin Salmah memarahi Hilmi.
4. Keazaman untuk menjadi pemuzik menyebabkan Hilmi belajar muzik daripada Encik Bakar, seorang pemimpin quartet yang terkenal. Dengan bimbingan Encik Bakar, Hilmi boleh bermain biola, trompet, seksofon, dan klarinet. Hilmi juga telah berjaya menggubah lagu seperti “Sebuah Intermeso” dan banyak lagunya yang menjadi pujaan ramai.
5. Dunia muzik yang ada jatuh dan bangunnya juga dirasai oleh Hilmi. Hilmi memulakan kariernya dalam dunia muzik apabila bermain dalam quartet di bawah pimpinan Encik Bakar dan akhir-nya digelar sebagai “Pemain Biola Hikmat Malaysia”.

6. Dia juga telah menubuhkan sebuah kurigan yang diberi nama “Kurigan Dahlia” mengikut perkembangan muzik di Barat yang menjadi kegilaan muda-mudi ketika itu. Pengaruh muzik itu mula hilang dan Hilmi kembali menyertai orkestra dan telah memimpin orkestranya dan menjadi johan tiga kali berturut-turut dalam pertandingan yang dianjurkan oleh RTM.
7. Kejayaannya itu menyebabkan dia telah ditawarkan untuk memimpin pertunjukan Orkes Perdana yang sama tarafnya dengan Royal Performance di England dan membuat arrangement semua lagu ciptaannya dan arrangement itu diberi nama “Hilmi Potpouri”.
8. Walaupun terlalu banyak rintangan yang perlu dilaluinya untuk menjadi seorang pemuzik profesional, namun bagi Hilmi yang tabah, dia telah melalui setiap cabaran hidupnya dengan nilai-nilai murni.

Posted by CIKGU TAN C L at 8:30 PM 0 comments
if (window['tickAboveFold']) {window['tickAboveFold'](document.getElementById("latency-7140138737930624258")); }
Tuesday, July 15, 2008

Sinopsis Keseluruhan Novel Konserto Terakhir

Novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain

Sinopsis KeseluruhanKonserto Terakhir mengisahkan tentang seorang anak kampung bernama Hilmi yang telah datang ke rumah bapa saudaranya, Datuk Johari di Bandar untuk mencari pekerjaan. Kedatangannya tidak disenangi oleh Datuk Johari sekeluarga terutamanya Datin Salmah. Oleh sebab Hilmi hanya berkelulusan darjah empat sekolah Melayu. Datuk Johari tidak berjaya mendapatkan sebarang pekerjaan untuknya dan akhirnya Hilmi diambil bekerja sebagai tukang kebun di rumahnya. Walau bagaimanapun, Hilmi tetap tidak mendapat layanan yang baik daripada keluarga Datuk Johari.Hilmi tetap seronok walaupun tidak mendapat layanan yang baik. Dia dapat merasakan bahawa dirinya dan bunga-bunga serta kebun sayurnya itu seperti mempunyai dunia sendiri. Datuk Johari mempunyai seorang anak gadis yang bernama Hayati yang mempunyai tunang bernama Mohsin. Hilmi dalam diam-diam menaruh hati kepada adik sepupunya itu sehinggakan dia cemburu dengan hubungan antara Hayati dan Mohsin. Di samping itu, Hilmi juga terpikat dengan alunan piano yang dimainkan oleh Hayati. Hilmi secara tidak sengaja telah merosakkan piano tersebut dan telah menyebabkan dia dimarahi Datin Salmah dan dipotong gajinya.Sepeninggalan Datuk Johari dan keluarganya ke laur negeri, Hilmi ditugaskan untuk menjaga rumah. Sepanjang tempoh tersebut, Hilmi telah berkawan dengan Mamat iaitu drebar Dr. Nathan jiran Datuk Johari. Mamat telah pulang ke kampung dan telah berkahwin dengan Esah. Mamat juga telah membantu Hilmi berkenalan dengan seorang ahli muzik terkenal yang bernama Encik Bakar. Melihatkan bakat yang dimiliki oleh Hilmi, Encik Bakar amat berminat untuk melatih Hilmi menjadi ahli muzik yang terkenal tanpa sebarang bayaran.Kepulangan Datuk Johari sekeluarga telah menimbulkan konflik antara Hilmi dengan Datin Salmah kerana setibanya mereka di pekarangan rumah, mereka telah mendengar bunyi piano dimainkan. Lebih-lebih lagi apabila Hayati memberi oleh-oleh kepada Hilmi. Datin Salmah telah menuduh Hilmi menggunakan ubat guna-guna untuk memikat Hayati. Akhirnya Hilmi terpaksa meninggalkan rumah Datuk Johari dengan alasan untuk balik ke kampung.Hilmi tidak jadi balik ke kampung tetapi telah bekerja di sebuah stesen minyak di Jalan Setapak. Hilmi kemudian meneruskan cita-citanya untuk menjadi seorang pemuzik dan terus belajar muzik dengan Encik Bakar. Akhirnya Hilmi sudah pandai bermain pelbagai jenis alat muzik terutamanya trompet, seksofon, klarinet, dan biola. Hilmi juga telah berjaya menggubah lagu pertama yang berjudul “Sebuah Intermeso”.Kekecewaan Hilmi semakin parah apabila dia mendapat berita perkahwinan Hayati dengan Mohsin. Untuk meneruskan cita-citanya Hilmi berhenti dari kios minyak petrol itu dan Encik Bakar membawanya bermain di dalam quartet yang dipimpinnya. Akhirnya Hilmi telah muncul sebagai “Pemain Biola Hikmat Malaysia”. Hayati pula telah mendapat biasiswa daripada British Council untuk belajar muzik di Conservatory of Music selama dua tahun dan akan berangkat ke London. Dengan pertolongan Mamat, Hilmi sempat berjumpa dengan Hayati. Hilmi telah menggubah sebuah lagu berjudul “Detik-detik Perpisahan” sempena perpisahannya itu. Sesuai dengan perkembangan muzik ketika itu Hilmi dan Azizah iaitu anak Encik Bakar telah menubuhkan sebuah kugiran, yang diberi nama Kugiran Dahlia. “Kugiran Dahlia” dengan cepat mendapat popularitinya. Akhirnya Hilmi dan Azizah diijabkabulkan sebagai suami isteri.Rumah tangga yang dibina bersama Azizah tidak bahagia. Keretakan yang terjadi dalam rumah tangganya itu telah tidak dapat diselamatkan. Perasaan Hilmi bertambah sedih apabila mendapat berita Encik Bakar telah meninggal dunia. Kejayaan Hilmi sampai ke puncaknya. Tiga tahun berturut-turut Orkestra Hilmi telah muncul sebagai pemenang dalam pesta muzik tahunan yang dianjurkan oleh RTM (Radio Televisyen Malaysia). Hilmi juga telah diminta untuk membuat satu arrangement ( penyusunan) semua lagu yang telah digubahnya dalam satu pertunjukan Orkestra Perdana setaraf dengan Royal Performance ( persembahan di-Raja ) yang akan dihadiri oleh pembesar-pembesar negara. Dia memberi nama arrangement itu “Hilmi Potpouri”.Hilmi telah bekerja siang dan malam selama dua bulan tanpa menghiraukan makan dan minum. Tidurnya amat sedikit sehinggakan kesihatannya terganggu. Di saat-saat pertunjukan Orkestra Perdana akan berlangsung, Hilmi telah jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Hayati telah muncul sebagai penyelamat keadaan dengan memimpin pertunjukan Orkestra Perdana itu.Keadaan Hilmi kritikal. Ketika di hospital, Datuk Johari telah bertemu dengan abang sepupunya Karim. Karim akhirnya membongkar rahsia bahawa Hilmi bukanlah anaknya tetapi anak Datuk Johari. Perkhabaran itu menyebabkan Datuk Johari dan Datin Salmah menyesal kerana menganiayai Hilmi. Setelah diberitahu oleh doktor keadaan Hilmi semakin pulih, Datuk Johari dan keluarganya balik ke rumah. Setiba sahaja di perkarangan rumah, Datuk Johari menerima panggilan telefon menyatakan Hilmi telah meninggal dunia.

Posted by CIKGU TAN C L at 8:48 AM 0 comments

if (window['tickAboveFold']) {window['tickAboveFold'](document.getElementById("latency-2153544107768115505")); }

Sinopsis Bab 1 hingga 14
Sinopsis Bab demi Bab

Sinopsis Bab 1Keluarga
Hayati tidak ada mood ( keinginan ) untuk belajar piano pada hari itu kerana sering membuat kesalahan. Keadaan ini menimbulkan salah faham antara Hayati dengan guru pianonya. Tiba-tiba muncul Hilmi di saat-saat getir tersebut. Hilmi memperkenalkan dirinya sebagai dua pupu Hayati iaitu anak Pak Karim dari Kedah. Hayati berasa gusar melihat gerak-geri Hilmi yang serba canggung. Dia tidak pernah mengetahui bahawa bapanya masih mempunyai saudara di kampung. Datin Salmah juga tidak menyenangi kehadiran Hilmi di rumahnya. Sementara menunggu kepulangan Datuk Johari, Hilmi ditempatkan di sebuah bilik berhampiran dengan bilik Pak Amat, drebar mereka. Kehadiran Hilmi telah mengingatkan Datuk Johari tentang kampung halamannya yang telah ditinggalkan selama tujuh belas tahun lalu.Hilmi menyatakan hasratnya untuk mencari pekerjaan. Walau bagaimanapun, kelulusannya yang hanya setakat darjah empat sekolah Melayu menyukarkan usaha Datuk Johari mencari pekerjaan untuknya. Akhirnya Hilmi disuruh menjadi tukang kebun di rumahnya. Hilmi bekerja dengan tekun membersihkan kebun itu. Dalam masa yang sama, perasaannya cemburu melihat kemesraan antara Hayati dengan Mohsin.
Sinopsis Bab 2 – Kuli
Hilmi gembira dengan pekerjaannya sebagai tukang kebun. Dia telah melakukan perubahan yang besar di pekarangan rumah itu sehinggakan mendapat pujian daripada Datuk Johari dan juga Dr. Nathan iaitu jiran Datuk Johari. Hilmi berkawan baik dengan Pak Amat. Pak Amat pernah menjadi penyelam mutiara di Darwin, Australia. Datuk Johari gelisah apabila Dr. Nathan bertanyakan tentang tukang kebun barunya itu kerana dia tidak sampai hati menganggap Hilmi sebagai tukang kebunnya. Hilmi amat tertarik dengan mainan piano Hayati. Rumah Datuk Johari juga sering didatangi oleh saudara mara Datin Salmah yang berpangkat.Dalam pada itu, Datin Salmah teringat akan kata-kata kakaknya Siti Hajar tentang Hilmi kerana lambat laun orang akan mengetahui bahawa Hilmi itu anak saudara Datuk Johari. Hasutan Siti Hajar itu menimbulkan rasa gelisah di hati Datin Salmah dan dia berusaha mencari jalan untuk mengusir Hilmi dari rumahnya.
Sinopsis Bab 3 – Piano
Hilmi kecewa apabila dia mendapati tanamannya dirosakkannya oleh kumbang. Dia telah melepaskan geramnya dengan memijak-mijak kumbang-kumbang itu dengan tumitnya. Tindakan Hilmi itu ditegur oleh Hayati dan menganggap dia seorang yang kejam. Akhirnya Hayati faham kenapa Hilmi memusnahkan kumbang yang mengancam keselamatan tanamannya. Kadangkala Hayati ikut bersama-samanya mencari kumbang dan ulat. Dua kali dalam seminggu iaitu hari Sabtu dan Khamis, Hayati belajar bermain piano di rumahnya. Pada hari-bari tersebut Hilmi akan mencari kerja yang dapat dibuatnya di depan rumah berhampiran dengan ruang tamu. Pada kedua-dua hari tersebut keletihannya terasa hilang, dan dia menunggu kedua-dua hari itu dengan penuh harapan kerana dia dapat mendengar lagu-lagu merdu yang keluar dari hujung-hujung jari Hayati yang diletakkan di atas pianonya. Lagu-lagu itu menjadi makanan rohaninya. Pada suatu hari Khamis, Hilmi gelisah kerana Hayati belum pulang lagi. Rupa-rupanya Hayati dan Mohsin pergi menonton wayang.Hati Datin Salmah mulai berubah terhadap Hilmi. Dia tidak lagi menyebutnya sebagai tukang kebun tetapi sebagai kaum keluarganya. Datuk Johari juga mulai bangga kerana tiap-tiap orang yang datang memuji-muji tanaman bunga di rumahnya. Malah hasil tanaman seperti terung, kacang, timun, dan petola telah berbuah dengan lebatnya dan menjadi satu kebanggaan pula kepada Datin Salmah. Dia menghadiahkan hasil tanaman itu kepada teman-temannya apabila pergi ke morning coffee dan juga ketika ada antara kawannya yang datang berkunjung ke rumahnya, mereka pulang dengan membawa buah tangan. Datin Salmah gembira mendengar pujian daripada kawan-kawannya.
Sinopsis Bab 4 – Hukuman
Leha, penolong pembantu rumah telah pulang ke kampung. Hilmi telah ditugaskan oleh Datin Salmah untuk membersihkan ruang tamu. Hilmi amat senang hati menerimanya kerana dapat datang berhampiran dengan piano. Suatu hari Hilmi keseorangan di rumah kerana Datin tidak ada di rumah, manakala Hayati belum pulang dari sekolah, sementara Mak Minah keluar ke rumah seorang kenalannya. Hilmi telah mencuba memainkan piano tersebut sehingga tidak menyedari kepulangan Mak Minah. Perbuatan Hilmi itu ditegur oleh Mak Minah kerana takut dimarahi oleh Datin Salmah. Kebimbangan Hilmi jelas terlihat apabila Datin Salmah memanggilnya. Rupa-rupanya Datin Salmah menyuruhnya mengambil bunga yang dibawa dari rumah kawannya. Hilmi juga berasa lega kerana Mak Minah tidak memberitahu mak ciknya tentang perlakuannya tadi.Ketika Hayati pulang dan hendak menghiburkan tetamunya iaitu pak cik dan mak ciknya, dia menyedari pianonya telah rosak. Apabila dia meletakkan jari-jarinya pada mata-mata piano dan membuat "intro"-nya dengan C minor, tiba-tiba pada mata yang mengeluarkan nada “fa” nadanya begitu melenting. Peristiwa itu telah menimbulkan kegemparan kecil. Datin Salmah mula mencari siapa yang mengganggu piano itu. Ketika dipanggil oleh Datin Salmah, Mak Minah terpaksa memberitahu yang Hilmi telah memainkan piano itu. Datin Salmah ingin mengambil kesempatan dari peristiwa itu untuk mengusir Hilmi. Atas kebijaksanaan Datuk Johari, Hilmi dimaafkan dan dipotong gajinya. Datin Salmah juga menyuruh Hilmi memujuk Hayati dan memohon maaf daripadanya.Sementara itu, Datin Salmah sekeluarga akan bercuti selama satu bulan. Mak Minah dan Pak Amat juga diberi cuti balik ke kampung. Hilmi diminta untuk menjaga rumah tersebut sepanjang peninggalan mereka. Hilmi amat kesunyian sepanjang ketiadaan mereka terutamanya rasa kehilangan terhadap Hayati kerana sebulan lamanya dia tidak akan mendengar lagu-lagu yang dimainkan oleh Hayati. Kehidupan Hilmi sepanjang waktu hanya bertemankan bunga-bunga dan tanamannya sahaja.
Sinopsis Bab 5 – Penunggu
Hilmi tidak ikut menghantar Datuk Johari dan keluarganya berangkat ke luar negeri. Dia memuatkan barang-barang yang mahu dibawa ke dalam motokar. Datuk Johari berpesan supaya menjaga rumah dengan baik. Datin Salmah pula tidak bercakap sepatah pun dengannya. Dia sibuk bercakap dengan orang lain. Sepeninggalan mereka, Hilmi mendapat simpati jiran Datuk Johari, iaitu Dr. Nathan. Mamat kawan baiknya iaitu drebar Dr. Nathan juga balik ke kampung. Hilmi sibuk mengemaskan rumah Datuk Johari. Hidupnya terasa bebas. Dia menjadi tuan rumah dan dia juga menjadi raja. Setelah selesai mengemas, Hilmi masuk ke bilik mak ciknya. Dia amat terkejut kerana bilik itu seperti sebuah syurga. Dari bilik mak ciknya, dia pergi pula ke bilik Hayati. Seolah-olah perasaannya amat dekat dengan Hayati. Dia amat merindui Hayati. Hilmi masuk pula ke bilik tamu. Di ruangan tamu, matanya tertumpu pada piano. Keinginannya untuk bermain piano begitu kuat dan meronta-ronta di dalam dirinya tetapi dia tidak berani menyentuhnya. Akhirnya dia menuju ke biliknya. Tiba-tiba Hilmi teringat kucing Siam kesayangan Hayati. Dia masuk ke dalam rumah mencari kucing itu. Dia membawa kucing itu ke dapur dan diberi makan ikan.Dalam pada itu, Mamat, drebar Dr. Nathan telah balik dari kampung dan membawa bersama isterinya Esah. Esah telah diperkenalkan oleh Mamat kepada Hilmi. Mamat mengajak Hilmi makan bersama-samanya. Esah juga telah bekerja sebagai tukang masak di rumah D. Nathan. Hilmi berasa kecewa. Dia mengharapkan bila Mamat balik dari Kelantan dia mahu mengajak Mamat tidur bersama-sama menemaninya. Mamat telah memperkenalkan Hilmi dengan Encik Bakar, seorang ketua sebuah quartet. Encik Bakar menyuruh Hilmi bermain organ dan Hilmi telah mendapat pujian daripada Encik Bakar. Encik Bakar mengajar Hilmi muzik secara percuma. Hilmi amat gembira mendengar kata-kata Encik Bakar kerana pada sangkaannya Encik Bakar akan mengenakan bayaran kepadanya.Justeru, Hilmi pada mulanya kurang senang kerana setiap kali dia pergi ke rumah Encik Bakar, dia akan meninggalkan rumah pak ciknya. Dia berasa bersalah kerana telah melanggar janji-janjinya pada pak ciknya. Walau bagaimanapun kerana minat yang amat mendalam terhadap muzik, Hilmi terpaksa melakukannya. Hilmi telah belajar dengan tekun dan Encik Bakar juga telah mengajarnya tentang not-not muzik.
Sinopsis Bab 6 - Muzik
Hilmi berasa bertuah kerana dapat belajar muzik dengan Encik Bakar. Sebaik sahaja pulang dari rumah Encik Bakar, Hilmi menjalankan tugas biasanya seperti menyiram pokok-pokok bunga. Hilmi juga mendapat sokongan dan galakan yang kuat daripada Mamat dan isterinya. Setelah kembali dari bilik Mamat kerana berbual-bual dengan mereka, Hilmi balik ke rumah. Hilmi terus ke sudut di mana terletaknya piano dan memainkannya. Tanpa disedari Datuk Johari dan keluarganya telah kembali dari luar negeri. Hayati terpesona melihat Hilmi bermain piano. Datin Salmah terpegun. Datuk Johari tegak tidak bergerak. Akhirnya dia menyedari seperti diperhatikan. Lantas terperanjat kerana tidak menyedari kepulangan pak ciknya sekeluarga. Hilmi bergegas membawa masuk beg-beg yang banyak dan terus kembali ke dalam biliknya. Hilmi dikejutkan dengan kedatangan Hayati yang membawa oleh-oleh untuknya yang berupa sebuah patung wanita dengan pakaian gaun kembang zaman kuno. Patung itu juga boleh mengeluarkan bunyi lagu “Blue Danube”. Hubungan mesra Hilmi dan Hayati tidak disenangi oleh Datin Salmah. Lebih-lebih lagi apabila Hayati membeli oleh-oleh kepada Hilmi. Sedangkan selama perjalanan mengelilingi England itu, tidak pernah sekalipun disebutnya nama Hilmi. Hayati Cuma menyebut nama Mohsin sahaja. Naluri keperempuanan Datin Salmah merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada Hayati.
Sinopsis Bab 7 – Oleh-oleh
Mohsin terperanjat apabila mendengar kepulangan Hayati dan kesal kerana dia tidak dapat menjemput Hayati di lapangan terbang. Sebelum ke pejabatnya Mohsin singgah dahulu ke rumah Hayati. Ketika Datin pergi memanggil Hayati dia terlihat Hayati sedang berdiri amat dekat dengan Hilmi memerhatikan sesuatu di pokok ros. Hayati tidak menghiraukan panggilan ibunya kerana asyik bercerita kepada Hilmi tentang perjalanan mereka di England, tentang konsert muzik yang disaksikannya di Vienna, tentang pemandangan yang indah di kebun tulip di negara Belanda. Hayati juga senang mendengar cerita Hilmi tentang bunga-bunganya.Apabila diberitahu tentang kedatangan Mohsin, Hayati tidak berminat untuk mengetahuinya. Hayati hanya mencecah dengan hujung jarinya sahaja apabila Mohsin menghulurkan tangannya. Hayati telah menghadiahkan neck tie ( tali leher ). Mohsin juga terasa ada sesuatu yang aneh pada gerak-geri Hayati tetapi dia tidak berapa pasti. Hayati selalunya gembira menyambut kedatangannya tetapi tidak sekarang ini.Sebaik sahaja Mohsin keluar dari rumah itu, Hayati terus masuk berkurung di dalam biliknya. Datin Salmah semakin gelisah dan hatinya mulai percaya bahawa perubahan perangai anaknya itu mesti ada sangkut paut dengan dukun. Mesti ada anasir-anasir jahat memainkan peranannya. Suaminya tidak mudah percaya dengan cerita karut serupa itu, lebih-lebih lagi apabila membabitkan anak penakannya sendiri. Datin Salmah memanggil Hayati untuk mendapat penjelasan daripadanya tetapi anaknya itu telah menjawab dengan kasar menyebabkan Datin Salmah memberi amaran dan Hayati tidak dibenarkan bercakap lagi dengan Hilmi. Datin Salmah juga sudah nekad untuk mencari jalan supaya Hilmi keluar dari rumahnya.Dalam pada itu, Mak Minah datang pada petang itu dari kampung setelah Datin Salmah menelefon kepadanya melalui Balai Polis Lenggeng. Dia membawa oleh-oleh dari kampung yang Hayati gemari. Hayati pula menghadiahkan Mak Minah jam tangan kecil buatan Swiss. Mak Minah amat gugup mendapat jam baru. Dia teringat setiap kali Hayati pulang dari tempat-tempat yang jauh setiap kali itu pula ada oleh-oleh untuknya.
Sinopsis Bab 8 - Sengketa
Hilmi ke rumah Encik Bakar. Kedatangannya itu disambut oleh Azizah, anak Encik Bakar. Sebaik sahaja Hilmi melangkah masuk, Azizah menutup pintu. Azizah cuba menggoda Hilmi. Mula-mula Hilmi agak kekok tetapi lama-kelamaan sudah tidak terasa apa-apa baginya duduk satu bangku dengan Azizah dan bersentuhan badan. Tiba-tiba Azizah tersentak apabila mengetahui yang Hilmi hanya tukang kebun bapa saudaranya sahaja. Pada sangkaannya Hilmi itu paling tidak seorang kerani kecil atau seorang guru. Hilmi kemudian terus meminta izin untuk pulang.Apabila menghampiri rumah bapa saudaranya, perasaan Hilmi gementar kerana terdapat tiga motokar asing di depan pekarangan rumah itu. Hilmi masuk dari pintu kecil di sebelah belakang. Mak Minah datang memberitahunya bahawa Datin Salmah heboh mencarinya. Ketika Hilmi sedang menyiram bunga-bunga yang terletak di bahagian anjung depan rumah itu, Datin Salmah datang dengan marah bertanyakan ke manakah dia pergi. Hilmi meminta maaf daripada mak ciknya dan berlalu pergi. Setelah selesai semuanya, Hilmi pun mandi dan terus masuk ke dalam biliknya. Dia teringatkan peristiwa yang berlaku antara dia dengan Azizah.Dalam pada itu, ketika Encik Bakar pulang, Azizah memberitahu kedatangan Hilmi. Encik Bakar berpesan kepada Mamat supaya memberitahu Hilmi yang dia akan pergi ke rumah adik iparnya di Klang. Dia meminta Mamat menyampaikan pesan supaya Hilmi datang besok. Azizah juga cuba memberitahu bapanya tentang pekerjaan Hilmi sebagai tukang kebun tetapi bapanya tidak mengendahkan berita itu. Dia tahu Azizah kecewa kerana pada anggapannya Hilmi tidak setaraf dengannya. Azizah lulusan MCE dan sedang mencari kerja. Paling rendah pasangan yang ingin dicarinya ialah kerani. Bagi Encik Bakar untuk menjadi ahli muzik bukan perlu persekolahan tinggi. Ilmunya jika tidak diajarkan kepada orang, habislah reput dengan tulang-belulang di dalam kubur nanti. Azizah terdiam dan berasa kesal akan sikapnya itu terhadap Hilmi.Namun begitu, perkara lain berlaku di rumah Datuk Johari. Hilmi tidak mahu makan makanan yang dibawa oleh Mak Minah kerana kecewa apabila diberitahu bahawa mak ciknya tidak membenarkan Mak Minah memanggilnya makan. Mak Minah meletakkan makanan itu di atas meja kecil dan balik ke dapur mengambil tudung saji dan air minum. Hayati muncul bersama-sama Mak Minah untuk memujuk Hilmi makan. Hayati bangun dan duduk di sebelah Hilmi. Hilmi memandang Hayati dengan perasaan pilu. Dia bingung dengan sikap yang diperlihatkan oleh Hayati. Selama ini dia menyangka Hayati tidak pernah mempedulikannya, Hilmi akhirnya menyuruh Hayati keluar. Mak Minah cuba menenangkan Hilmi dan menasihatinya supaya jangan terlalu ambil hati terhadap sikap mak ciknya. Hilmi kemudiannya keluar untuk berjumpa Mamat dan meminta pertolongannya mencari tempat untuknya berpindah dari rumah Datuk Johari.
Sinopsis Bab 9 – Pertemuan
Setelah dua hari Hilmi tiada di rumah barulah Datin Salmah menyedari bahawa kehadiran Hilmi selama ini mempunyai erti besar kerana adanya Hilmi di rumah itu, dia tidak perlu memikirkan sedikit pun tentang tanaman bunganya. Sami yang dihubungi oleh Datuk Johari tidak dapat datang bekerja, paling cepat akhir bulan. Dalam tempoh 12 hari itu, Datin Salmah mengerahkan Mak Minah, Pak Amat, dan Hayati sendiri untuk menolongnya menyiram bunga-bunga itu pada waktu petang. Hayati kini tidak mahu bercakap dengan ibunya sejak diketahui Hilmi telah pergi. Dia asyik berkurung di dalam bilik sahaja. Hayati kecewa kerana pada hari itu setelah pulang dari sekolah, dia mahu memberikan Hilmi tiket untuk menonton permainan piano seorang pianist dunia yang terkemuka yang akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Hayati amat kecewa apabila diberitahu oleh Mak Minah bahawa Hilmi telah pulang ke kampung. Tetapi Hayati tahu itu merupakan helah ibunya yang sememangnya tidak suka Hilmi tinggal di situ. Datin Salmah kemudian memujuk Hayati dan menyatakan bahawa Hilmi akan datang lagi selepas itu. Datin Salmah juga mulai risau tentang perubahan yang berlaku pada Hayati. Matanya sudah mulai cengkung, makannya sudah tidak banyak lagi. Dia bercadang untuk menyatukan Hayati dan Mohsin seberapa segera. Hayati boleh melanjutkan pelajarannya di England dan Mohsin pula boleh menyambung pelajaran tetapi Hayati menolak. Apabila ditanya oleh Mohsin tentang perubahan Hayati mereka membuat alasan keadaan Hayati yang murung dan susut tubuhnya itu kerana teringatkan Mohsin.Dalam pada itu, Mamat menghantar Hilmi ke tempat bas. Hilmi amat gelisah. Bapanya sebenarnya tidak sakit. Surat yang diperlihatkan kepada pak ciknya itu ialah surat yang ditulis oleh Mamat. Dia amat risaukan Hayati. Hilmi teragak-agak mahu naik atau tidak. Akhirnya dia ikut naik. Waktu bas itu meninggalkan Tanjung Malim setelah berhenti rehat selama 30 minit, salah satu kerusi bas itu telah kosong. Hilmi tidak dapat menahan tekanan perasaannya. Dengan sebuah teksi dia pulang semula ke Kuala Lumpur. Hilmi terus berjalan mencari kerja. Dia menuju ke kios tempat jualan minyak. Dia tahu sekurang-kurangnya dia dapat menjadi pekerja sementara dengan gaji harian sebanyak dua ringgit setengah. Hilmi juga diberikan sebuah kanvas dan dibenarkan tidur bersama-sama dengan seorang penjaga malam.Hilmi bekerja dengan rajin dan berdoa supaya pak cik atau mak ciknya jangan datang mengisi minyak di situ. Walau bagaimanapun, Hilmi telah terserempak dengan Mohsin. Mohsin telah menghasut tauke kedai minyak itu supaya membuang Hilmi tetapi tauke itu tidak mempedulikannya. Minggu pertama di bulan kedua bekerja di situ, Hilmi bertekad berjumpa semula dengan Encik Bakar. Dalam perjalanannya dia telah bertemu Pak Amat di kedai kopi. Kesempatan itu digunakan oleh Hilmi untuk bertanya khabar tentang Hayati. Dia amat sedih kerana Hayati kini sudah banyak berubah perangai dan dia tidak segembira dan senang dahulu lagi.Sesampai Hilmi di rumah Encik Bakar, rumah itu seperti tiada penghuni. Tingkap dan pintunya tertutup rapat. Ketika di mahu berpatah balik, tiba-tiba sebuah jendelanya terbuka dan Azizah telah muncul dan terkejut dengan kehadiran Hilmi. Kedatangannya itu disambut dengan Hilmi. Hilmi menceritakan kisahnya kepada Encik Bakar dan hasratnya ingin menyambung belajar muzik dengannya. Encik Bakar tidak keberatan. Hilmi meminta izin pulang awal kerana telah berjanji dengan Ah Kong akan kembali sebelum pukul 7.00 malam untuk menggantikannya bekerja.Hilmi diajar oleh Encik Bakar peringkat demi peringkat. Dia tidak sahaja belajar berbagai-bagai alat muzik tetapi juga diajar untuk mengenal lebih dekat tiap-tiap jenis alat itu. Hilmi sering diingatkan oleh Encik Bakar bahawa dia akan berjaya kerana mempunyai bakat. Hubungan Azizah dengan Hilmi juga semakin rapat. Setiap kali dia ke rumah Encik Bakar, Azizah selalu menyambutnya dengan mesra. Hilmi juga sudah mula kenal dengan not kerana menurut Encik Bakar untuk menjadi pemain muzik yang baik seseorang itu mesti tahu membaca not. Selain itu Hilmi telah belajar bermain trompet, seksofon, klarinet, dan biola.
Sinopsis Bab 10 - Bebas
Sejak Hilmi meninggalkan rumah pak ciknya, pokok-pokok bunga di taman Jepunnya yang dulunya menjadi kebanggaan kepada Datin Salmah dan Datuk Johari telah mulai musnah sedikit demi sedikit. Hayati pula seolah-olah ikut meratapi kehancuran taman bunga itu. Keadaan itu menyebabkan atin Salmah mendesak suaminya menulis surat ke kampung bertanyakan Hilmi, kalau benar Hilmi menggunakan sesuatu kuasa ghaib ke atas Hayati tetapi Datuk Johari menolak. Dia tahu isterinya itu telah terpengaruh dengan cakap-cakap morning coffee. Datin Salmah serba salah dengan keadaan Hayati. Hayati bukan lagi anak kecil yang dapat dipujuk dengan hadiah atau janji apabila dia menangis. Hayati sekarang sudah menjadi gadis remaja malah sudah bertunang. Ketika masuk ke bilik Hayati, dia terkejut kerana terjumpa buku agama dan lebih memeranjatkan lagi ialah sejadah dan telekung yang terlipat dengan baik di sudut biliknya. Anaknya itu sudah mula sembahyang. Dia keluar dari bilik itu dan menelefon suaminya. Perasaan ngeri mulai menguasai dirinya apabila dia mengetahui anaknya sembahyang setiap waktu sementara dia dan suaminya tidak sembahyang. Dia mula menyiasat dengan siapakah Hayati berkawan. Ketika suaminya pulang makan tengah hari dia terburu-buru menunjukkan buku-buku agama di bilik Hayati, tikar, dan telekung.Hayati menyambut kepulangan Mohsin di lapangan terbang. Mohsin turut hairan melihat perubahan diri Hayati. Mohsin mengumumkan berita gembira iaitu dia hanya pulang sebentar sahaja dan akan berangkat lagi ke London kerana telah dilantik menjadi penolong pengurus di cawangan banknya yang baru sahaja dibuka di kota metropolitan Inggeris itu. Datin Salmah mencadangkan supaya perkahwinan antara Hayati dan Mohsin disegerakan. Cadangan itu tidak dibantah oleh Hayati, malah Hayati kelihatan terlalu gembira.Berita perkahwinan Hayati dan Mohsin tersiar dalam semua surat khabar Melayu dan Inggeris. Hilmi terpegun ketika Azizah menunjukkan kepadanya berita perkahwinan itu. Hilmi memohon untuk beredar dan tidak ada mood untuk belajar muzik pada hari itu. Mamat pula datang ke biliknya membawa berita bahawa Hayati dan Mohsin akan berangkat ke England sebaik sahaja mereka pulang dan berbulan madu di Cameron Highland. Seminggu lamanya Hilmi berkurung di rumah. Habis kerja dia terus balik ke biliknya dan tidak keluar-keluar lagi. Penghuni di sebelah menyebelah biliknya itu hanya sering mendengar gesekan biola ataupun petikan gitar. Hari kelapan Hilmi pergi semula ke rumah Encik Bakar dengan memperlihatkan sebuah lagu yang telah dikarangkannya. Encik Bakar mencuba lagu itu di piano sambil dipindanya sedikit-sedikit. Hilmi memberi judul lagu itu “Sebuah Intermeso”. Hilmi berasa gembira kerana dia telah mengetahui bahawa dia mempunyai bakat bukan sahaja sebagai pemain muzik, tetapi juga sebagai penggubah lagu.
Sinopsis Bab 11 – Intermeso
Hilmi telah berhenti dari kios minyak petrol kerana akan menjadi anggota salah sebuah quartet yang terkenal di ibu kota. Encik Bakar telah mengambil Hilmi bermain di dalam quartetnya sebagai menggantikan tempat pemain biolanya yang kebetulan telah berpindah ke Pulau Pinang. Pertama kali berlatih Hilmi berasa gugup. Dia berasa mahu menarik diri sahaja daripada quartet tersebut tetapi atas dorongan Encik Bakar semangatnya pulih kembali. Hilmi memainkan lagu gubahannya “Sebuah Intermeso”. Seluruh hadirin terpesona dan terpegun. Hilmi telah diinterview ( ditemu ramah ) oleh pemberita hiburan dari sebuah surat khabar Inggeris yang terkemuka. Hasil interview itu telah disiarkan di dalam ruangan hiburan akbarnya pada hari yang berikutnya. Datuk Johari juga terpegun ketika melihat gambar Hilmi terpampang di ruangan hiburan surat khabar bertajuk “Penemuan Baru Abad ini Pemain Biola Hikmat Malaysia”.Hayati tidur di rumah mak ciknya bersama Maimun. Maimun hairan dengan perubahan Hayati yang sudah sembahyang. Perbualan mereka berdua berkisar kepada Hilmi. Maimun tidak menyangka tukang kebun Hayati ada bakat muzik. Hati Hayati bergelodak kerana dia ingin menceritakan perkara sebenar bahawa Hilmi bukan tukang kebun. Daripada akhbar itu Hayati mendapat tahu Hilmi masih berada di Kuala Lumpur dan telah menjadi seorang pemain muzik dalam quartet tetap di Hotel Titiwangsa. Cuma Hayati kesal kerana Mamat sering berdalih apabila ditanya tentang Hilmi.Pada malam kedua, Encik Bakar mendesak Hilmi memainkan lagunya “Sebuah Intermeso” tanpa nyanyian. Seluruh hadirin terpesona. Kisah Hilmi mendapat perhatian Setiausaha Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional. Encik Bakar telah melanggar peraturan perlembagaan persatuannya. Semua pemain muzik di hotel dan kelab-kelab malam hendaklah terdiri daripada anggota-anggota persatuan itu yang sah. Encik Bakar telah menerima surat daripada Setiausaha Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional. Encik Bakar menganggap itulah masa yang paling malang sekali dalam hidupnya. Dia bukan tidak sedar tentang hal ini, tetapi keadaan terdesak. Pemain biolanya tiba-tiba berhenti. Encik Bakar mengumpul semua ahli kumpulannya kecuali Hilmi untuk berbincang. Akhirnya mereka sebulat suara menyokong kemasukan Hilmi dalam kumpulan mereka. Hilmi kemudian diberitahu tentang krisis yang terjadi dan tentang keputusan mesyuarat itu. Walaupun keputusan itu dicapai sebulat suara, tetapi meninggalkan kesan yang parah dalam hati Hilmi. Dia berasa kesal kerana menjadi sebab Encik Bakar diancam oleh persatuannya. Walau bagaimanapun pada malam itu mereka bermain seperti biasa.Seminggu sesudah itu, Encik Bakar telah dipanggil oleh Jawatankuasa Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional untuk menghadapi tuduhan melanggar tatatertib persatuan dan melanggar arahan setiausaha. Tiga jam lamanya ahli jawatankuasa persatuan itu membuat persidangan tertutup. Encik Bakar disuruh menunggu di luar bilik persidangan. Keputusan mesyuarat akhirnya memaafkan Encik Bakar kerana mengenangkan jasa-jasanya terhadap persatuan tersebut dan menerima keahlian Hilmi.
Sinopsis Bab 12 - Krisis
Hilmi gelisah kerana Encik Bakar belum pulang dan Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional dan dia tidak dibenarkan hadir sama dalam mesyuarat tersebut. Keyakinan Hilmi pulih setelah ibu Azizah menasihatinya supaya bertenang kerana dia percaya suaminya tidak akan diapa-apakan. Encik Bakar seorang yang jujur dan dia tidak akan dipecat. Kepulangan Azizah membawa berita tentang Hayati mendapat biasiswa dari British Council untuk belajar muzik di Conservatory of Music selama dua tahun dan akan berangkat esoknya. Hilmi tergesa-gesa pulang. Semasa Hilmi keluar, Encik Bakar pun sampai bersama-sama dengan Rahmat dan Harry Lam. Melihat Hilmi tidak ada di situ, Rahmat dan Harry Lam pun meminta diri pulang ke rumah.Pada malam itu, ada dua penerbangan ke London. Satu kapal terbang British Airways dan satu lagi Qantas yang datang dari Sydney. Sekiranya Hilmi pergi ke lapangan terbang pada waktu itu bererti dia tidak dapat ikut bermain dalam orkestra Encik Bakar. Fikirannya terlalu runsing. Akhirnya dia pulang ke bilik. Di pintu biliknya ada sekeping surat yang ditinggalkan oleh Mamat menyatakan dia barangkali akan datang pada pukul tujuh malam dan ingin membawa Hilmi berjumpa Hayati. Di dalam pertemuan itu Hayati menyatakan bahawa dia amat mencintai Hilmi tetapi dia tidak mahu membantah kata orang tuanya dan terpaksa berkahwin dengan Mohsin. Mohsin juga tahu akan pertemuannya dengan Hilmi. Hayati juga menyatakan bahawa lagu “Sebuah Intermeso” itu menjadi ubat yang paling mujarab bila hatinya luka. Kaset lagu itu dibawanya di dalam beg ke mana sahaja dia pergi. Hayati juga meminta Hilmi memaafkan ibu dan bapanya kerana tindakan dan kelakuan mereka terhadapnya dahulu.Encik Bakar pula gelisah kerana Hilmi belum muncul-muncul. Setelah kemunculan Hilmi, Encik Bakar memberikan resit sebagai bukti dia telah menjadi pemain muzik profesional yang sah. Pada malam itu, permainan yang luar biasa telah diperlihatkan oleh Hilmi. Ketika jam berdeting pukul 12.40 malam jantungnya ikut berdetak kuat kerana pada saat itu pesawat yang dinaiki oleh Hayati terbang meninggalkannya. Pada malam perpisahan itu Hilmi telah berjaya menggubah sebuah lagu yang lahir dari perpisahan dengan Hayati dan diberi judul “Perpisahan”. Encik Bakar juga telah memberikan petua-petua bagaimana cara menggubah lagu yang baik dan menasihati Hilmi supaya mengarang beberapa buah lagu lagi dan lagu-lagunya itu disimpan dahulu. Apabila telah banyak dan sudah cukup barulah dirakamkan menjadi rekod.Pengaruh gitar rancak dan Barat telah mulai melanda ke negara ini. Hilmi telah mendapat keizinan Encik Bakar untuk menubuhkan kugiran yang diberi nama “Kugiran Dahlia” ringkasan nama Daniel, Azizah, Hilmi, Tony Lim, Dan Arasu. “Kugiran Dahlia” dengan cepat mendapat popularitinya. Hilmi banyak menggubah lagu untuk dinyanyikan oleh Azizah dan nama Azizah mulai terkenal. Perhubungan mereka semakin erat. Apabila gelombang kugiran mulai merosot, Hilmi kembali bergiat dalam orkestra yang bermain di kelab-kelab malam. Walaupun rekod dan kaset yang mengandungi lagu-lagu gubahannya sudah banyak terjual tetapi sebagai penggubah lagu dia tidak pernah mendapat hasil yang lumayan malah berdepan pula dengan masalah cetak rompak.Setelah setahun lebih bergaul rapat, dia dan Azizah diijabkabulkan sebagai suami isteri. Pada mulanya kehidupan mereka sebagai suami isteri amat harmoni tetapi kira-kira setahun setelah anak lelaki mereka yang pertama lahir, Azizah mulai berubah dan Hilmi juga ikut berubah. Rumah tangga mereka mula goyah. Kepedihan yang dirasai dari penghidupan itu menyebabkan Hilmi banyak berfikir dan telah mendatangkan ilham untuknya menggubah lagu. Sebahagian besar lagu-lagu yang digubahnya tidak ditunjukkan kepada orang lain, walaupun kepada Encik Bakar.
Sinopsis Bab 13 – Perpecahan
Keretakan yang terjadi dalam rumah tangga Hilmi telah tidak dapat diselamatkan lagi. Encik Bakar dan isterinya, walaupun pada mulanya tidak mahu campur tangan kerana itu urusan rumah tangga mereka terpaksa memanggil kedua-duanya kerana keadaan semakin buruk. Tetapi pertemuan itu tidak membawa apa-apa hasil. Persengketaan antara mereka tidak boleh diatasi malah Azizah mengajar anaknya memanggil Hilmi dengan panggilan “bapa jahat”. Azizah cemburu kerana pada anggapannya beberapa buah lagu yang telah digubah khas oleh Hilmi adalah untuk Hayati. Sedangkan dia tidak mengetahui Hilmi juga pernah menggubah lagu tentang cinta dan sayangnya kepada isteri dan anaknya dalam lagu “Balada Kasih”.Lagu itu ialah curahan isi hatinya yang jujur. Kini hidupnya terasa kesunyian yang amat sangat. Dia sering menyembunyikan kesedihannya daripada kawan-kawannya. Dia terus menghiburkan orang-orang yang datang mencari hiburan di tempatnya bermain muzik. Dia juga tetap menggubah lagu. Sekali sekala dia teringatkan Hayati. Tragedi yang menimpanya menyebabkan dia mencipta sebuah lagu yang diberi tajuk “Cinta dan Tangis”. Lagu “Cinta dan Tangis” menjadi inspirasi kepadanya untuk menggubah lagu-lagu lain dan menulis sendiri sari katanya. Dia mulai terasa bahawa menggubah lagu-lagu itu sebagai satu misi yang telah ditugaskan oleh Tuhan kepadanya biarpun terpaksa bekerja keras siang dan malam tetapi hatinya senang dan tenteram. Harapan untuk kembali dengan Azizah telah pudar. Walau bagaimanapun dia belum berniat untuk menceraikan Azizah kerana Azizah sendiri tidak pernah memintanya. Setiap malam sebaik sahaja pulang dari tempatnya bekerja, Hilmi akan duduk di hadapan pianonya menggubah lagu-lagu baru. Kalau ilhamnya tidak ada dia akan memainkan rekod. Lagu-lagu yang telah digubahnya kini berjumlah ratusan buah.Orkes Hilmi telah mendapat undangan untuk bermain dalam pertunjukan Hari Keputeraan Sultan Kelantan di Kelantan. Hilmi mendapat sambutan yang luar biasa. Peminat-peminatnya telah menyerbunya. Kira-kira jam empat pagi, Hilmi dikejutkan dengan panggilan telefon dari Rahmat tentang kematian Encik Bakar. Hilmi menaiki kapal terbang MAS pulang ke Kuala Lumpur. Dalam penerbangan tersebut dia telah selesai menyiapkan sebuah lagu yang diberi nama “Seniman” yang dicipta khas untuk Encik Bakar iaitu guru, kawan, dan bapa mertuanya.Tiga tahun berturut-turut Hilmi muncul sebagai pemenang dalam pesta muzik tahunan yang dianjurkan oleh RTM. Hilmi telah diberi penghormatan untuk memimpin satu pertunjukan Orkes Perdana yang dianjurkan oleh RTM. Pertunjukan itu sama tarafnya dengan Royal Performance ( persembahan di-Raja ) yang diadakan di England. Hilmi diminta untuk membuat arrangement (penyusunan) semua lagunya dan diberi nama “Hilmi Potpouri”. Publisiti (berita) tentang pertunjukan itu tersebar luas. Bukan sahaja melalui RTM, tetapi juga melalui media massa di seluruh negara. Datin Salmah juga telah mendesak Datuk Johari mencari kad jemputan pertunjukan Orkes Perdana itu kerana saudaranya iaitu Datin Mastura (kakak), dan Datuk Roslan (abang ipar), Datin Maniam (kakak), dan seluruh geng morning coffee telah bercadang untuk menontonnya.Sinopsis Bab 14 – SenimanDewan Tunku Canselor telah penuh sesak. Keadaan kalut mulai terasa apabila Hilmi belum kelihatan. Ketua Pengarah RTM mengarahkan Amat, seorang pengawal RTM pergi menjemput Hilmi tetapi Hilmi tidak ada di rumahnya. Ketua Pengarah itu tidak puas hati lalu mengajak Amat sekali lagi bersama-samanya pergi ke rumah Hilmi Dan akhirnya mereka mendapat tahu daripada seorang pemuda Cina bahawa Hilmi sakit dan dimasukkan ke hospital. Ketua Pengarah berkejar ke hospital dan dia mendapati keadaan Hilmi dalam bahaya dan telah dibawa ke unit rawatan rapi ( ICU ). Doktor juga telah memberitahu bahawa nyawa Hilmi terancam dan dia tidak mungkin dapat memimpin Orkes Perdana. Ketua Pengarah telah mengarahkan Borhan supaya mencari pengganti Hilmi dan kembali ke universiti. Kebimbangannya itu dikongsi bersama oleh Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha. Tiba-tiba muncul Hayati, wanita yang ingin menonton pertunjukan tersebut. Keadaan menjadi semakin kelam kabut. Berbagai-bagai spekulasi telah dibuat kerana ketiadaan Hilmi itu. Hayati mendapat tahu tentang kesakitan yang dialami oleh Hilmi dan berminat untuk membantu Hilmi memimpin pertunjukan tersebut. Setelah menunjukkan bukti kelulusan dan pengalamannya serta hubungan rapat dengan Hilmi, akhirnya ketua pengarah membenarkan Hayati memimpin Orkes Perdana tersebut.Datuk Johari dan Datin Salmah menyesali perbuatan mereka terhadap Hilmi, lebih-lebih lagi apabila mendengar puji-pujian yang diberikan kepada Hilmi oleh penonton. Mereka juga menyedari yang memimpin pertunjukan orkes itu ialah Hayati. Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Perdana Menteri amat terhibur dengan persembahan itu dan dukacita di atas kemalangan yang menimpa Hilmi. Setelah pertunjukan selesai Hayati bergegas ke hospital, begitu juga Datuk Johari dan Datin Salmah apabila mengetahui perkhabaran tersebut. Di hospital, Datuk Johari telah bertemu dengan abang sepupunya iaitu bapa Hilmi yang baru sampai dari kampung. Suasana menjadi bertambah pilu dengan kehadiran Azizah, ibunya serta Hakim, anak Hilmi.Abang sepupunya itu kemudian menceritakan kepada Datuk Johari dan Datin Salmah bahawa Hilmi selalu memuji kebaikan pak cik dan mak ciknya itu. Akhirnya abang sepupunya iaitu Karim akhirnya membongkar rahsia bahawa Hilmi sebenarnya anak kandung Datuk Johari. Dia sengaja menyimpan rahsia itu kerana tidak mahu merosakkan rumah tangga mereka. Datuk Johari dan Datin Salmah amat menyesal dan akan menebus dosa mereka sekiranya Hilmi pulih. Setelah doktor yang merawat Hilmi membenarkan mereka melawat Hilmi, mereka pulang ke rumah Datuk Johari. Karim bersyukur kerana Allah memanjangkan usianya dan dapat membuka rahsia yang terpendam di hati selama ini. Sesampai sahaja di pekarangan rumah, mereka dikejutkan dengan panggilan telefon dari hospital. Datuk Johari telah menerima khabar tentang kematian Hilmi dan pada saat yang sama Datuk Johari jatuh terjelepok di atas lantai dan pergi buat selama-lamanya.

Posted by CIKGU TAN C L at 8:37 AM 1 comments