Monday, September 29, 2008

SEMINAR PMR 2008

Kepada peserta seminar cikgu Azza, jangan lupa tarikh 8 Oktober 2008. Janji kita pada pukul 5 - 7 petang. Nak raya masih boleh..tetapi jangan alpa kerana 13 Oktober nanti merupakan saat-saat kecemasan untuk anda bersedia ke medan peperangan. Pastikan anda mendapat anugerah A dalam kertas Bahasa Melayu itu nanti. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Sunday, September 28, 2008

RAMALAN SPM 2008:AMALAN BERBUDI BAHASA

Baik budi indah bahasa
Utusan Malaysia24 Januari 2005ms 06Rencana

Puyu-puyu konon namanya
di dalam kolam konon tempatnya
cantik manis barang lakunya
serta dengan budi bahasanya.'


Pantun ini dipetik daripada buku Sekalung Budi Seuntai Bahasa terbitan DBP. Sebahagian besar daripada kita barangkali telah lupa kepada pantun tentang budi dan bahasa ini.
Apabila kita dikejutkan supaya menjadi bangsa yang maju; dari bertani kita mahu menjadi orang industri maka sedikit sebanyak nilai-nilai asal usul telah terhakis. Lagi pun banyak yang mempunyai persepsi budi dan bahasa sudah tidak lagi mempunyai nilai komersial.

Apabila kampung menjadi kota atau orang kampung yang mencari hidup di kota, hambatan untuk hidup seolah-olah memaksa kita melupakan nilai-nilai kampung. Kadangkala kita sengaja mencari alasan kerana pada sangkaan kita orang kota mesti ada lagaknya sendiri. Barangkali juga kita terlupa bahawa Jepun misalnya yang jauh lebih maju daripada kita. Tetapi tidak ada Jepun kampung atau Jepun kota. Jepun akrab dengan tatasusila dan budi bahasa mereka. Berbudaya dan berbudi bahasa tetap membuatkan Jepun maju.

Jadi, tidaklah rugi kalau kita berbudi bahasa seperti orang kampung. Tidak ada siapa yang menganggap kita kolot. Malah orang yang beranggapan begitulah yang kolot sebab mereka melihat pada lingkungan yang sempit. Mujurlah sekarang kita bergerak untuk mengutip kembali warisan yang sangat berharga itu. Kempen Budi Bahasa Budaya Kita oleh Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan adalah satu gelombang yang diharap akan mengembalikan rakyat kepada asas hidup berbudaya negara ini.

Rupa-rupanya kita telah jauh meninggalkan warisan ini. Buktinya pada awalnya kempen ini dijadikan bahan jenaka oleh sesetengah pihak padahal kempen tersebut merupakan satu gagasan besar untuk menjadi bangsa yang berbudaya. Ruang litup falsafah Budi Bahasa Budaya Kita sangat luas. Tetapi ini tidak bermakna kempen tersebut suatu yang tidak tergapai dek tangan. Kita boleh melihat `budi bahasa' pada tahap-tahap yang relevan dan praktis dalam kehidupan seharian.

Kempen Budi Bahasa Budaya Kita adalah sepenting dan sebesar Wawasan 2020, destinasi impian yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri. Cuba lihat kembali cabaran-cabaran Wawasan 2020 menjadi negara maju dalam acuan budaya kita. Tetapi untuk tidak kelihatan terlalu besar dan menakutkan, lihat saja budi bahasa dalam konteks kehidupan seharian semua kelas sosial dalam masyarakat. Amalan-amalan budi bahasa yang mudah dilakukan misalnya menyambut tetamu, melayan tetamu dan tatacara tidak rasmi ketika bertemu.

Budi pula akan kita terima dalam pelbagai bentuk dan cara. Misalnya apabila ada yang hadir hidup kita dan mengusir duka dan lara juga adalah budi dan tentunya dengan bahasa yang menyenangkan kita. Budi dan bahasa tidak akan terbalas dan bukan untuk dibalas. Budi dan bahasa yang baik akan terus kekal menjadi kenang-kenangan.

Hakcipta © 2005 Utusan Malaysia (M) Berhad. Perpustakaan KUTKM is not responsible for any inappropriate use of information contained in this site.
(rujukan untuk menyiapkan tugasan tersebut)

RAMALAN SPM 2008: BULI

Gejala Buli Di Sekolah Mesti Diperangi Habis-Habisan
Posted in July 31st, 2007
by Cikgu Bashid in Hal Ehwal Murid
TERLALU banyak masalah dikaitkan dengan sekolah hari ini. Dari isu lapok seperti merokok dan ponteng hinggalah kepada masalah gengsterisme. Sekarang ini tiba-tiba sahaja orang sibuk mengaitkan sekolah dengan buli walaupun ini merupakan bentuk keganasan yang terawal dan biasa di sekolah. Jika tidak kerana kejadian yang menimpa seorang pelajar Tingkatan 4 sebuah sekolah menengah agama baru-baru ini, orang ramai masih menganggap buli adalah perkara biasa, khususnya di sekolah-sekolah berasrama.
Hampir semua pelajar yang pernah belajar di sekolah berasrama penuh mengetahui wujudnya buli, walaupun hanya segelintir yang menjadi mangsa atau pembuli.Tetapi saya percaya sebahagiannya tidak pula menganggap perkara ini serius dan perlu diperbesar-besarkan. Bagi mereka, buli yang dilakukan oleh pelajar senior ke atas pelajar junior adalah satu bentuk yang boleh diterima sebagai satu cara untuk menambahkan keyakinan hidup di asrama, untuk belajar hidup berdikari, menerima sedikit tekanan dan tidak dimanjakan. Malahan hubungan lebih mesra antara pelajar senior dengan pelajar junior akan berlaku selepas itu.
Tetapi orang lupa bentuk buli itu tidaklah sampai membunuh seperti yang berlaku pada diri Muhammad Farid Ibrahim. Buli bolehlah dimaksudkan sebagai tingkah laku agresif di mana seorang pelajar atau satu kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal atau psikologi bagi satu jangka masa yang panjang. Tingkah laku ini berlaku berkali-kali (Hazler & Hoover, 1993).
Oleh kerana gejala buli berlaku dalam tempoh yang panjang dan berkali-kali ia sepatutnya mudah untuk dikesan kerana ia memungkinkan wujud petanda-petanda awal. Petanda-petanda awal itu sepatutnya boleh dihidu, diramal dan dikesan oleh pengurusan sekolah.Kajian tentang buli telah dilakukan di kebanyakan negara sejak 1970-an lagi. Misalnya kajian di Norway oleh Olweus (1978), Kanada oleh Bentley (1994), USA oleh Hoover et al. (1993), Itali oleh Genta et al. (1996), Jepun oleh Hoover et al. (1993) dan Australia oleh Rigby (1996).
Di Malaysia orang yang paling menonjol kajiannya tentang buli ialah Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris. Malahan apabila Kementerian Pelajaran di bawah kepimpinan yang baru mula menangani kes samseng dan buli ini secara serius sehingga dibentuk Jawatankuasa Petugas Khas, dan talian hotline tentangnya ia merupakan satu pengiktirafan secara tidak langsung terhadap usaha gigih wanita ini tentang buli dan implikasinya terhadap pengurusan sekolah.
Walau apapun matlamat baik yang cuba diketengahkan daripada tindakan buli, buli tidak boleh dibenarkan. Tindakan menyakitkan perasaan dan fizikal orang lain apatah lagi mencederakan dan membunuh tidak dibenarkan baik dalam agama apa sekalipun. Ia bukan boleh dibuat jenaka atau dilakukan dengan tujuan berseronok-seronok. Dalam budaya Melayu buli hampir tidak ada seperti juga April Fool. Dalam Islam lebih-lebih lagilah. Allah berfirman bermaksud: “janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi ”.
Jika kita ingin memerangi keganasan, dan tidak bersetuju dengan tindakan pengganas kita hendaklah menyekat buli ini kerana dari sinilah punca-punca keganasan bermula dan bakal-bakal pengganas amatur dibentuk.Menurut Trump, KS (2000) dalam bukunya Classroom Killers? Hallway Hostages?: How Schools Can Prevent And Manage School Crises buli akan melahirkan sekumpulan orang muda yang bertindak sebagai penyerang. Menurut beliau lagi jika pendidik peka terhadap masalah perlindungan, mereka harus bermula dengan sebab-sebab yang mencetuskan gejala buli, berusaha untuk meminimumkannya ketika pelajar masih dalam usia kecil dan memeranginya secara konsisten. Ini termasuklah dalam melaksanakan strategi-strategi perlindungan dan pencegahan ketika anak-anak membesar dalam saat-saat persekolahan mereka.
Adalah penting untuk kita ingat bahawa buli, konflik verbal, sentuhan fizikal dan yang berhubung dengan tindakan agresif masih menjadi bentuk yang biasa dalam masyarakat. Trump menegaskan bahawa bentuk-bentuk keganasan sekolah ini merupakan petanda awal kepada bentuk keganasan yang lebih besar dalam masyarakat. Sebab itu mengendalikan masalah kecil di sekolah adalah penting untuk kita mengelakkan berlakunya masalah yang lebih besar.
Kita tentu tidak mahu insiden buli ini menjadi lebih teruk seperti yang berlaku di Amerika Syarikat di mana tembakan rambang kerap berlaku di sekolah. Salah satunya ialah insiden Columbian High School. Urutan kehangatan peristiwa-peristiwa tembak-menembak yang berlaku di sekolah di sekitar Amerika Syarikat pada akhir 1990-an, satu dokumen bertajuk Early Warning, Timely Respons: A Guide to Safe Schools (Dwyer, Osher, Werger 1998) telah diterbitkan. Dokumen itu menyenaraikan satu panduan amaran awal bagi membantu orang dewasa bagi mendekati kanak-kanak yang bermasalah secara cepat dan berkesan. Dalam dokumen itu, penulisnya menekankan akan bahaya menyalahertikan atau mengabaikan tanda-tanda pengenalan ini. Penulis menambah budak-budak yang bermasalah selalunya menunjukkan banyak tanda amaran awal dan ini berlaku secara berulang dengan yang akhir lebih teruk atau serius dari yang awal. Inilah yang perlu dikesan oleh pengurusan sekolah, terutamanya guru kaunseling.Kesan psikologi, kesihatan mental, jenayah, keganasan dan serangan semuanya merupakan isu yang kompleks.
Walaupun kita tidak dapat mengelakkannya atau hanya melihat secara luaran sahaja terhadap isu-isu ini, namun kita tidak perlu menunggu hingga ke tahap “paralysis by analysis” atau menanti indidvidu tertentu yang mempunyai ijazah kedoktoran dan bertahun-tahun pengalaman dalam profesion kesihatan mental untuk mengesan petunjuk awal keganasan.(Zain-ter).Realitinya, kemahiran pemerhatian yang baik dan “common sense” oleh para guru, ibu bapa dan orang ramai tentang petanda amaran awal ini akan membantu mengatasi masalah ini. Common sense dan kesedaran yang tinggi tentang tanda-tanda awal keganasan, digabungkan dengan masa yang mencukupi serta “follow-through” yang sesuai akan membantu sekolah menangani tragedi keganasan ke atas remaja yang lain. Di samping itu ia akan dapat mengelakkan penglabelan yang tidak sesuai dan salah kenal terhadap remaja sebagai pesalah-pesalah keganasan.
Wujudnya hot line buli di bawah kementerian pelajaran yang baru dilihat betapa seriusnya masalah buli. Sesetengah pula melihat sebagai satu sindiran kepada pihak pengurusan sekolah yang gagal menangani masalah disiplin sehingga menteri terpaksa campurtangan. Apakah tidak ada sesiapa lagi di sekolah yang tidak boleh diharapkan oleh pelajar sehingga mereka terpaksa berhubung terus dengan kementerian untuk membuat aduan?. Pendedahan oleh sesetengah media menunjukkan betapa sekolah gagal memainkan peranan yang sepatutnya. seolah-olah sekolah tidak selamat lagi untuk para pelajar.
Sama ada disukai atau tidak, pengetua dan guru besar selaku pemimpin di sekolah harus menerima perkembangan ini dengan fikiran terbuka. Tindakan terbaru ini harus dilihat sebagai perkembangan yang positif kerana ini menunjukkan semua pihak semakin sedar masalah ini dan berghairah untuk membantu pihak sekolah.Inilah masanya sekolah mengambil kesempatan untuk mendedahkan punca sebenar masalah ini kepada umum. Inilah masanya sekolah menuntut peranan semua pihak terutama ibu bapa dan masyarakat agar melihat peranan masing-masing untuk membantu sekolah.Perasaan kita tentang sebilangan kecil yang tidak senang dengan sekolah harus disingkirkan kerana majoriti masyarakat kita masih sayangkan sekolah.
Alasannya mudah. Bukankah di sinilah anak-anak, anak-anak saudara, dan cucu-cucu mereka ditempatkan dalam suatu tempoh yang bukan pendek. Mereka menyerahkan tugas mendidik dan menjaga keselamatan anak-anak mereka kepada guru-guru. Mereka percaya guru-guru mampu melakukannya dan menunaikan tanggungjawab sebagai in loco parentis dalam tempoh masa rasmi persekolahan.Walaupun dikatakan segala-galanya bermula di rumah, tetapi dengan segala kemudahan pendidikan yang ada di sekolah, ditambah dengan kepakaran mendidik yang ada pada guru-guru, sekolah dilihat berupaya memainkan peranan lebih utama dalam pembentukan calon pemimpin, pekerja dan ahli masyarakat masa depan. Justeru, sekolah wajar mengambil langkah berjaga-jaga yang berpatutan supaya tidak dituduh cuai dalam menjalankan tugasnya sebagai in loco parentis.
Al-hamdulillah dengan pendekatan berakhlak dan beragama yang dibawa oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi segala-gala yang tidak berjalan menurut akhlak dan agama diperangi habis-habisan. Dari memerangi cetak rompak, video lucah, sehinggalah kepada rasuah, sehinggalah kini memerangi gejala ponteng dan buli.Usaha mengatasi masalah disiplin pelajar umumnya dan buli khasnya hanya akan berjaya jika ia dilakukan secara ikhlas, konsisten dan melibatkan semua pihak secara sedar dan terancang. Tindakan secara ad hoc dan berkala hanya dilihat sebagai tindakan hangat-hangat tahi ayam. Usaha murni ini tidak wajar dilakukan dengan melihat kesalahan orang lain.
Selagi ada pihak yang mendakwa ada pihak yang lebih bersalah daripada pihak yang lain, usaha ini tidak akan ke mana-mana.Ingat kita melaksanakannya bukan untuk menunjukkan siapakah di antara kita yang lebih hebat, jauh sekali untuk mencari kesalahan pihak lain tetapi semua ini dilakukan atas satu kesedaran bahawa semua pihak bertanggungjawab atas apa jua yang berlaku pada anak-anak bangsaMalaysia yang merdeka. Apa sahaja yang kita lakukan hari ini, baik sebagai guru, ibu, bapa, masyarakat, pemimpin, media dan sesiapa sahaja akan memberi impak yang besar bagi pembentukan generasi akan datang. Tentulah cara kita berbeza-beza menurut peranan dan fungsi kita masing-masing.
Hakcipta Abd Bashid Harun

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Cikgu ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua pelajar kesayangan cikgu walau di mana mereka berada. Maafkanlah segala yang terkutuk, terkata, terkasar bahasa kerana tugas cikgu untuk memanusiakan manusia sering diuji kesabarannya. Semoga aidilfitri kali ini lebih bermakna dalam hidup kita. Kepada kelas tingkatan 3 yang akan menduduki PMR pada 13 Oktober 2008 nanti, agak-agaklah kalau berhari raya tu..Ingat-ingatlah tarikh peperiksaan kian menjelang.Study seolah-0lah peperiksaan PMR akan dihadapi pada hari esok.

Thursday, September 18, 2008

PMR: FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB BANJIR KILAT

PENDAHULUAN:
Akhir-akhir ini banjir kilat sering berlaku terutamanya di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan Johor Baharu.

ISI YANG DICADANGKAN(PUNCA):
1. Sistem perparitan yang tidak teratur dan telah rosak
2. Parit dan longkang yang tersumbat kerana banyak sampah-sarap
3. Pembangunan yang berterusan dan tidak dirancang dengan baik
4. Sikap penduduk setempat yang tidak bertanggungjawab menjaga kawasan persekitaran
5. faktor cuaca yang tidak menentu
6. kerja-kerja pengubahsuaian jalan yang tidak kemas
7. penempatan yang padat dan tidak teratur
8. tiada arahan yang tegas kepada pemaju supaya menjaga alam sekitar semasa membangunkan sesuatu kawasan

KESIMPULAN:(siapa + nak buat apa;cadangan/nasihat/saranan + agar /supaya/bagi + apa;kesan daripada cadangan tadi)
semua pihak perlu bertanggungjawab bagi mengelakkan berlakunya masalah ini

UNGKAPAN MENARIK YANG DICADANGKAN:
- pemantauan secara konsisten dan tidak bermusim
- telus dalam menjalankan amanah
- kerjasama seperti aur dengan tebing

Tuesday, September 2, 2008

USAHA-USAHA MENGGIATKAN KEMBALI PENGGUNAAN PANTUN DALAM KALANGAN MASYARAKAT

PENDAHULUAN:
- Pantun telah digunakan sejak turun-temurun - malangnya masyarakat pada hari ini semakin mengabaikan penggunaan pantun dalam kehidupan seharian - pelbagai pihak telah menggerakkan langkah untuk menghidupkannya kembali, tetapi usaha-usaha tersebut masih belum membuahkan hasil.
ISI-ISI PENTING:
1. menyelitkan pantun dalam sukatan pelajaran iaitu Komponen Kesusasteraan Melayu (KOMSAS) - namun, masih tidak dapat memikat hati semua murid untuk mendalami dan mengamalkannya kerana pendidikan masa ini berorientasikan peperiksaan - tiada penghayatan - hanya didedahkan kepada beberapa pantun dalam KOMSAS - hanya dua atau tiga pantun daripada jenis yang terhad - pendedahan minimum
2. menyediakan sumber bahan bacaan berkenaan pantun tetapi bilangannya terhad - koleksi pantun tidak mudah ditemui - bahan bacaan ilmiah dan bukan fiksyen mendapat sambutan hambar - kebanyakan murid membaca pantun kerana mahu lulus dalam peperiksaan - pasarannya terhad - cuma dua hingga peratus daripada keseluruhan bahan bacaan yang diterbitkan.
3. media massa hanya menggunakan pantun pada musim tertentu, misalnya perayaan Hari Raya Puasa dan Hari Kebangsaan - pada masa lain, pantun jarang-jarang digunakan dalam iklah - cita rasa masyarakat moden era siber lebih kepada muzik moden dan genre moden - media elektronik dan media cetak ada menghidangkan pantun tetapi tidak secara meluas.
4. seharusnya semua pihak bergiat aktif untuk menghidupkan dan menyuburkan penggunaan pantun - hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih - segala usaha mesti dilaksanakan sehabis baik - warisan budaya kebanggaan kita harus dipelihara agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas - kehadiran pantun dalam jiwa masyarakat moden membuktikan jati diri - jangan dibiarkan gelombang kemajuan menghanyutkan tinggalan nenek moyang.
PENUTUP:
- tidak dapat dinafikan bahawa ada usaha yang dijalankan tetapi pelaksanaannya bagai melepaskan batuk di tangga - usaha sepatutnya dijalankan berterusan bukannya bermusim agar pantun mempunyai tempat di hati kita - sektor swasta dan sektor awam perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi menghidupkan kembali tradisi pantun.

KARANGAN:FAKTOR-FAKTOR PERSENGKETAAN YANG MENGGUGAT KEAMANAN DUNIA

PENDAHULUAN:
- dunia tanpa sempadan; proses globalisasi, dan kecanggihan teknologi menjadikan dunia semakin kecil tetapi kemajuan ini tidak menampakkan terjaminnya keamanan dunia - sering berlaku peristiwa besar yang menggugat kesejahteraan dunia.

ISI-ISI PENTING:(FAKTOR PENYEBAB)
1. sikap tidak menghormati agama penganut lain dan prejudis terhadap agama -misalnya karikatur Nabi Muhammad saw dalam akhbar di Denmark telah mencetuskan kemarahan umat Islam sedunia yang hampir-hampir melagakan masyarakat dunia yang berlainan agama.

2. Pembinaan tenaga nuklear dan penciptaan senjata pemusnah mewujudkan keadaan yang tegang - Korea Utara mencipta peluru berpandu yang mampu mengenai sasaran di hemisfera selatan - Iran yang bergiat aktif dalam pembinaan tenaga nuklear menjadi sasaran serangan Amerika, seterusnya menimbulkan ketegangan dunia.

3. Keegoan negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Britain yang membuat keputusan tanpa persetujuan ramai - memperlekeh keputusan PBB - masih menyerang Iraq atas alasan Iraq menyembunyikan senjata pemusnah berskala besar - sehingga ke hari ini masih belum menemukan senjata tersebut.

4. Penggunaan kekerasan untuk menuntut keadilan - berleluasanya kegiatan pengganas al-Qaeda - serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia di New York dan pengeboman di London - mencetuskan kebencian mangsa terhadap golongan tertentu.

PENUTUP
- tuntasnya/konklusinya/intiharnya/kesimpulannya, seharusnya dunia menjadi satu haluan dengan perkembangan kemajuan - sebaik-baiknya jalan penyelesaian dicari untuk meleraikan persengketaan - jikalau berlarutan, tidak sihat untuk umat di seluruh dunia.

KATA KERJA PASIF

1. diperolehi (salah) = diperoleh
Akhiran -i tidak diperlukan kerana kelewahan bahasa. Diperoleh sudah membawa makna yang lengkap, iaitu mendapat

2. diperluaskan (salah) = diperluas
Akhiran - kan tidak diperlukan dalam kata kerja pasif berawalan diper- jika kata dasarnya ialah kata adjektif. Luas ialah kata adjektif

3. diperbesarkan (salah) = diperbesar
Akhiran -kan tidak diperlukan dalam kata kerja pasif berawalan diper- jika kata dasarnya ialah kata adjektif. Besar ialah kata adjektif.

4. diperisteri
Dalam bahasa Melayu perkataan apitan diperisterikan dan diperisteri mempunyai makna yang berbeza mengikut penggunaannya dalam ayat. Diperisteri bermaksud seseorang itu dikahwinkan dengan. Manakala, diperisterikan bermaksud dikahwinkan oleh ... dengan...

5. diperdalami (salah) = diperdalam atau didalami
Akhiran -i tidak diperlukan dalam kata kerja pasif berawalan diper- jika kata dasarnya ialah kata adjektif. Dalam ialah kata adjektif.

6. dipercantikkan (salah) = dipercantik
Akhiran -kan tidak diperlukan dalam kata kerja pasif berawalan diper- jika kata dasarnya ialah kata adjektif. Cantik ialah kata adjektif.
7. diperdengar (salah)
Akhiran -kan diperlukan dalam apitan diper- ... -kan jika kata dasarnya kata kerja. Dengar ialah kata kerja.
8. dipertunjuk(salah)
Akhiran diperlukan dalam apitan diper- ... - kan jika kata dasarnya kata kerja. Tunjuk ialah kata kerja
9. diperlihat (salah)
Akhiran -kan diperlukan dalam apitan diper- ... -kan jika kata dasarnya kata kerja. Lihat ialah kata kerja.
10. dipersenda(salah)
Akhiran -kan diperlukan dalam apitan diper- ... -kan jika kata dasarnya kata kerja. Senda ialah kata kerja.
11. diperbaiki (salah)
Dalam bahasa Melayu, perkataan diperbaiki untuk maksud benda yang rosak dan perlu dibaiki tidak tepat. Selain itu, kata dasar perkataan tersebut ialah baik, iaitu kata adjektif. Yang betulnya ialah diperbaik. Maksudnya ialah sesuatu yang sudah baik hendak dijadikan lebih baik lagi.
12. diperhamba
Dalam bahasa Melayu, kedua-dua perkataan diperhamba dan diperhambakan gramatis. Penggunaannya dalam ayat bergantung pada maksud yang dibawanya. Diperhamba bermaksud diri sendiri dijadikan hamba. Manakala, diperhambakan bermaksud orang lain dijadikan hamba.
13. dipertaut (salah)
Akhiran -kan diperlukan dalam apitan diper- ... -kan jika kata dasarnya kata kerja. Taut ialah kata kerja.
14. dipersatu(salah)
Akhiran -kan diperlukan dalam apitan diper- ... -kan jika kata dasarnya kata nama. Satu ialah kata nama.