Sunday, July 20, 2008

AKU TETAP AKU


tiada siapa yang sudi menyapa
deritaku sakitku seikhlas hati

tiada siapa yang sudi bertanya
ketawaku adalah bahagiaku semurni jiwa
aku adalah aku
selalu serius
dan selalu juga tersenyum

katakanlah aku sombong
itu penilaianmu seikhlas sanubarimu
aku adalah aku
pemburu bahagia
setia
dan perasa

aku adalah aku
bila-bila dan di mana-mana
mungkin ketawaku mengganggu ketenangan jiwamu
mungkin seorang wanita seperti aku
sudi ditegur
oleh insan sepertimu
senyum sinisku menyembunyikan
rahsia perasaan
aku sayang padamu
sahabatku harrenna_harr

KURSUS PTK3 DG44 DI HOTEL SERI MALAYSIA, MELAKA

Soalan tugasan yang diberikan mesti siap sebelum 1 Ogos 2008 ini, memandangkan tarikh kursus pada 2 - 8 0gos 2008. Soalan yang perlu dijawab ialah bagaimanakah nilai utama dalam etika kerja iaitu amanah, bijaksana, bersyukur, penyayang dan dedikasi diamalkan bagi menjadikan pengajaran dan pembelajaran berkesan. Kepada anak didik kesayanganku, sepanjang seminggu bebas merdeka di sekolah tanpa subjek Bahasa Melayu bukanlah bermakna anda tidak perlu belajar. Buatlah akses kendiri agar tidak sia-sia masa yang ada.

Friday, July 18, 2008

BERDOALAH UNTUK CINTA

Ya Allah… Seandainya telah engkau catatkan… Dia milikku tercipta buatku… Satukanlah hatinya dengan hatiku… Titipkanlah kebahagiaan antara kami…. agar kemesraan itu abadi…
Ya Allah… ya tuhanku yang maha mengasihi… Seiringkanlah kami melayari hidup ini… Ke tepian yang sejahtera dan abadi…
Ya Allah… Seandainya telah engkau takdirkan… dia bukan milikku… Bawalah dia jauh daripada pandanganku… Luputkanlah dia daripada ingatanku… Dan peliharalah aku daripada kekecewaan….
Ya Allah ya Tuhanku yang maha mengerti… Berikanlah aku kekuatan… Melontar bayangannya jauh ke dada langit… Hilang bersama senja nan merah… agar aku bahagia… Walaupun tanpa bersama dengannya…
Ya Allah yang tercinta… Gantillah yang telah hilang… Tumbuhkanlah kembali yang telah patah… Walaupun tidak sama dengan dirinya…
Ya Allah ya Tuhanku… Pasrahkanlah aku dengan takdirMu… Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan… Adalah yang terbaik buat ku… kerana Engkau maha mengetahui… Segala yang terbaik buat hamba Mu ini…
Ya Allah… Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku… di dunia dan di akhirat… Dengarlah rintihan dari hambaMu yang daif ini… Jangan Engkau biarkan aku sendirian… di dunia ini mahupun di akhirat… Menjuruskan aku ke arah kemaksiatan dan kemungkaran… Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman… Supaya aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup… Ke jalan yang Engkau redhai… dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh….

Thursday, July 17, 2008

CINTA, KESEMPATAN ATAU PILIHAN?

Belajar Mencintai
Ketika kita bertemu orang yang tepat untuk dicintai,

Ketika kita berada di tempat pada saat yang tepat,
Itulah KESEMPATAN.

Ketika kita bertemu dengan seseorang yang membuatmu tertarik,
Itu bukan PILIHAN,
itu KESEMPATAN.
Bertemu dalam suatu peristiwa bukanlah PILIHAN,
Itupun adaLah KESEMPATAN.

Bila kita memutuskan untuk mencintai orangtersebut,

Bahkan dengan segala kekurangannya,
Itu bukan KESEMPATAN,
itu adalah PILIHAN.

Ketika kita memilih bersama dengan seseorang walaupun apapun yang terjadi, Itu adalah PILIHAN.


Bahkan ketika kita menyedari bahwa masih banyak orang lain yang lebih menarik,
lebih pandai,
lebih kaya daripada pasanganmu
Dan tetap memilih untuk mencintainya,
Itulah PILIHAN.

Perasaan cinta, simpati, tertarik,
Datang bagai KESEMPATAN pada kita.
Tetapi cinta sejati yang abadi adalah PILIHAN.
PILIHAN yang kita lakukan.

Berbicara tentang pasangan jiwa,
Ada suatu kutipan dari film yang Mungkin sangat tepat :"Nasib membawa kita bersama,
tetapi tetap bergantung pada kita bagaimana membuatsemuanya berhasil"

Pasangan jiwa bisa benar-benar ada.
bahkan sangat mungkin ada seseorangYang diciptakan hanya untukmu.
Tetapi tetap berpulang padamuUntuk melakukan PILIHAN apakah engkau ingin melakukan sesuatu untuk mendapatkannya, atautidak?

Kita mungkin kebetulan bertemu pasangan jiwa kita,

Tetapi mencintai dan tetap bersama pasangan jiwa kita,
Adalah PILIHAN yang harus kita lakukan.
Kita ada di dunia bukan untuk mencari seseorang yang sempurna
untuk dicintai
TETAPI untuk belajar mencintai orang yang tidak sempurna dengan cara yang sempurna

Wednesday, July 16, 2008

BUATMU harrenna_harr

sahabatku harrenna_harr
aku tau
begitu tinggi cita-citamu
menggapai piala jaya dalam hidupmu di negeri asing
namun itu bukanlah alasan
buat kaulupa
akan jati dirimu..

biarlah tinggi mana puncak
dunia yang kaugapai
namun
janganlah lupa akan asal-usulmu.

ketabahanmu
kesanggupanmu
meniti hidup di negeri asing
mampu menjadikan kau
manusia yang kebal
hati dan perasaan.

namun bagi diriku
memang tidak mampu
menjadi sepertimu.

Tuesday, July 8, 2008

PMR: PEMBENTUKAN KATA MAJMUK

Kata majmuk merupakan proses percantuman dua atau lebih kata dasar yang membentuk suatu makna tertentu.

Contohnya:
- kapal terbang
- balai polis
- jalan raya
- buku kerja

Kata majmuk dieja secara terpisah kecuali beberapa bentuk yang telah mantap dan utuh sebagai satu perkataan walaupun terdiri daripada dua perkataan.

Contoh kata majmuk dieja sebagai satu perkataan:
- kerjasama
- antarabangsa
- setiausaha
- tandatangan
- tanggungjawab
- matahari
- beritahu
- kakitangan
- jawatankuasa

BENTUK-BENTUK KATA MAJMUK
Tediri daripada tiga kumpulan yang dieja terpisah kecuali bentuk yang sudah mantap sebagaimana disenaraikan di atas.

1. Terdiri daripada rangkaian kata bebas

Kata majmuk ini terdiri daripada gabungan dua atau lebih golongan kata iaitu kata nama, kata adjektif, kata kerja(kata sendi biasanya dieja bercantum walaupun terdiri daripada 2 perkataan)
Kata mamjuk yang digolongkan dalam kategori ini juga dapat digunakan sebagai gelaran khusus seperti guru besar, perdana menteri dan ketua jabatan.

2. Terdiri daripada istilah khusus ; merujuk kepada perkara-perkara khusus dalam sesuatu bidang.

3. Terdiri daripada kata majmuk yang menunjukkan kiasan iaitu simpulan bahasa yang terdiri daripada dua atau lebih perkataan. Maksudnya kata majmuk ini mendukung maksud kiasan yang berbeza daripada maksud asal perkataan berkenaan. Misalnya kata majmuk "makan suap" bukanlah bermaksud makan bersuap, sebaliknya bermaksud "menerima rasuah".

Imbuhan pada kata majmuk
Kata majmuk juga dapat menerima imbuhan bagi tujuan membentuk kata terbitan. Bagi kata majmuk yang dieja terpisah walaupun menerima imbuhan sama ada imbuhan awalan ataupun imbuhan akhiran tetap dieja terpisah.
Contoh:

- berterima kasih
- bersatu padu
- direka bentuk
- menyusun atur

Bagi kata majmuk yang menerima imbuhan apitan, kata majmuk ini dieja sebagai satu perkataan dan tidak boleh dipisahkan.
Contoh:

- mencampuradukkan
- menyatupadukan
- mengurusniagakan
- penguatkuasaan

Penggandaan pada kata majmuk

Berbeza dengan rangkai kata setara yang tidak boleh digandakan langsung, kata majmuk yang dieja terpisah (kecuali bentuk yang telah mantap - mesti digandakan keseluruhannya) hanya perkataan pertama sahaja yang digandakan. Penggandaan pada kedua-dua perkataan akan menyebabkan kesalahan pada pembentukan kata majmuk.

Pembentukan rangkai kata setara

Rangkai kata setara secara umum dilihat serupa dengan kata majmuk, bezanya rangkai kata setara terdiri daripada satu golongan kata iaitu kata nama + kata nama seperti ibu bapa, pinggan mangkuk, adat resam, lembu kambing dsb. Sekiranya kata majmuk tidak boleh disisipkan kata hubung "dan" ataupun "atau", rangkai kata setara dapat menerima sisipan ini tanpa mengubah maksud asal rangkai kata berkenaan.

Rangkai kata setara juga tidak boleh digandakan mana-mana perkataannya sama ada perkataan pertama atau kedua.

Sunday, July 6, 2008

DOA BUAT PARA PELAJAR KESAYANGANKU

Oh TUHANku,
pada setiap masa tatkala aku sedang mengajar
bantulah aku mengingati pelajar-pelajar kesayanganku
kerana semuanya ingin kukenali seumur hidupku.

janganlah KAU izinkan
hari-hari mendatang sebagai laluan
agar aku tidak mengasihi mereka
apatah lagi tidak menyayangi mereka sepanjang hayatku.

bantulah aku mendidik pelajar-pelajar kesayanganku
oh TUHANku
limpahilah hati ini dengan kasih sayang dan perasaan belas kasihan
supaya aku tidak melahirkan insan yang tidak berjiwa insan
bantulah aku meneruskan pendidikan yang berkesan
dengan penuh kebanggaan dan integriti yang tinggi
dan tidak menggunakan ruang kosong sebagai tempat persembunyian

Limpahilah aku dengan kekuatan dan kesabaran yang tinggi
agar hari-hari mendatang dapat kuteruskan dengan tenang
dan penuh kebahagiaan.

Saturday, July 5, 2008

TEKNIK MENJAWAB SOALAN PEMAHAMAN DRAMA: SPM 2005

Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

TUN PERPATIH PUTIH : Mohon ampun Tuanku Puteri, patik kurang arif akan maksud Tuanku Puteri itu.
PUTERI HANG LI PO: (Sambil memberi senyuman sinis) Ya, orang Kaya, bukanlah penghormatan itu diberikan sempena keberangkatan Panglima Di Po kembali ke negara China? dan beta dengar ia julung-julung kali diberikan kepada wanita. Apatah kepahlawanan yang ada pada beta?
TUN PERPATIH PUTIH: Percayalah Tuanku Puteri bahawa penganugerahan ini sungguh sesuai dengan Tuanku Puteri yang bakal menerimanya. Tuanku Sultan dan patik sekalian sangat mengagumi ketabahan Tuanku dalam memulakan hidup di sebuah negara yang sungguh asing dalam segala tindak tanduknya. Tuanku Puteri bukan sahaja telah berjaya menyesuaikan diri malah telah dapat menguasai bahasa negeri ini tanpa banyak bicara. Ke Bawah Duli Tuanku Sultan berpendapat, ini adalah satu contoh kepahlawanan Tuanku Puteri menghadapi masalah hidup. Oleh itu, Tuanku Puteri, sebenarnya anugerah itu sudah sepatutnya Tuanku Puteri.
PUTERI HANG LI PO : Hati ini Tuhan saja yang tahu, Orang Kaya. Badai hidup yang beta lalui tiada siapa yang akan benar-benar memahaminya. Soalnya ialah beta harus pandai menyimpan badai itu dalam-dalam, jauh di lubuk sanubari beta.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada drama Puteri Hang Li Po oleh Rahmah Bujang dalam antologi Kerusi, DBP)
(i) Mengapakah Puteri Hang Li Po diberi anugerah sebagai seorang pahlawan? [2 markah]
JAWAPAN:
Puteri Hang Li Po diberi anugerah sebagai seorang pahlawan kerana beliau tabah menghadapi cabaran hidup di negara orang dan akhirnya berjaya menyesuaikan dirinya dengan cara hidup di istana sultan Melaka. (1m) Tambahan pula, baginda telah berjaya menguasai bahasa Melayu. (1m)
(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah seseorang itu dapat menyesuaikan diri ketika berada di tempat orang? [ 3 markah ]
JAWAPAN:
Pada pendapat saya, seseorang itu dapat menyesuaikan diri ketika berada di tempat orang, dengan mempelajari budaya dan adat resam masyarakat di tempat tersebut. (1m) Dia harus melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan(1m), dan juga tidak bersikap sombong atau bongkak.(1m)
(iii) Jelaskan dua pengajaran daripada petikan dan dua pengajaran daripada keseluruhan drama.
JAWAPAN:
Dua pengajaran daripada petikan ialah, kita perlu pandai menyesuaikan diri apabila berada di tempat orang (1m) dan juga hendaklah tabah ketika menghadapi dugaan. (1m) Dua pengajaran daripada drama ialah, kita janganlah sesekali menderhaka terhadap raja (1m) dan kita perlu memupuk nilai perpaduan dengan negara lain. (1m)

Friday, July 4, 2008

TEKNIK MENJAWAB SOALAN PROSA KLASIK: SPM 2004

Baca puisi di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
SELOKA PAK PANDIR
Anak dipijak dagang dijinjing,
kucing dibunuh tikus dibela,
harta habis badan tergadai,
mendengar gelagak dagang,
tak sedar bertelanjang,
mendengar guruh di langit
air di tempayan dicurahkan,
mulut kena suap pisang,
buntut kena cangkuk onak,
gunting makan di hujung,
Pak Pandir juga yang menanggung,
apa didengar gelagak dagang,
gelagak rambutan jantan,
orang berbunga dia berbunga,
orang berbuah dia haram,
kilat memancar hujan tak jadi,
awak juga berkecundangan.
Puisi Melayu Tradisional, 1997, DBP
(i) Apakah yang dimaksudkan dengan mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan?
JAWAPAN:
Frasa tersebut bermaksud kerana mengharapkan sesuatu yang belum dapat, [1m] barang yang telah berada dalam genggaman dilepaskan. [1m]
(ii) Berdasarkan seloka di atas, pada pendapat anda apakah sifat yang perlu kita hindari dalam hidup ini. Mengapakah anda berpendapat demikian?
JAWAPAN:
Saya berpendapat bahawa kita perlu menghindari sifat tamak [1m] kerana sifat tersebut boleh merugikan diri sendiri. [1m] Selain itu, kita juga perlu menghindari sifat sombong dan bongkak [1m] kerana orang yang bersifat sedemikian akan dibenci orang. [1m]
(iii) Nyatakan tema dan persoalan-persoalan yang terdapat dalam puisi di atas?
JAWAPAN:
Puisi tersebut bertemakan kebodohan diri sendiri. [1m] Persoalan yang terdapat dalam puisi tersebut ialah pertimbangan yang tidak wajar dalam membuat sebarang keputusan. [1m] Persoalan lain ialah sikap suka menunjuk-nunjuk dalam kalangan masyarakat. [1m]

DETIK SPM DAN PMR SEMAKIN HAMPIR

Peringatan kepada para pelajar kesayanganku, semakin hari berlalu bermakna semakin hampir tarikh peperiksaan anda. SPM cuma tinggal 130 hari sahaja lagi manakala, PMR tinggal 100 hari lagi. Berusahalah dengan tekun agar dapat mencipta kecemerlangan buat diri anda. Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan diri sendiri yang mampu mengubahnya.

USAHLAH MENGELUH TENTANG HIDUP INI

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum kita mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk dalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri kita,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.

Dan hari ini juga sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal di jalanan.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Senyumlah dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih bernafas lagi hari ini!"

Thursday, July 3, 2008

CINTA

bagaimana kamu mendengar?
bagaimana kamu mengerti?
bukanlah apa yang kamu lihat,
namun yang kau rasa,
dan mampu pertahankannya.

akan tiba saatnya kamu berhenti mencintai seseorang,
bukan karena dia berhenti mencintaimu
namun, karena sedar
bahwa dia akan lebih berbahagia apabila kita melepaskannya.

mungkin juga
orang yang paling mencintaimu
orang yang tak pernah menyatakan cintanya kepadamu,
lantaran bimbangnya dia kau kan berpaling
dan tiba suatu saat pergi,
kau akan mengerti
dialah cinta yang tak kauhargai
seumur hidupmu.

Wednesday, July 2, 2008

KURSUS LDP BAHAS ALA PARLIMEN DI SMK SERI KERAMAT

GOMBAK, Khamis- Satu Kursus Dalam Perkhidmatan(LDP) bahas ala parlimen telah diadakan di SMK Seri Keramat bermula pada jam 8.30 pagi. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Encik Suhaimi Subran, yang terkenal sebagai pembahas guru dan kini menjadi hakim peringkat kebangsaan bagi pertandingan bahas ala parlimen sekolah-sekolah di Malaysis. Objektif LDP berjaya direalisasikan dan guru-guru dapat memantapkan ilmu penghakiman bagi daerah Gombak serta lebih bersedia menjadi hakim bagi tahun 2009 kelak.

KEKASIHKU

kekasihku
teramat sukar untuk kumengerti
kehadiranmu
sesekali tak kuhiraukan
lantaran kealpaan dengan dunia sendiri-sendiri.

kekasihku
teramat sukar untuk kumengerti
hati dan perasaanmu
kewujudanmu
hanya sesekali aku rasai
lantaran kau dengan duniamu dan aku dengan duniaku.

kekasihku
buatlah kumengerti
kehadiranmu
dan kewujudanmu
dalam dunia
yang tidak sendiri-sendiri.

KEMAHIRAN TATABAHASA: OBJEK ATAU PELENGKAP

Objek ialah binaan yang hadir selepas kata kerja transitif sama ada kata nama, frasa nama atau klausa. Objek biasanya dapat dipasifkan. Dalam ayat yang mempunyai dua objek, terdapat dua jenis objek, iaitu objek tepat dan objek sipi. Dalam hal ini, objek tepat dapat dipasifkan.
Contoh:
1.Dia menendang bola itu. (Objek ialah bola itu)
2.Baginda menganugerahi beliau pingat kebesaran. (beliau ialah objek tepat, manakala pingat kebesaran ialah objek sipi)
3.Halim mengatakan bahawa dia sakit. (Bahawa dia sakit ialah objek yang terdiri daripada klausa)
Pelengkap ialah bahagian yang hadir selepas kata kerja tak transitif. Pelengkap terdiri daripada kata nama, kata adjektif atau kata sendi nama. Pelengkap tidak dapat dipasifkan.
Contoh:
1. Anak saya ingin menjadi guru. (Guru ialah kata nama)
2. Badannya tiba-tiba menjadi kurus. (Kurus ialah kata adjektif)
3. Kereta itu membelok ke kiri. (Ke kiri ialah frasa sendi nama)

KEMAHIRAN TATABAHASA: PARTIKEL "PUN"

Terdapat 13 perkataan yang dieja bercantum dengan partikel "pun", iaitu:

adapun,
ataupun,
andaipun,
bagaimanapun,
biarpun,
kalaupun,
kendatipun,
lagipun,
mahupun,
meskipun,
sekalipun,
sungguhpun,
walaupun.

KEMAHIRAN TATABAHASA:TERGURIS ATAU TERGORES?

Banyak pengguna bahasa Melayu yang menggunakan kata guris, terguris, atau mengguris. Sebenarnya, perkataan tersebut tidak tepat. Perkataan yang tepat ialah gores, tergores atau menggores. Jika pengguna bahasa masih ragu-ragu, sila rujuki Kamus Dewan Edisi Keempat pada halaman 482 . Dalam kamus tersebut, tiada perkataan guris disenaraikan sebagai entri. Kata yang disenaraikan ialah gores. Yang peliknya ialah pengguna bahasa lebih suka menggunakan kata yang salah daripada yang tepat dan betul.

KARANGAN PERBINCANGAN: GENGSTERISME

Kegiatan gengsterisme semakin berleluasa di negara kita. Huraikan cara-cara untuk menangani kegiatan ini.

RANGKA KARANGAN:

Strategi:
T=Gejala Gengsterisme
K=Cara/usaha
F=Umum

ISI PENTING:(CARA MENGATASI)
1. Anak-anak harus diberi didikan agama dan moral dari kecil lagi
2. Orang ramai atau masyarakat hendaklah menegur atau mendidik remaja
3. Kerajaan hendaklah mengenakan denda yang berat kepada sesiapa yang terbabit dalam gejala gengsterisme
4. Program yang bermanfaat hendaklah diadakan untuk mengisi masa lapang remaja

(AR) Pada masa ini, gejala gengsterisme yang berlaku di negara kita semakin meningkat. (AR) Gejala gengsterisme seperti kegiatan buli, terlibat dalam kongsi gelap, mencuri, dan merosakkan harta benda awam selalunya dilakukan oleh golongan muda. (AR) Sebagai akibatnya, imej dan suasana sesuatu tempat tercemar. (AA) Oleh itu, usaha-usaha untuk menangani gejala gengsterisme ini harus dilaksanakan.(AJ) Salah satu usaha untuk menangani gejala gengsterisme ialah anak-anak harus diberi didikan agama dan moral dari kecil lagi. (AH) Hal ini demikian kerana didikan agama dan moral mengajar mereka tentang nilai-nilai murni yang perlu diamalkan dalam kehidupan. (AC) Sebagai contohnya, semua agama mengajar penganutnya supaya tidak melakukan keganasan atau perbuatan membuli. (AP) Apabila mempunyai pendidikan moral dan agama yang teguh, seseorang itu tidak akan terdorong untuk terlibat dalam kegiatan gengsterisme......sila sambung.....

KEMAHIRAN BAHASA: KETIKA, SEMASA , MASA

Ketika bermaksud masa (bukan semasa) atau waktu yang singkat.
Semasa bermaksud sama masa dengan atau pada ketika yang sama.
Semasa juga bermaksud sewaktu atau pada ketika.
Kesimpulannya, ketika dan semasa ada perbezaan makna atau tidak sama makna.

Contoh:
Saya telah ke luar negara ketika masih kecil.
Saya telah ke luar negara masa masih kecil
Semasa ibu menuju ke ruang dapur, abang perlahan-lahan melangkah ke luar.
Pada ketika ibu menuju ke ruang dapur, abang perlahan-lahan melangkah ke luar.

SOALAN BM KERTAS JUN SPM 2008

BM KERTAS 1

[Perubahan dari segi Soalan: Lihat soalan Bhg A.]

Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada kegiatan dalam bidang pertanian di negara kita. Huraikan pendapat anda tentang peluang kerjaya dalam bidang pertanian di Malaysia. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

ULASAN SOALAN:
Bentuk soalan yang dikemukakan ini berbeza dengan soalan SPM sebelum ini. Dalam soalan, terdapat penyataan soalan. Soalan ini mirip soalan Bhg B. BM Kertas 2 –Jun 2008 .

SOALAN KEMAHIRAN BAHASA JUN 2008:

3(c) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

3(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

Kepada calon SPM NOVEMBER 2008:

Sila baca soalan dengan teliti. Kemungkinan besar, arahan soalan seperti ini akan diguna pakai dalam peperiksaan nanti. Sila ambil perhatian tentang perkara ini.